Friday, November 12, 2010

Filem sulung Linda dan Julia Ziegler ditayangkan di Los Angeles




www.bharian.com.my
Kecekalan dua beradik
Oleh Farihad Shalla Mahmud


PERTALIAN darah bukan saja menyatukan mereka sebagai anggota keluarga, tetapi juga mengheret langkah kedua-duanya untuk menceburi bidang yang sama. Cuma si adik lebih dikenali di depan kamera, manakala si kakak lebih selesa bekerja di belakang tabir. Namun, atas dasar minat serta mahu memeriahkan industri perfileman negara, dua wanita ini nekad untuk menerbitkan filem pertama di bawah syarikat produksi mereka, Zioss Films Sdn Bhd berjudul Crayon.

Semalam, filem arahan Dean A Burhanuddin itu mula ditayangkan di pawagam seluruh negara. Ibarat menantikan kelahiran anak sulung, sudah tentu perasaan berdebar menerkam jiwa dua beradik yang dikenali sebagai Julia dan Linda Ziegler ini. Memang benar mereka mempunyai pengalaman, namun sebagai orang baru dalam bidang pembikinan filem, pastinya keraguan bersarang juga dalam hati tatkala menantikan reaksi penonton.


Ketika hadir ke Balai Berita bagi menjayakan sesi fotografi bersama Hip, Linda yang juga Penerbit Eksekutif untuk Zioss Films Sdn Bhd berkata, sememangnya dia gementar menantikan reaksi penonton yang tentunya mempunyai pelbagai cita rasa.

“Sebelum ini saya hanya menerbitkan program TV dan baru kali ini saya memberanikan diri menghasilkan filem. Ketika filem ini dipertontonkan kepada media, ramai yang mengatakan Crayon mempunyai sentuhan seperti filem arwah Yasmin Ahmad. Jika mereka mengaitkan perkara itu dengan mesej positif dan nilai kekeluargaan yang ada di dalamnya, saya menerima dengan terbuka. Namun dari sudut pengarahan dan pembikinan secara keseluruhan, filem ini berbeza dengan filem arwah.

“Saya juga mendapat maklum balas yang mengatakan filem ini kurang nilai komersial dan mungkin agak sukar untuk mendapat tempat di hati peminat. Bagaimanapun, pada saya, sampai bila kita mahu menghasilkan filem yang berpaksikan komersial semata-mata? Ada ketika, kita kena tanggung risiko dengan menghasilkan filem seperti ini, yang menjadikan kisah anak yatim sebagai inti pati cerita. Kalau kita tak buat filem seperti ini, siapa yang akan buat?” luah Linda.

Meskipun terpaksa berdepan pelbagai cabaran yang boleh mematahkan semangat jika hati tidak sabar, Linda dan Julia tetap tidak mengaku kalah untuk meneruskan niat menghasilkan filem ini.
“Kalau nak cerita pasal pengorbanan, memang banyak. Sewaktu hendak buat filem inilah baru saya kenal siapa kawan, siapa lawan. Puas saya dan Julia panjat macam-macam bangunan, tebalkan muka mencari penaja. Malangnya, tak semua mahu membantu. Mungkin mereka agak skeptikal untuk menjadi penaja apabila yang meminta itu ialah Zioss Films. Kalau syarikat produksi lain yang lebih gah, rasanya tiada masalah,” katanya penuh bermakna.

Justeru, dengan bajet terhad, Linda tidak malu mengakui projek pembikinan filem itu turut dibantu dengan tulang empat kerat anggota keluarga sendiri.

“Selain Julia sendiri yang banyak melakukan kerja di belakang tabir membantu saya, anggota keluarga seperti ibu dan ayah saya juga turut turun padang menolong apa yang patut. Contohnya, kerja menggulung poster, mereka yang lakukan. Kadang-kadang, kalau ada mesyuarat, kami buat di rumah dan ibu yang akan masak untuk team produksi. Ibaratnya katering keluargalah,” ujarnya sambil ketawa.

Alang-alang kaki sudah melangkah ke arena perfileman, tegas Linda, impiannya untuk menerbitkan filem tidak terhenti setakat filem Crayon. Jauh di sudut hati, dia mempunyai cita-cita untuk terbang tinggi melangkaui sempadan dunia.

“Memandangkan filem Crayon sudah pun ditayangkan di Laemmle Theatres, Los Angeles, pada awal November lalu dan kami sudah ada kenalan di sana yang boleh membantu, saya menyimpan hasrat untuk menerbitkan sebuah filem Gred B untuk pasaran Hollywood. Kita ada tenaga kerja yang hebat, yang setaraf dengan mereka. Cuma tidak diketengahkan saja. Apa yang penting sekarang ialah modal.

“Sekarang ini pun mereka sudah meletakkan kepercayaan pada filem Crayon dan ditambah dengan bantuan kenalan yang berjanji untuk mempromosikan saya di sana, insya-Allah, saya yakin peluang itu akan datang juga satu hari nanti,”ujarnya optimis.

Pilih lelaki Melayu

DEMI kerana Crayon, Julia sanggup mengetepikan cita-citanya sendiri. Namun tidak pernah dia menyesal kerana pelakon ini sedar, apa yang dilakukannya itu lebih berbaloi dan membawa makna tersendiri dalam kehidupan.

“Sebelum ini saya pernah menyuarakan hasrat untuk terbang ke luar negara untuk mendalami bidang perfileman. Namun apabila saya terbabit dalam pembikinan filem ini, barulah saya sedar pengalaman yang saya peroleh sewaktu melakukan kerja produksi filem ini lebih bermakna sebenarnya. Sebagai seseorang yang bercita-cita untuk duduk di kerusi pengarah, saya rasa apa yang saya lalui sebelum ini memberi ilmu amat berharga yang tak mungkin saya temui di tempat lain.

“Cuma apabila ramai yang melihat saya sibuk bekerja keras dalam produksi ini sehingga terpaksa menolak tawaran berlakon, menyebabkan ramai yang membuat andaian saya sudah tidak minat beraksi depan kamera lagi. Untuk pengetahuan semua, saya masih minat berlakon dan pembabitan saya dalam kerja belakang tabir Crayon adalah sebagai persediaan untuk menjadi seorang pengarah,” katanya.

Bertemu gadis tinggi lampai ini, tidak sah kalau tidak bertanya soal hati dan perasaan. Jika sebelum ini heboh kononnya dia bakal menamatkan zaman daranya namun akhirnya cerita itu tenggelam begitu saja.

“Sesekali terdetik juga perasaan untuk bercinta, tapi malangnya masih tiada calon. Entah mengapa, kebanyakan lelaki sukar untuk mendekati saya. Mungkin mereka lihat saya terlalu berdikari membuatkan mereka ada perasaan takut nak menghampiri.

“Apa yang saya harapkan daripada seorang lelaki hanyalah penerimaan seadanya dan memahami diri saya ini. Kalau boleh, saya hendak lelaki Melayu sebagai pasangan hidup Julia,” katanya yang sebelum ini pernah dikatakan mempunyai hubungan intim dengan pelakon dan pengarah, Pierre Andre.

Tajaan pakaian: Scandalous Boutique (Nasha Zain - 017-2076339)
Tajaan solekan dan dandanan: Iss @ Kiss (Iss Muhammad - 017-2475093, iss_kiss@yahoo.com

Read more!

Monday, November 8, 2010

tekkksiiii!!!! pwwiiittt


RTM mempersembahkan, drama komedi zul bertajuk Teksi millennium....kisah lucu kehidupan pemandu teksi kuala lumpur....

Read more!