www.hmetro.com.my
Oleh Nor Akmar Samudin
2010/08/18
RAMADAN ini disambut dengan penuh kesyukuran oleh Julia Ziegler, 26, kerana selepas empat tahun sibuk di lokasi penggambaran sepanjang bulan mulia itu, tahun ini dia dapat bercuti panjang menghabiskan masanya bersama keluarga serta mengisi Ramadan ini dengan menambahkan amalan harian.
Anak ketiga daripada empat beradik itu bertadarus, mengerjakan solat tarawih dan juga menambah pendapatan dengan berniaga makanan. Pernah merantau ke negara orang menimba ilmu, Julia sudah biasa dengan periuk belanga dan apatah lagi ibunya sendiri memang handal dalam urusan ke dapur.
Pun begitu bagi menambahkan lagi ilmu di dada, Julia sedang mengasah lagi kemahiran memasak dengan ibunya. Katanya, meskipun bertahun memasak, manakan sama dengan air tangan ibu.
Lantaran itu Julia akan berusaha mewarisi kepandaian ibunya itu kerana si cantik jelita itu menyedari setinggi mana pun ilmu dicari, ke mana pun dia terbang tinggi, tugas sebagai seorang wanita yang bakal bergelar isteri dan ibu pasti akan digalasnya suatu hari nanti.
“Saya sedar sebagai pengikat kasih sayang keluarga, air tangan isteri juga yang akan memikat hati suami. Bukan saja mummy handal dalam bab memasak malah daddy pun apa kurangnya. Dia pandai buat kek coklat yang memang tiada tandingannya.
“Daddy berasal dari Kentucky, Amerika Syarikat dan dia mewarisi resipi membuat kek daripada keluarganya. Rugi kalau saya tidak belajar memasak daripada mummy dan daddy.
“Jadi masa terluang sepanjang Ramadan ini, dapatlah saya belajar dan mengumpul resipi baru. Siapa tahu, saya boleh menjadi usahawan dalam bidang makanan pula. Buat perkara yang diminati dan disukai lebih senang daripada terikut-ikut cara orang lain berniaga.
“Ramadan ini juga kakak saya yang menetap di Amerika balik ke sini, jadi dapatlah kami berganding bahu menyediakan juadah berbuka dan berniaga. Dia akan tinggal lebih lama di sini sehingga Syawal,” katanya.
Kata Julia, kedudukannya sebagai artis yang dikenali ramai agak memudahkan untuk memulakan perniagaan. Kala peminat masih memberi sokongan, Julia menggunakan peluang dan kesempatan itu dengan sebaiknya.
“Saya juga bercadang membuka restoran. Ini bukan omong kosong kerana selama tempoh dua tahun menuntut di Amerika, saya berusaha mendalami bidang masakan dan tahun lalu ketika tinggal di sana bersama kakak, saya sempat bekerja di restoran.
“Menetap di negara orang membuatkan kita rindu kepada masakan di negara sendiri, mengingatkan masak lemak cili padi terliur dibuatnya. Tiada banyak pilihan melainkan masak sendiri,” katanya.
Meniti usia 26 tahun, Julia juga sudah mula terfikir untuk mencari pasangan hidup. Hatinya terdetik untuk ke jenjang pelamin selepas melihat ramai rakan seangkatannya dalam bidang seni seperti Dynas, Yatt, Sariyanti dan Noor Khiriah sudah pun memiliki cahaya mata. Namun, kata Julia, tiada calon untuk mendampingi dirinya.
Apapun, Julia lega kerana makin sepi daripada kontroversi baru-baru ini. Bagaimanapun baru hendak menarik nafas lega, baru-baru ini sekali lagi fitnah menimpa dirinya apabila gambar bersama seorang kenalan di kelab menimbulkan cerita kononnya ada cinta antara mereka.
“Kejadian itu berlaku awal Julai lalu ketika saya keluar bersama rakan. Bukan berduaan tetapi beramai-ramai. Kebetulan sewaktu bergambar, rakan lelaki yang duduk di sebelah memandang ke leher saya dan sekali pandang macam dia mencium saya. Mummy dan daddy pula dapat tahu, puaslah saya bersoal jawab dengan mereka.
“Selain itu ada juga menabur cerita saya sudah menikah. Calon pun belum berjumpa, bila masa pula saya bersuami. Itulah cabaran menjadi insan dikenali ramai dan saya tidak boleh lagi menikmati kehidupan sebagai orang biasa.
“Memang ada rancangan hendak berkahwin tahun ini kerana saya tengok tarikh 10.10.10 sangat cantik tetapi sehingga kini belum ada yang masuk meminang.
“Bagaimanapun, saya tidak pernah merungut ataupun berasa rimas kerana ini jalan yang saya pilih. Bahkan saya rasa ada kebaikannya juga kerana apabila sebahagian hidup ini terpaksa berkongsi dengan masyarakat, saya berusaha menjadi insan terbaik.
“Rentetan hidup saya dalam dunia hiburan bermula sebagai model namun kala itu saya tidak begitu mengendahkan apa orang kata terhadap saya kerana ruang lingkup kehidupan saya sebagai selebriti ketika itu tidak begitu besar dan ia berbeza apabila bergelar pelakon yang wajah sering muncul di televisyen.
“Sejak itu saya mula mengambil berat dan memikirkan setiap kritikan yang dilemparkan kepada saya di mana saya tidak boleh lagi bersikap tidak acuh. Dalam pada itu pernah juga tersirat di sanubari betapa bebasnya mereka di luar sana mencatur kehidupan sendiri.
“Dek kerana itu juga demi mengelakkan pelbagai andaian yang tidak baik terhadap saya, sekarang lebih senang bersendirian. Dalam mencari pasangan hidup, saya mengharapkan orang biasa saja dan biarlah kami menjalani kehidupan seadanya. Biarlah dia insan yang beriman dan beramal soleh untuk membimbing saya ke jalan diredai Allah swt,” katanya.
Sama ada jejaka idaman itu akan menjelma tidak lama lagi atau sebaliknya, Julia menyerahkannya kepada ketentuan Yang Maha Esa. Dalam usahanya mencari calon suami, dia tidak menafikan ada beranggapan ‘maintenance’ artis ini tinggi.
“Mereka melihat kereta yang dipandu, baju yang digayakan dan pelbagai lagi sehingga menimbulkan persepsi beristerikan artis ini ‘mahal’. Artis orang biasa juga, ada masa senang dan susah. Tiada banyak bezanya dengan orang lain cuma bidang kerja yang membuatkan kami popular. Adakalanya dalam kerlipan dan limpahan populariti ada rasa kesunyian,” katanya.
Kata Julia, jika tidak menjadi artis dia memilih menjadi guru mengikut jejak ibunya seorang pengetua sekolah. Dia sukakan kanak-kanak dan hatinya terhibur melihat telatah mereka.
“Mereka tiada masalah dan tidak perlu banyak fikir seperti orang dewasa menjadikan mereka manusia yang selalu ceria serta bahagia,” katanya.
Julia juga menyedari hakikat kehidupan yang dia tidak akan terus muda dan jelita. Tiba masa kejelitaan itu akan pudar juga justeru dia sudah
bersedia untuk menghadapi setiap perubahan dalam putaran hidupnya itu.
Pakaian: D&D Beauty House, Dataran Waterfront,Bandar Baru Ampang, Ampang (03-4293 2588)
Solekan dan Dandanan: AP Temerloh (019-3445429)
Wednesday, August 18, 2010
Belum ada masuk meminang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment