www.kosmo.com.my
Oleh FERIDE HIKMET ATAK
LAMA juga kelibat pelakon Julia Ziegler sepi tanpa berita lebih-lebih lagi selepas dirinya menjadi bahan gosip cinta dengan pelakon-pelakon hebat seperti Yusri KRU, Shamsul Yusof dan Pierre Andre.
Bertemu dengannya pada rakaman komedi muzikal, Kampung Prima: Babak 105 di Astro baru-baru ini, Julia tampak anggun dengan salinan baju kebaya nyonya.
Bagaimanapun, anak kacukan Inggeris dan Melayu itu kelihatan agak kurus berbanding dahulu, ketika baru pulang dari bercuti di Amerika Syarikat (AS).
Mengusik Julia apa yang sudah terjadi dengan tubuhnya yang semakin susut, pantas saja Julia berseloroh: "Saya tak ambil pil kurus ya."Beritahu Julia, dia juga terkejut dengan penampilannya yang semakin kurus gara-gara kurang tidur.
"Saya kurus sangat ke? Risau juga, sudahlah demam selalu muncul tak tentu masa. Kemudian susah tidur pula. Takut juga bila kesihatan tak stabil. Takut melarat pula. Mungkin kerana terlalu banyak kerja membuatkan diri saya terbeban agaknya," ujarnya resah.
Melakonkan watak sebagai Fatimah dalam Kampung Prima: Babak 105, Julia gembira, walaupun di bulan puasa, rezekinya tidak putus-putus menerima tawaran berlakon.
Jika para selebriti memilih untuk memperlahankan kesibukan kerja di bulan Ramadan, lain pula bagi Julia, dia agak sibuk dengan jadual kerja yang padat.
Katanya, mengikut perancangan awal, dia mahu berehat sahaja sepanjang Ramadan. Bagaimanapun, demi mencari rezeki, anak ketiga daripada empat beradik itu sanggup menahan penat berpuasa sambil bekerja.
"Pada sangkaan saya, tak ada banyak tawaran yang akan ada di bulan Ramadan. Tak sangka pula, kerja saya berderet-deret. Tapi Alhamdulillah, semua itu rezeki.
"Apapun, saya akan pastikan Ramadan tahun ini tetap akan diisi dengan amalan-amalan bertadarus dan bersolat tarawih. Jangan ingat saya tak buat amalan-amalan lain pula.
"Dalam pada itu, saya turut akan meluangkan masa bersama ibu memasak di dapur. Dapatlah belajar sedikit sebanyak resipi baru daripadanya," kata Julia.
Malah apa yang membuat dia gembira, kerana tawaran yang diterima adalah kerana bakat yang dimiliki dan bukan kerana memiliki paras rupa kacukan.
"Walaupun masih lagi ada pandangan skeptikal mengenai wajah kacukan, saya gembira, diri ini semakin diterima ramai. Terbaru, saya terbabit dalam filem Ombak Rindu arahan Osman Ali. Saya gembira kerana dapat berlakon di bawah arahannya.
"Apa lagi dapat berlakon di samping Maya Karin dan Aaron Aziz. Kerana itu, saya sanggup menerima tawaran karakter jahat agar dapat bersama mereka," katanya yang hangat di kaca televisyen menerusi drama Tudung Ekspres dan Masam Manis Ramadan.
Tidak cemburu
Meniti usia 26 tahun, Julia sudah mula memikirkan untuk mendirikan rumah tangga. Gembira dengan kerjayanya yang semakin mantap, dia juga turut bahagia kerana memiliki seseorang yang istimewa sebagai teman ketika susah dan senang.
Enggan mengulas lebih lanjut identiti jejaka bertuah yang menjadi pilihan hatinya, Julia sekadar memberitahu, dia sedang mengenal hati budi lelaki itu.
"Benar, saya sedang mengenali seseorang, tapi ia masih lagi dalam tempoh perkenalan. Alhamdulillah, perkenalan kami sudah mencecah lapan bulan dan dia muda setahun daripada saya.
"Jangan salah tafsir pula, pemikiran dia jauh lebih matang daripada umurnya. Mengejutkan, dia bukanlah seperti ciri-ciri lelaki idaman saya, tetapi kami saling memahami dan satu kepala untuk berbicara tentang apa-apa topik sekalipun.
"Alhamdulillah, dia juga faham dengan kerjaya saya dan tidak cemburu tak tentu fasal," tuturnya sambil memberitahu sikap jujur antara sama satu lain membuatkan hubungan mereka berjalan lancar.
No comments:
Post a Comment