Sunday, April 26, 2009

Jangan jadi budak sekolah – Julia Ziegler

www.utusan.com.my

Selepas berlaku kemelut antara pengarah muda Pierre Andre dengan produser filem David Teo, tercetus pula satu lagi konflik baru melibatkan penerbit filem itu.

Kali ini membabitkan teraju utama filem Jangan Tegur, Julia Ziegler yang didakwa mungkir janji kerana gagal menghadiri promosi filem tersebut yang ditayangkan sejak 9 April lalu.

David dikatakan menggugurkan nama Julia kerana kecewa dengan sikap pelakon itu yang hanya mampu memenuhi dua lokasi promosi daripada 14 lokasi yang telah dipersetujui sebelum ini.

Kerana sikap Julia itu, Metrowealth Movie Production dikatakan serik untuk mengambilnya membintangi filem terbaru terbitan syarikat berkenaan.

Julia yang ditemui pada majlis ulang tahun ke-14 Majalah Mangga di Saloma Bistro pada 18 April lalu menceritakan kekecewaannya terhadap David.

Pelakon itu mendakwa David memberikan jadual promosi pada saat-saat akhir ketika dia sedang sibuk menjalani penggambaran dengan produksi lain.

David dikatakan enggan bertolak ansur sedangkan Julia sanggup menghadiri dua rangka promosi selepas menyusun semula jadual penggambarannya.

“Jangan cuba mempermainkan saya,” luah Julia kepada wartawan NIEZAM ABDULLAH dua hari sebelum dia berlepas ke Georgia, Amerika Syarikat untuk menemui kakaknya. Julia, tolong jawab!Kenapa muka masam saja ni? Penat ke?

Penat sikit bang. Baru balik shooting Momok The Movie arahan Pierre. Dari lokasi, terus datang ke majlis ulang tahun majalah Mangga ni.

Tengok muka macam ada sesuatu yang tak kena? Ada masalah kerja ke?

Entahlah, fikiran saya hari ini betul-betul berserabut. Penat ada sedih pun ada bila fikir macam-

macam orang buat pada kita.

Orang buat? Maksud Julia?

Yalah... kadang-kadang orang tak faham kerja kita dan nak salahkan macam-macam. Saya penat dengan orang yang begini.

Ada masalah dengan David Teo ke? Dengar cerita Julia tak pergi promosi Jangan Tegur. Kenapa?

Itupun salah satu masalah juga. Macam ini ceritanya. Lepas penggambaran filem Jangan Tegur tu saya memang mengaku kepada David nak ikut promosi filem itu. Tapi saya dah bagi tahu kepada pihak Metrowealth supaya bagi jadual (promosi) tu sebulan sebelum siri jelajah mereka. Yalah... saya ada kerja juga. Nak berlakon dengan produksi lain.

Dia orang bagi jadual tu?

Bagi. Tapi bukan sebulan sebelum sebaliknya seminggu sebelum. Masa tu saya dah terikat dengan penggambaran dengan produksi lain. Saya tak dapat nak pergi promosi sebab masa yang diberi pada saya itu tak sesuai kerana terlalu singkat. Yang saya sedih David telefon saya marah-marah. Kenapa pula nak marah-marah? Jangan jadi macam budak sekolah.

Daripada 14 siri promosi, takkan satu pun tak boleh ikut. Sibuk sangat ke Julia ni?

Sebelum ini saya dah bincang dengan David. Saya kata kalau dia nak buat promosi biarlah di dalam Kuala Lumpur. Dia kata okey. Bila dapat jadual, saya kena pergi ke Singapura dan beberapa tempat di luar Kuala Lumpur. Tak bolehlah macam itu. Tapi kerana dia, saya susun juga jadual. Akhir sekali saya hanya dapat pergi ke dua lokasi saja. Malang sekali dia naik angin dan marah-marah saya. Dia merajuk dan tak nak langsung panggil saya terlibat dalam promosi tu walaupun saya dah susun jadual kerana nak tolong dia.

Apabila heboh cerita kononnya Julia mungkir janji, Julia tak rasa sakit hati?

Saya tak nafikan memang geram juga sampaikan saya terpaksa gunakan kakak saya untuk masuk campur (berurusan dengan David). Dia orang kena ingat, saya ni bukan artis mereka sepenuh masa. Saya tak tandatangani kontrak jadi artis untuk mereka. Cuma untuk berlakon filem mereka (Jangan Tegur) saja. Dia tak ada hak nak memperlekehkan saya sesuka hati.

Selain kena marah dengan David, ada tak perkara lain yang Julia terkilan?

David cuba masuk campur persahabatan saya dengan Pierre Andre. Dia jumpa saya, dia kata kalaulah saya kahwin dengan Pierre, mesti saya kena cerai (dengan Pierre) punya. Apa ni? Kenapa cakap macam tu? Dia bukan Tuhan nak tentukan semua benda.

Mungkin David masih terluka dengan sikap Pierre. Sebab itu dia cakap macam tu.

Saya nak kawan dengan sesiapa pun itu semua hak peribadi saya. Jangan cakap perkara yang tak elok. Buat tuduhan yang tak sepatutnya. Saya mengaku Pierre memang kawan baik saya buat masa ini. Tapi kami bukan bercinta. Yang penting kami boleh faham masalah masing-masing. Selama ni saya banyak bersabar dengan sikap David.

Julia dengan Pierre bercinta ke sebenarnya?

Bercinta? Taklah. Kami kawan. Saya memang sayang dia tetapi sebagai kawan. Dia berbakat. Saya puji kemahiran yang dia ada. Selama ini dia banyak bagi nasihat kepada saya. Dalam masa yang sama Pierre pun banyak juga belajar dengan saya macam mana hendak hidup berdikari. Persahabatan kami tak ada masalah. Cuma bila ada orang nak cetuskan persahabatan kami, itu yang saya tak suka.

Read more!

Wednesday, April 22, 2009

Julia Ziegler lebih pada drama

www.intro2u.net

BERBANDING filem, rezeki pelakon jelita Julia Ziegler lebih pada drama. Kebelakangan ini wajahnya kerap menghiasi drama TV. Akuinya, dia banyak terima tawaran berlakon walaupun filem baru lakonannya, Jangan Tegur masih ditayangkan di pawagam.

Kata Julia, jadual aktiviti seninya kian sibuk dan dia baru selesai menjalani penggambaran drama Bisikan Suaka arahan Darmawati. Dalam drama itu, dia menjadi pelakon utama di samping Aaron Aziz, Ruminah Sidek dan A R Badul.

“Drama ini mempunyai persamaan dengan Jangan Tegur kerana membabitkan hantu. Jika dalam Jangan Tegur saya menjadi hantu, kali ini saya mempunyai kelebihan untuk melihat hantu. Mungkin ini rezeki saya kerana banyak ditawarkan dengan cerita hantu atau seram.

“Pada saya, tidak salah untuk buat cerita sebegini dan sepanjang berlakon, saya bersyukur kerana tidak dirasuk. Untuk Jangan Tegur pula, saya berpuas hati dengan lakonan dan respons yang diterima daripada peminat juga menyukai lakonan saya.

“Antara filem dan drama, kedua-duanya memberi peluang kepada saya untuk belajar mendalami bidang lakonan. Sebelum ini, saya tidak mempunyai asas lakon dan atas sebab itu, saya tidak segan bertanya dan menimba pengalaman orang lain.

“Saya tidak kisah jika pandangan penonton sebelum ini menganggap lakonan seperti kayu, tetapi saya berusaha untuk perbaiki kelemahan diri. Sebagai pelakon, saya berpendapat belajar lakon adalah proses yang berterusan,” katanya.

Dalam kesibukan berlakon, Julia, 25, menyatakan dia mahu berehat seketika daripada lakonan. Katanya, dia akan berangkat ke Amerika Syarikat pada malam ini dan berkemungkinan ingin berehat selama setahun.

“Saya ke sana atas tujuan urusan keluarga. Sebenarnya, sudah lama saya tidak bertemu dengan anggota keluarga saya yang tinggal di Kentucky dan Georgia. Bukan niat saya untuk merajuk atau membawa diri, tetapi saya juga manusia biasa yang ingin berehat seketika dan menenangkan fikiran daripada tekanan kerja.

“Dalam tempoh ini, saya bercadang untuk sambung belajar dalam bidang seni persembahan di sana. Dulu, saya pernah belajar di Savannah College Of Art And Design, Georgia dalam bidang arkitek dan mungkin saya belajar di tempat yang sama.

“Walaupun saya berada di sana tetapi hati saya tetap di Malaysia. Saya tetap akan pulang ke sini dan pilihan jodoh saya tetap orang Malaysia,” katanya.

Read more!

Sunday, April 12, 2009

Jangan Tegur memang seram!


www.bharian.com.my
Sorotan Rozdan Mazalan

WALAUPUN penggunaan judul Jangan Tegur iaitu filem ke-28 terbitan Metrowealth (MIG) bagaikan tidak relevan dengan penceritaan dan motif persoalan naratifnya, elemen seram yang terkandung dalam skrip dan arahan Pierre Andre ini nyata berjaya dari segi memberi kesan seram kepada audiens terutama aspek tata bunyi dan kesan solekan.



Pada awal penceritaan lagi sudah menggambarkan unsur suspen dan dramatik yang mampu mengejutkan dengan aksi tiada dijangka dan penonton juga tidak dapat membayangkan apa motif sebenar kemelut watak yang dihadapi dari babak ke babak seterusnya hinggalah menjelang ke hujung ceritanya barulah segalanya terbongkar. Dari sini, penonton dapat melihat elemen seram itu dibiarkan menjadi persoalan antara watak dan situasi yang menyebabkan konflik berlarutan.

Kisah di sebalik penceritaan yang digarap kemas mengikut pengalaman yang pernah dialami pelakon wanita utamanya, Julia Ziegler banyak membantu lakonan beliau. Julia ketika berada dalam rawatan dan kemudian apabila keluar dari hospital bijak bermain dengan air muka yang curiga, gusar dan resah silih berganti hingga menghantui fikirannya. Ini menjadikan peranan yang diberikan sebagai Natasya berkesan.

Dia yang mengalami persaan bawah sedar berasakan ada sesuatu yang misteri apabila seorang gadis bernama Baizura sering mengikut jejaknya dan akhirnya beliau sendiri cuba menyiasat siapa Baizura sebenarnya. Dari situlah, Natasya mengetahui satu pembunuhan kejam sudah berlaku terhadap gadis itu akibat sikap tamak haloba kakak ipar Baizura sendiri.

Jangan Tegur mengisahkan Natasya yang mengalami kemalangan jalan raya sehingga berada dalam keadaan koma selama beberapa hari. Kemalangan jalan raya yang berlaku pada tempat yang sama seorang gadis bernama Baizura mati dibunuh tidak diketahui langsung oleh sesiapa. Sehinggalah Natasya sedar dari komanya dan sering bermimpi dengan kejadian yang pelik seakan mengajak Natasya menjejaki kes pembunuhan Baizura yang sudah dua tahun menghilang secara misteri tanpa mengetahui puncanya.

Apa yang pelik, Natasya pula di rasuk oleh sesuatu kuasa jahat yang seakan ingin membalas dendam terhadap dirinya kerana berjaya merungkai kes pembunuhan itu. Filem yang menggunakan khidmat Ella Sandra sebagai pereka kesan khas kepada pelakon bagi menambahkan elemen seram cukup berkesan di hati penonton.

Barangkali babak untuk filem ini tidak cukup dan banyak babak juga yang kelihatan bergerak begitu perlahan dan mendatar. Namun, kekuatan tata bunyi banyak memberi suspen yang boleh menyegarkan penonton untuk menyelami sendiri keadaan apabila rasukan jahat dan roh saling bersaing.

Tanpa kesan khas dan elemen muzik daripada MIG Sound Factory yang dikelolakan Brian Ng filem ini tidak akan memberikan sesuatu yang berlainan daripada filem lain. Selain Julia dan Pierre, filem ini dilakonkan oleh Nadia Mustafar, Ellie Suriati, Almy Nadia, Abu Bakar Juah, Azri Iskandar, Rozita Che Wan dan Kaza.

Jangan Tegur yang memulakan tayangannya seluruh pawagam tanah air bermula 9 April lalu bakal mengikuti jejak pungutan filem MIG sebelum ini seperti Jangan Pandang Belakang dan Congkak. Ini berdasarkan kekuatan elemen seram itu nyata berjaya dan bukan dibuat-buat kerana ia dihasilkan dengan teliti.

Judul: Jangan Tegur
Genre: Seram/Drama
Produksi: MIG Production
Penerbit: David Teo
Pengarah: Pierre Andre
Skrip: Pierre Andre
Sinematografer: Indra Che Muda
Mula Tayang: 9 April 2009
Jumlah Pawagam: 63.

Read more!

Friday, April 10, 2009

Jangan Tegur Trailer



Read more!

Jangan Tegur masuk panggung

www.bharian.com.my

Selain di negara sendiri filem seram ini turut ditayangkan di Brunei dan Singapura


MENGIKUTI jejak langkah filem seram keluaran Metrowealth Movies Production yang terdahulu, Jangan Tegur, filem terbaru daripada syarikat itu bakal ditayangkan di 64 skrin, termasuk tiga salinan di Brunei Darussalam, bermula 9 April.

Salinan sebanyak itu pernah dicatat dua lagi filem seram terbitan ini, Jangan Pandang Belakang dan Congkak. Dua filem berkenaan berjaya memungut lebih RM10 juta apabila masing-masing ditayangkan pada 2007 dan 2008.


Produser David Teo berkeyakinan, filem berkenaan mampu menarik jumlah penonton yang ramai untuk ke panggung, berikutan kualiti tinggi yang dimiliki filem itu sendiri.

"Sehingga kini, kami mendapat ulasan yang baik daripada mereka yang sudah pun menontonnya. Mereka memberikan lima bintang kepada filem Jangan Tegur. Ia memberikan petanda positif kepada filem ini. Saya sendiri tidak akan bersedia menayangkannya kepada umum, seandainya tidak berpuas hati dengan produk akhir," katanya.

Menurut David, dia sanggup mengeluarkan kos lebih bagi memastikan filem terbitannya sentiasa mempunyai kualiti yang baik.

"Kami perlu mengekalkan imej yang bagus apabila menerbitkan filem seram. Kami sudah membuktikannya dengan Jangan Pandang Belakang dan Congkak. Jadi, kami tidak akan menayangkan Jangan Tegur kalau ia tidak setara atau lebih baik daripada dua judul terdahulu,” katanya.

Di Malaysia dan Brunei, filem arahan Pierre Andre itu sudah mula ditayangkan pada 9 April, manakala peminat di Singapura pula dapat menontonnya mulai 23 April. Sebanyak 11 salinan diputarkan di republik terbabit.

Selain Pierre sendiri, filem berkenaan turut menampilkan pelakon Julia Ziegler, Nadia Mustafar, Almy Nadia, Ellie Suriaty, Azri Iskandar, Kaza, Abu Bakar Juah dan Rozita Che Wan.

Kata David, mutu filem itu dipertingkatkan dengan melakukan penggambaran semula serta rakaman tambahan untuk menyempurnakan lagi ceritanya. Secara keseluruhan, sebanyak 17 minit rakaman semula dilakukan, atas nasihat Ahmad Idham. Sebahagian penggambaran semula dilakukan sendiri Pierre, manakala selebihnya oleh penolong pengarah, Abdul Azizi Awang Ghazali.

"Sebagaimana filem seram kami terdahulu juga, sekali lagi ibu mengandung dan mereka yang menghidapi masalah jantung tidak digalakkan menonton filem ini," katanya yang memaklumkan, Jangan Tegur diklasifikasikan sebagai judul 13PG oleh Lembaga Penapisan Filem.

Menurutnya, filem berkenaan juga tidak perlu menggunakan nama besar untuk menarik perhatian ke panggung. Sebaliknya dia percaya, gabungan usaha keras semua pihak, kekuatan cerita dan genre filem itu sendiri bakal memikat penonton untuk datang menontonnya.

"Dalam penghasilan filem seram ini, kami bergantung pada keseluruhan tenaga produksi termasuk penasihatnya, Idham. Kami juga mempunyai penata bunyi dan penyunting yang bagus, Brian Ng. Tanpa bunyi yang baik, belum tentu sesebuah filem seram berjaya," katanya.

Begitupun dia berkeyakinan, sesebuah filem yang baik mampu menaikkan nama pelakonnya.

Menerusi Jangan Tegur pula, dia memuji lakonan Nadia yang membawakan watak Baizura.

"Dia bukan saja pelakon yang baik, malah memberikan komitmen terbaik sepanjang promosi filem ini diadakan. Sayang sekali tidak banyak peluang diberikan kepadanya untuk menonjolkan keupayaan.

“Saya pula, amat gembira apabila dapat bekerjasama dengan pelakon berbakat besar sepertinya. Pastinya saya akan terus memberikan peluang buat Nadia dalam projek kami yang seterusnya," kata David.

Sinopsis:

* JANGAN TEGUR mengisahkan Natasya yang terbabit dalam kemalangan jalan raya dan koma selama beberapa minggu. Sewaktu dalam koma, Natasya bermimpi mengenai seorang gadis bernama Baizura yang disyaki hilang dua tahun sebelum itu, secara misteri. Natasya sering diganggu mimpi aneh yang menceritakan kesengsaraan Baizura yang dibomoh dan sering didatangi makhluk halus.

Tersedar dari koma, Natasya mula mengalami perkara yang sama seperti yang dialami Baizura. Daya penglihatannya tidak membataskan dia melihat makhluk halus itu. Keadaan itu menambahkan kerunsingan suaminya, Kamal. Kamal seorang yang tidak mempercayai benda karut ini sehinggalah dia melihatnya sendiri.

Melalui mimpi yang dialami, Natasya mula menyiasat apakah yang berlaku kepada Baizura. Siasatan itu menyebabkan dia sering diganggu makhluk yang mengganggu Baizura seperti dalam mimpinya.

Read more!