Saturday, July 3, 2010

Julia Ziegler Seperti Mahu Jadi Jahat Di Luar Set Penggambaran


http://mstar.com.my/...

TERLALU menghayati watak antagonis, Julia Ziegler mengakui sering terbawa-bawa watak itu apabila berada di luar set penggambaran.

Menurut gadis berusia 26 tahun ini, dia mudah terpengaruh apabila melakonkan watak yang mempunyai unsur jahat.

"Saya mudah lemah bila membawa watak-watak antagonis. Biarpun sudah selesai penggambaran dan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah saya akan mudah terfikir untuk buat benda-benda tak elok dan melencong ke tempat lain.

"Biasanya bila bawa watak seperti perempuan jahat, perasaan jahat itu seolah-oleh mempengaruhi saya. Sebab itu selepas selesai penggambaran saya banyak bersihkan diri. Dekatkan diri dengan tuhan," jelasnya.

Dalam pada itu, Julia yang kelihatan agak kurus berbanding sebelum ini memberitahu terbawa-bawa watak terbarunya dalam cerita Tudung Ekspres membuatkan dia kehilangan berat badan.




Dia yang pernah mencecah berat badan sehingga 60 kilogram kini mengakui berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 8 hingga 10 kilogram.

"Watak dalam drama itu menjadikan saya kurus. Memegang watak sebagai Dira iaitu seorang editor majalah yang terlalu obses dengan penjagaan kesihatan, penampilan dan kesempurnaan membuatkan saya terbawa-bawa watak itu sehingga kini.

"Tapi jika ia kearah kebaikan tiada salahnya. Sebelum ini saya malu dengan berat badan saya.

"Saya sering tukar topik jika kelaurga atau rakan-rakan cuba bercerita tentang berat badan," katanya tersenyum manis.

Julia memberitahu kali pertama membawa watak sebagai perempuan dewasa dan bekerjaya dalam Tudung Ekspress.

"Kali ini saya bawa watak yang tidak pernah saya bawa. Watak ini sebagai perempuan yang sudah melalui peringkat umur dewasa dan mempunyai keluarga, ia adalah cabaran bagi saya yang biasa bawa watak gadis remaja," katanya.

Tudung Eksperess keudara setiap Khamis pukul 9.30 malam bermula 8 Julai ini.

Read more!