www.mingguanwanita.com.my
Julia ketepikan cinta, Linda simpan hasrat
Gandingan mantap empat jelitawan drama Tudung Ekspres iaitu Julia Ziegler, Linda Hashim, Lisa Surihani dan juga Chermaine Poo dengan keletah dan karakter masing-masing semakin mendapat perhatian ramai. Justeru MW kali ini mengambil peluang menggandingkan dua daripadanya iaitu Julia Ziegler dan Linda Hashim. Baik dengan penampilan bertudung mahu pun tidak yang pasti keduanya cukup menawan orangnya.
Berkongsi cerita dengan pelakon Pan Asian, Julia Ziegler terlebih dahulu akuinya kemunculan dengan imej bertudung di dalam drama siaran Astro Prima itu mendapat banyak komen daripada rakan-rakan dan peminat-peminat. Malah katanya ada antaranya yang meminta imej tersebut dikekalkan di luar drama sekali gus membuang imej seksi dirinya.
“Bertudung memang satu kewajipan tapi biarlah dulu. Saya belum bersedia, mungkin satu hati nanti. Doa-doakanlah, masa itu akan tiba juga nanti. Tapi, tak semestinya saya akan bertudung bila sudah berkahwin. Buat masa ini, saya bertudung mengikut kehendak skrip. Saya tidak kisah malah selesa,” komen Julia tentang imej bertudung.
Biarpun namanya semakin meningkat naik namun bagusnya jarang sekali mendengar gosip-gosip cinta yang dikaitkan dengan dirinya. Bagi gadis ini, gosip seperti itu sebenarnya tidak penting baginya. Lagi pun perihal cinta dan perkahwinan telah diketepikan sementara waktu bagi menumpukan perhatian kepada karier.
“Gosip sana sini tentang cinta dan skandal hanya gosip murahan. Buat masa ini, saya masih sendiri dan sebolehnya saya mahu mengelakkan diri dari dikaitkan dengan cerita-cerita sebegitu.
“Tapi seperti wanita lain, saya tak nafikan suatu hari akan berumah tangga juga, dan tentunya dengan seorang lelaki yang benar-benar memahami diri saya. Cuma masanya bukan sekarang kerana saya memang sibuk dengan pelbagai aktiviti. Saya baru selesai menjalani penggambaran filem Ombak Rindu, yang bakal ditayangkan pada tahun depan,” kata Julia yang merancang untuk melangkah ke dalam bidang pengacaraan.
Pengorbanan Julia
Meskipun memilih bidang glamor namun ramai yang tidak tahu pengorbanan yang perlu dilalui oleh anak seni seperti Julia. Malah tentu ada yang tidak menyangka bahawa dia satu ketika perlu mengorbankan penampilan yang cantik semata-mata bagi menghayati peranan yang diberikan.
Mengakui akan perkara ini kata Julia dia pernah terpaksa menambah berat badan kerana watak yang bakal dilakonkan. Justeru tidak hairanlah bila ada yang melihat tubuhnya sekejap langsing, sekejap berisi.
“Bidang lakonan bukan sahaja memerlukan seorang pelakon itu menjiwai watak dengan baik, tetapi perlu juga menyesuaikan diri dengan peranan dan karakter yang dibawanya. Contohnya, jika watak tersebut memerlukan seorang pelakon bertudung, selain mengikut kehendak skrip untuk bertudung, aspek lain seperti imej wanita bertudung juga perlu ditonjolkan.
“Karakter serta penampilan perlu bersesuaian. Sebab itulah, saya pernah sengaja menaik kan berat badan saya untuk menyesuai kan diri dengan watak yang saya pegang. Tapi, pengalaman saya agak menakutkan.
Ketika itu saya berusaha ke gimnasium dan dalam masa yang sama, saya juga ada mengambil ubat. Malangnya pula, saya tersalah ambil ubat.
