Sunday, September 5, 2010

Dilamun cinta


www.bharian.com.my
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed


Dramatis popular ulangi penafian ada hubungan istimewa dengan Pierre Andre

HATINYA kini berbunga cinta, Julia Ziegler akui sedang mengenali diri seseorang. Pengakuannya itu bukan mahu mengelak, jauh sekali menepis anggapan dirinya masih `bermain cinta' dengan pelakon dan pengarah muda, Pierre Andre. Malah, hingga hari ini biarpun letih menafikan dan berbuih mulut menjelaskan, kisah cinta dan putus cinta mereka masih terus diperkatakan.

Bak kata pepatah, tiada angin masakan pokok bergoyang. Akur dengan kehendak keadaan, itulah harga yang perlu dibayar apabila memilih hidup sebagai anak wayang yang meniti populariti. Bagaimanapun, pelakon kacukan Melayu-Jawa-Jerman, sudah tidak kuasa melayan pertanyaan, apatah lagi hubungannya dengan Pierre tidak serapat dulu.

Kenyataan itu seolah-olah menjelaskan mereka putus cinta seperti yang tersebar sejak akhir-akhir ini, namun gadis berusia 26 tahun itu punya alasan tersendiri. Hubungan mereka masih baik, namun kesibukan di lokasi penggambaran drama dan filem menyebabkan mereka jarang bertemu, hanya sesekali menghantar berita melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).
Tanpa berselindung, Julia akui: "Saya sudah letih melayan pertanyaan mengenai hubungan dengan Pierre. Saya nak tegaskan, antara saya dan Pierre hanyalah kawan baik, tiada apa-apa hubungan membabitkan hati dan perasaan. Dulu, kami rapat kerana terbabit dalam beberapa projek filem dan drama, kini sudah jarang digandingkan bersama.

"Saya ada bertemu Pierre ketika berada di lokasi filem Ombak Rindu, kami berbual panjang mengenai perkembangannya yang sudah berbaik semula dengan produser, David Teo dan projek filemnya. Hubungan kami masih baik, kami tidak pernah bergaduh atau bermasam muka. Begitu juga hubungan saya dengan David, walaupun David pernah tidak puas hati dengan saya dulu, tetapi antara kami masih bertegur sapa.

"Jadi tanggapan saya bercinta dan putus cinta dengan Pierre memang tidak masuk akal. Hubungan kami sering disalahertikan, jadi saya harap dengan penjelasan ini dapat menamatkan segala spekulasi. Lagipun, kini saya sedang mengenali hati budi seseorang. Sudah lapan bulan kami berkawan. Apa yang dapat dikatakan, saya selesa bersamanya. Si dia cukup memahami dan sentiasa memberi sokongan pada kerjaya lakonan saya.

"Mungkin terlalu awal nak cakap bercinta, tapi kami sedang mengenali hati budi masing-masing. Saya takut nak meramalkannya tetapi saya tidak menolak jika takdir menentukan kami bertemu jodoh, tidak lama lagi. Cepat atau lambat, masa dan takdir akan menentukannya."
Gadis lulusan Savannah College of Art & Design, Georgia, Amerika Syarikat ini akui, buah hatinya itu bekerja sebagai ahli perniagaan dan mempunyai syarikat produksi sendiri. Bagaimanapun, biarlah hubungan yang masih hijau itu disimpan dulu. Bukan mahu berahsia atau menyembunyikan buah hati, sebaliknya bimbang `mimpi' tidak menjadi kenyataan.

"Biarlah dulu, saya tidak akan berahsia apabila masa sudah tiba. Biarlah kami berkawan dan mencari keserasian. Kami sebaya, berusia 26 tahun, jika ada jodoh saya tidak mahu terus menanti lama.

"Hati saya memang terusik apabila melihat Dynas dan Sari Yanti sudah menimang cahaya mata, Ayu Raudhah pula akan berkahwin tahun depan. Teman-teman sekolah saya kebanyakan sudah berkahwin dan punya anak, tetapi hidup saya masih solo. Ada kala saya cemburu melihat pasangan lain jalan berpimpin tangan.

"Saya pula jangan nak kata berdating, nak keluar melepak bersama teman-teman pun saya fikir berkali-kali. Bayangkan, ada masanya saya terpaksa kira kawan apabila nak keluar bersama mereka. Berapa lelaki, berapa perempuan. Saya serik dengan fitnah yang mengatakan saya suka berparti tidak lama dulu. Saya malu besar, apatah lagi berita itu keluar ketika saya menyambut ulang tahun ibu saya, Saminah Subari, 65.

"Inilah hadiah yang paling menyedihkan buat ibu saya. Gambar itu diambil ketika saya bersama beberapa teman menyaksikan Piala Dunia 2010 di kedai mamak. Ada seorang peminat mahu bergambar tetapi dia mengambil gambar ketika kami belum bersedia, jadi gambar itu kelihatan seperti kawan-kawan lelaki sedang mencium leher saya.

"Apabila diletakkan dalam Facebook, gambar itu dilakukan `superimpose’ oleh pihak yang busuk hati dan menyebarkannya dalam internet. Apabila wartawan melihatnya, timbul cerita saya suka berparti sedangkan saya hanya berada di kedai mamak ketika itu. Saya serik, hidup saya boleh diumpamakan dalam sangkar," katanya dengan penuh kesal.

Rai lebaran di Kampung Baru

MENYENTUH mengenai sambutan Aidilfitri kali ini, Julia berkata, dia menyambut Syawal di rumah pusaka peninggalan arwah datuknya di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Tahun lalu, dia baru saja pulang dari ke Georgia, Amerika Syarikat dan melakukan persiapan raya dalam keadaan tergesa-gesa, sebaliknya pula tahun ini.

"Saya dan keluarga sudah berpindah ke Kampung Baru, dua tahun lalu. Dulu, kami tinggal di Ampang, tetapi ibu mengambil keputusan tinggal berdekatan dengan saudara mara di Kampung Baru. Saya suka suasana di sini, rasanya macam tinggal dalam kawasan kampung, masih dengar ayam berkokok dan azan berkumandang.

"Suasana sambutan memang meriah, saya terkejut menerima kunjungan ramai peminat, tahun lalu. Ketika mengadakan rumah terbuka, rumah kami diserbu kira-kira 1,000 tetamu. Insya-Allah, saya akan mengadakan rumah terbuka lagi tahun ini, mungkin pada minggu kedua pada hari raya.

"Saya seronok, seawal jam 9 pagi, saya sudah menerima kunjungan tetamu cilik. Apabila mereka tahu rumah saya, lagilah ramai kanak-kanak yang datang beraya. Jika tinggal di Ampang dulu, suasananya cukup berbeza, jiran sebelah rumah buat hal masing-masing.

"Saya juga akan mula buat kuih raya, ia sudah jadi kebiasaan buat saya dan keluarga. Walaupun sibuk, saya tetap ke dapur. Selalunya saya akan buat kuih coklat chips, tempeyek, coklat rice dan kuih tart. Ibu saya orang Jawa, jadi memang tiada alasan untuk anak-anak perempuan tidak menjenguk dapur. Malam raya pula, saya antara yang tidak senang duduk.

"Selain tugasan menyiapkan bahan-bahan masak juadah pagi raya, saya kena menyiapkan rumah dan masukkan kuih raya. Siapa kata raya di bandar tidak seronok, saya dapat rasakan kemeriahannya sama seperti beraya di kampung. Tahun ini, saya mahu berkongsi rezeki dengan ibu, duit raya buat ibu mungkin diberi lebih sikit," katanya yang kelihatan agak kurus, tetapi tetap jelita.

No comments: