Sunday, November 8, 2009

Julia bukan merajuk


www.bharian.com.my/sisipan/bintangpopular
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Pelakon mahu kembali ke Amerika Syarikat untuk belajar bidang pengarahan filem

SEJAK namanya meniti populariti, pelakon kacukan Melayu-Jawa-Jerman, Julia Ziegler sering dihambat kontroversi. Satu persatu gosip kurang menyenangkan menghimpit diri tetapi gadis berusia 25 tahun itu tidak cepat melatah sebaliknya reda - itulah harga yang perlu dibayar apabila bergelar selebriti.

Sebelum terbang ke Amerika Syarikat, empat bulan lalu, pelakon yang mula meniti nama di bibir peminat menerusi drama bersiri, Susuk itu terpalit dengan kontroversi percintaan dengan pelakon dan pengarah muda, Pierre Andre dan lebih ...

Amengejutkan apabila dikaitkan berlaku perbalahan antara beliau dengan produser filem terkenal, David Teo.

Julia dikatakan sudah menandatangani persetujuan menyertai 14 slot promosi filem Jangan Tegur membabitkan fotografi bersama media, kemunculan di kaca TV dan radio. Pun begitu, pada saat akhir sebelum promosi bermula, Julia hanya dapat menyertai dua slot, sekali gus keadaan itu mendatangkan kekecewaan bagi pihak Metrowealth (MIG) milik David.

Ada yang menganggap sikap Julia banyak berubah disebabkan terpengaruh dengan buah hatinya, Pierre yang ketika itu berdepan konflik besar' dengan David. Bagaimanapun, `tanda tanya' pertelingkahannya dengan David, hanya tergantung begitu saja apabila Julia menghilangkan diri dan terbang ke Georgia, Amerika Syarikat.

Adakah Julia merajuk? Atau apakah Julia cuba melarikan diri daripada kontroversi yang tercetus?

Apabila B*Pop menemuinya dan bertanyakan hal itu, Julia hanya tergelak kecil. Dengan nada perlahan, gadis kelahiran Ampang, Selangor itu mengakui: "Saya tak pernah merajuk atau berkecil hati dengan sesiapa, sebaliknya pemergian saya ke Amerika Syarikat memang dirancang awal, cuma keadaan sering membuatkannya tertangguh.

"Sebenarnya saya terlalu penat bekerja, saya inginkan masa untuk diri sendiri. Saya ke Amerika Syarikat untuk mencari diri, apa hala tuju hidup saya, selain menziarahi kakak dan keluarga. Bagaimanapun, ada yang tersalah anggap, ada yang menuding jari menuduh saya mahu lari daripada kontroversi yang tercetus.

�Dan, membuatkan saya tergelak ada yang menganggap saya bawa hati yang lara selepas putus cinta dengan Pierre. Saya bukanlah seorang yang cepat mengalah dalam hidup, saya sudah semakin lali dengan kontroversi apabila bergelar anak seni.

"Cuma ketika itu, saya tidak mahu memanjangkan perbalahan, saya tak mahu ada hati yang terus terguris dengan kenyataan saya. Tidak guna terus bertelingkah dan bersikap seperti budak sekolah, ia lebih mengusutkan keadaan dan mencemarkan nama. Sebenarnya, bukan saya tidak mahu bekerjasama dengan David, saya memang teruja nak mengikuti rangka promosi filem Jangan Tegur kerana saya sedar, itu antara filem terbaik lakonan saya.

Nafi dihasut Pierre, akui hubungan rapat

"Bagaimanapun, mereka (MIG) tidak dapat memberikan tarikh tetap, saya pula sudah merancang terbang ke Amerika Syarikat. Saya pernah ke pejabat MIG bertemu dengan kakitangan David, tetapi mereka minta saya menunggu. Saya memang teruja mahu mengikuti rangka promosi filem itu, saya sanggup ke pejabat mereka, tetapi tiada jawapan pasti yang diperoleh.

�Apabila sudah ada tarikh, saya hanya dapat mengikuti dua slot memandangkan saya juga mempunyai komitmen lain. Saya perlu melunaskan kerja terakhir sebelum bercuti panjang, jadi jangan cakap saya mungkir janji. Saya sudah memberikan tempoh kepada mereka, lagi pun saya sudah beritahu awal, bagi notis selama sebulan."

Gadis lulusan Savannah College of Art & Design, Georgia, itu berkata selama ini, dirinya tidak pernah masuk campur perbalahan David dengan Pierre, malah ketika pergaduhan besar tercetus, dia turut berlakon untuk menyudahkan penggambaran filem Jangan Tegur.

Semakin bergaya seksi, Julia akui: "Saya bekerja secara profesional, perbalahan antara David dan Pierre biarlah mereka selesaikan sendiri. Jika ada yang menganggap keputusan saya dihasut Pierre, saya nafikan sekeras-kerasnya. Jika saya berkomplot dengan Pierre tentu saya tidak menghabiskan penggambaran filem Jangan Tegur. Hubungan saya dan Pierre memang rapat tetapi soal kerjaya, itu hak saya.

"Mereka bergaduh tetapi janganlah kaitkan saya sekali. Apa juga keputusan yang saya buat tidak pernah dipengaruhi sesiapa, Pierre tidak pernah menghasut, keluarga saya juga tidak masuk campur. Bagaimanapun, saya agak tersinggung dengan satu kenyataan David ketika bertemu dengannya suatu ketika dulu. Saya nak tegaskan, saya rapat dengan Pierre, tetapi soal jodoh biarlah Tuhan yang menentukannya."

Mahu jadi pengarah, terbit filem

Julia juga berkata, dia sedar ramai yang tersalah tafsir hubungannya dengan Pierre, bagaimanapun setakat ini, mereka hanya berkawan rapat.

"Saya tak boleh nak kategori hubungan saya dengan Pierre 'teman tapi mesra', tetapi apa yang dapat saya katakan, kami rapat serapatnya. Saya juga rapat dengan ibu Pierre, Khatijah Tan. Bagaimanapun, saya tidak menolak jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan Pierre. Saya bukan seorang yang mudah jatuh cinta, tetapi jika nak mencari pasangan hidup, saya mahukan lelaki itu mengenali saya, apa yang saya suka dan sebaliknya.

"Jadi lelaki itu perlulah menjadi sahabat saya terlebih dulu, sebelum berani melamar saya. Bagaimanapun, buat masa ini, saya belum terdesak nak mencari pasangan hidup, perjalanan kerjaya saya masih panjang lagi. Saya mempunyai matlamat lain dalam hidup," katanya yang kini sibuk dengan filem pertama terbitannya, Crayon.

Julia berkata, dia dan kakaknya, Linda Ziegler berkongsi syarikat, Zioss Sdn Bhd merancang menerbitkan tiga filem. Filem pertamanya, Crayon arahan pengarah muda, Aminuddin akan menjalani penggambaran bulan depan. Bagaimanapun, dirinya tidak berlakon dalam filem itu.

"Impian saya bergelar penerbit akan jadi kenyataan tidak lama lagi apabila filem pertama terbitan saya, Crayon dibintangi Adibah Noor dan Aznil Nawawi memulakan penggambaran 7 Disember ini. Filem berkenaan mengisahkan kehidupan dan kesedihan anak-anak yatim dan ia memberi makna buat saya. Saya dan Linda juga akan menerbitkan dua filem lagi, kisah orang kurang upaya dan orang tua, tahun depan.

"Sebenarnya pemergian saya ke Amerika Syarikat juga bertujuan mencari kolej sesuai untuk saya menyambung pelajaran, tapi bukan lagi jurusan arkitek. Saya akan mengambil kursus jangka pendek dalam bidang pengarahan filem hujung bulan ini. Saya dijangka ke Amerika Syarikat meneruskan pengajian selama tiga bulan. Insya-Allah... sekembali ke Malaysia tahun depan, saya sedia menduduki kerusi pengarah," katanya yang pernah bercita-cita mahu menjadi guru tadika jika tidak bergelar pelakon.

Solekan & Dandanan: AP Temerloh (019-969 7607)

  • Busana: Nana G Boutique, Jalan Telawi, Bangsar, Kuala Lumpur. www.nanagboutique.blogspot.com (Liyana Ghaus 03-2282 5182)

  • Read more!