“Rupa-rupanya, ubat yang saya makan itu untuk lelaki. Disebab kan tersalah makan ubat, hasilnya habis bentuk badan saya jadi agak besar dan sasa. Hanya selepas sebulan barulah saya tersedar dan berhenti mengambilnya. Mujur juga penggambaran dah selesai, jadi saya kembali menjaga pemakanan dengan baik,” cerita Julia yang tidak menghadapi masalah menurunkan berat badannya.
Watak bertudung tanggungjawab berat - Linda
Kecil molek dan menawan. Tidak hairanlah wajahnya sering menghiasi slot drama di kaca televisyen. Norhazlinda Hashim, atau lebih dikenali dengan nama komersial, Linda Hashim, juga mempunyai cerita menarik untuk dikongsi bersama.
Seperti Julia, Linda juga tidak menafikan dirinya juga menyimpan hasrat untuk bertudung litup apatah lagi melihat sudah ramai rakan artis seangkatan dengannya kini sudah pun mengenakan hijab.
“Bertudung bagi saya bukanlah sebab mengikut trend. Ia satu perasaan yang halus sekali, terutama pada usia saya ini. Satu lagi mengambil keputusan bertudung di kala ini tentu satu perasaan yang berbeza jika dibandingkan dengan wanita yang sudah bertudung sejak kecil lagi.
“Sebelum berlakon dalam drama Tudung Ekspres, saya juga pernah melakonkan watak wanita bertudung di dalam slot drama di RTM berjudul Angin Rindu Sarajevo . Sekarang, sekali lagi saya bertudung atas kehendak skrip dan watak yang dibawa. Sebenarnya, watak bertudung lebih mudah kerana tak perlu set rambut dan sebagainya. Lepas siap mekap, terus sarung tudung.
“Tetapi, bukanlah sebab itu saya menerima watak bertudung. Saya terima watak ini kerana saya yakin, setiap watak yang dibawa memberi kesan kepada peminat. Lebih-lebih lagi, kalau dilihat sebenarnya lebih ramai wanita bertudung berbanding yang tidak bertudung, tidak kira di universiti, kolej, atau dalam bidang kerjaya,” komen Linda tentang watak yang dipegang.
Sambungnya sebagai pelakon , dia juga mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri untuk disampaikan kepada peminat di luar sana. Membawa watak bertudung katanya mempunyai tanggung jawab yang agak berat kerana wanita bertudung ini biasanya dikaitkan dengan wanita yang lembut, sopan santun dan sebagainya.
“Jadi saya perlu menerapkan nilai dan karakter sebegini yang bersesuaian dengan watak. Bukan bermakna sukar untuk terapkan nilai yang baik, tetapi sukar untuk menjaga imej wanita bertudung itu dengan baik. Itu yang saya rasakan agak berat kerana ia memberi kesan terhadap peminat,” kata Linda yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama besiri popular Halimah Jongang Musim Kedua.
Selain itu, seperti rakan seangkatannya, Julia Ziegler, Linda juga melebarkan kemahiran mengacara dan bakal muncul di dalam program yang diadakan di Pavillion, Kuala Lumpur.
Lebih dekat dengan keluarga.
Sejak kecil, pelakon ini begitu rapat dengan keluarga. Masa lapangnya juga lebih banyak diisi bersama mereka malah bapanya menjadi antara teman rapat dirinya . Bila punya kelapangan, Linda pastinya ingin meluangkan masa bercuti bersama mereka.
“Baru-baru ini saya sekeluarga bercuti ke Singapura. Memang seronok dapat berkumpul dengan ahli keluarga dan selalunya aktiviti bercuti pastilah di tempat-tempat menarik, tempat membeli-belah dan tempat makan-makan. Kalau untuk aktiviti seperti menyelam ke dasar laut, berenang dan sebagainya, tak sesuailah pula bawa ayah dan keluarga.
“Bosan pula mereka. Keakraban kami sekeluarga juga mungkin disebabkan kami sering bersama-sama tidak kira apa dalam apa juga aktiviti,” cerita Linda yang sememangnya suka berjalan dan membeli-belah.
Friday, October 8, 2010
Mingguan WANITA Oct 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment