Monday, September 20, 2010

Idam kerusi sutradara


www.bharian.com.my
Oleh Farihad Shalla Mahmud
2010/09/20


Julia Ziegler tuntut ilmu perfileman ketika hasilkan Crayon bersama kakak

KETEPIKAN soal kisah cintanya serta gosip perkahwinan yang sering menjadi buah mulut khalayak sejak dia menjejakkan kaki ke dunia seni ini. Bagi si empunya diri, biarlah soal kerjaya pula yang diketengahkan kerana dia ada misi yang lebih besar ingin dikongsikan bersama peminat.

Biarpun mungkin akan ada yang bersikap skeptikal terhadap impian yang tersemat dalam hati, namun menurut Julia Ziegler, itulah matlamatnya apabila memilih untuk menjadikan bidang lakonan sebagai periuk nasi. Dalam tempoh dua tahun akan datang, kata Julia, dia berazam untuk menduduki kerusi pengarah dan berdiri sebaris dengan sutradara wanita sedia ada waktu ini. Pengakuan ini dinyatakan Julia sendiri ketika ditemui pada majlis tayangan gala filem Crayon yang berlangsung di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara, Khamis lalu. Menerusi filem yang diterbitkan oleh Zioss Film Production, syarikat produksi yang dikongsi bersama kakaknya, Linda Ziegler, Julia menimba pengalaman bekerja di belakang tabir untuk mengetahui selok belok dunia pengarahan yang diidamkan itu.

"Sebelum ini saya pernah menyuarakan hasrat untuk belajar mengenai dunia belakang tabir di luar negara, tetapi selepas memikirkan kakak saya sendiri sedang sibuk menghasilkan filem sulungnya, jadi mengapa tidak saya gunakan peluang ini untuk mempelajari ilmu perfileman.

"Untuk produksi ini, saya bertugas sebagai handy man, tapi kerja saya banyak menjaga kanak-kanak yang berlakon dalam filem ini. Terus terang, kerja ini memang memenatkan. Bayangkan bekerja dengan 10 kanak-kanak, sudah tentu banyak kerenah yang terpaksa saya hadapi.

"Dulu saya pernah membayangkan untuk memiliki 10 anak. Tetapi apabila melalui pengalaman ini, membuatkan saya terpaksa menimbangkan kembali hasrat itu. Tak larat rasanya nak jaga mereka. Bagaimanapun bekerja dengan mereka memberikan pengalaman cukup berharga pada saya. Ia mengajar saya erti sebuah kesabaran," tutur Julia yang kelihatan anggun mengenakan baju kurung moden rona krim.
Mengulas hasil tangan sulung Zioss Film Production, Julia berkata, dia berpuas hati dengan hasil kerja yang ditunjukkan pengarahnya, Dean A Burhanuddin.

"Filem ini bercorak kekeluargaan, kehidupan dan agama. Ia juga adalah genre yang saya gemari. Sebagai orang baru, dia masih mempunyai banyak ruang untuk belajar. Saya teruja dengan konsep cerita yang dipaparkan dalam filem ini kerana belum ada lagi orang yang menampilkan anak yatim sebagai fokus utama.

"Saya sudah pun menonton filem ini sebelum ini. Ia memang berjaya membuatkan saya menangis. Malah, air mata saya pernah mengalir sewaktu membaca skripnya sebelum ini. Selepas ini, produksi kami akan menghasilkan filem mengenai warga emas dan juga kisah Orang Kurang Upaya iaitu orang pekak dan bisu pula," cerita pelakon filem Ombak Rindu ini dalam nada teruja.

Ditanya tidakkah dia risau apabila mungkin ada pihak yang menyamakan filem ini dengan hasil karya Allahyarham Yasmin Ahmad, Julia menyerahkan perkara ini kepada penilaian penonton.

"Jika penonton berasakan filem ini mempunyai pengaruh Yasmin, itu penilaian mereka. Bagi kami, filem ini dibuat bagi mencerminkan makna sebenar gagasan 1Malaysia dan sesuai untuk ditonton segenap lapisan masyarakat di negara ini," ujarnya positif.

Crayon mengisahkan dua pelajar universiti di Singapura yang juga sahabat baik, Adam dan Rafaat, yang terbabit dalam kerja amal membantu rumah anak yatim di Melaka. Adam pelajar berketurunan Cina dari Malaysia manakala Rafaat pula seorang pelajar Melayu Singapura. Sewaktu cuti semester, mereka menjadi sukarelawan di rumah anak yatim yang dikendalikan Mak Engku.

Pengalaman berada di rumah anak yatim itu ternyata memberi banyak pengajaran pada mereka, iaitu bagaimana mahu menghargai sebuah hubungan persahabatan, kasih sayang serta nilai kemanusiaan terutama apabila mereka terpaksa berdepan dengan musibah yang tidak disangka-sangka.

Dedikasi untuk arwah ayah

KEHILANGAN bapa tercinta setahun lalu memberikan inspirasi kepada Dean untuk menghasilkan skrip filem crayon. Kata pengarah berusia 33 tahun ini, kesan ditinggalkan bapa membuatkan dia terpanggil untuk menulis naskhah yang memaparkan kisah anak yatim.

"Mesej filem ini adalah untuk memberikan harapan kepada anak-anak yatim di luar sana bahawa masih ada yang menyayangi dan prihatin pada nasib mereka. Kita boleh beri bantuan dari segi kewangan pada mereka, tapi sampai bila? kalau ada pun mungkin setahun sekali.

"Tapi menerusi filem, selagi ia ditayangkan, selagi itulah nasib mereka akan terus dibela," ulas Dean yang juga berpengalaman sebagai penulis skrip di Amerika Syarikat.

Di Amerika, Dean lebih banyak menghasilkan skrip filem yang berbentuk thriller dan gemar dengan konsep 'twist' pada penghujung cerita, menyamai konsep yang dihasilkan penulis yang juga pengarah terkenal, M Night Shyamalan.

Bagaimanapun, untuk buah tangan sulungnya ini, dia amat tertarik dengan filem yang mengetengahkan konsep nilai kemanusiaan.

"Sebenarnya filem ini ada sambungannya nanti. Mungkin ada trilogi selepas ini, iaitu kisah mengenai warga emas dan juga kisah orang kurang upaya.

"Saya tahu ramai yang akan mempertikaikan filem ini kerana ia tidak mengikut arus atau bersifat komersial. Apa yang saya buat ini ialah satu sumbangan pada anak-anak yatim dan juga untuk arwah bapa saya. Saya buat filem bukan kerana mahu jadi jutawan tetapi mahu menyampaikan mesej yang berguna pada penonton," tegas Dean.

Filem yang bakal menemui khalayak pada 11 November ini menampilkan muka baru dan lama dalam bidang lakonan antaranya Hon Kahoe, Adibah Noor, Ariff Faisal Abdullah dan Joshry Adamme.

No comments: