Saturday, August 28, 2010

Tudung Ekspres Tampil 2 Episod Istimewa

www.murai.com.my

KUALA LUMPUR, 27 OGOS 2010: Setelah ke udara selama 7 episod, drama bersiri yang semakin mendapat tempat di hati peminat Tudung Ekspres, meneruskan perjalanan 4 wanita bertudung dalam mengharungi kehidupan di bulan Ramadan dan detik menjelang 1 Syawal menerusi 2 episod khas.

Bermula malam semalam dan diikuti 2 September depan pada jam 9.30 malam menerusi Astro Prima (saluran 105), drama arahan Faisal Ishak ini masih menampilkan 4 pelakon utamanya iaitu Lisa Surihani sebagai Erin, Julia Ziegler (Dira), Chermaine Poo (Mei) dan Linda Hashim (Dell).

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, Tudung Ekspres menawarkan episod istimewa sempena beberapa peristiwa yang berlaku sepanjang bulan Ramadan dan Syawal daripada 4 jelitawan muslimah berkenaan.


"Jalan cerita dan bentuk penceritaan telah disesuaikan sebaik mungkin. Ianya akan membawa para penonton untuk mengikuti perkembangan watak yang ditonjolkan dalam drama bersiri ini," katanya ketika sidang media dan majlis berbuka puasa sempena pelancaran 2 episod berkenaan.

Dua episod istimewa ini, menceritakan konflik berlaku antara Dira dan suaminya apabila dia memandang rendah dan curiga terhadap suaminya.

Bagaimanapun perasaan itu berubah apabila dia semakin memuji tentang kebaikan dan keikhlasan suaminya itu yang telah banyak berubah.

Di sebalik pujian, ada sesuatu yang tidak diketahui Dira dan setiap kali beliau menceritakan tentang kebaikan suaminya, Erin bagaikan meluat, seperti ada sesuatu yang disorokkan.

Mei bagaimanapun telah mengetahui akan situasi sebenar, namun menghadapi kesukaran untuk bersemuka dengan Dira, apatah lagi untuk menjelaskan perkara sebenar.

Tudung Eskpres turut memperlihatkan penglibatan Garnier sebagai penaja utam. Melalui siri ini, Garnier berharap dapat menampilkan peranannya sebagai jenam kecantikan yang prihatin dan bertnggungjawb selari dengan nilai-nilai penting yang ditunjukkan dlam setiap episod.

Seiring dengan judulnya, Tudung Ekspres memberi peluang kepada penonton untuk menyelami pelbagai isu dan emosi yang dialami keempat-empat wanita bertudung dalam mengejar kebahagiaan di samping mengetengahkan isu-isu semasa.

Memang tidak dinafikan begitu ramai di kalangan wanita dalam masyarakat kita yang bertudung dan memiliki kerjaya hebat dalam sesebuah syarikat mahupun organisasi. Bagaimanapun, jarang penonton didedahkan dengan drama mahupun filem yang menampilkan watak sedemikian.

Selain mengetengahkan 4 watak utama bertudung, drama ini dianggap unik dan lebih realistik apabila turut menyelitkan unsur-unsur yang wujud dalam kebanyakan masyarakat kita seperti masalah kewangan, cinta, keluarga, hidup secara sederhana dan juga obsess terhadap kerjaya.

No comments: