Friday, October 9, 2009

Montel sebab salah ubat

www.kosmo.com.my
Oleh JESSABELL SOO

LAMA tidak mendengar khabar aktres jelita, Julia Ziegler selepas pernah panas dek kisah cintanya dengan seorang pengarah muda sebelum ini. Julia yang baru-baru ini dilihat pada acara amal penjualan kek coklat anjuran Great Eastern Mall kelihatan gembira dengan hidupnya.

Seri terpancar di wajahnya menunjukkan gadis itu sedang menikmati kehidupannya penuh bahagia. Lantas timbul pula persoalan ramai, adakah kebahagian itu menjadi penyumbang kepada kenaikan berat badannya secara mendadak.

Ramai yang perasan aktres berusia 25 tahun itu semakin berisi. Banyak andaian yang dibuat terhadap anak seni kacukan Melayu-Inggeris itu kerana tidak dinafikan berat badan Julia naik agak mendadak kebelakangan ini.

Julia bagaimanapun tidak mudah melenting apabila ditanya soalan mengenai kenaikan berat badannya apatah lagi memilih untuk menyembunyikan diri daripada khalayak. Ini kerana dia sendiri tidaklah begitu risau dengan berat badannya itu.

"Sejak Julai lalu, saya pergi ke gim dari pukul 6.30 petang sehingga 10 malam setiap hari. Tapi disebabkan jurulatih saya memberikan ubat yang salah, ia menyebabkan berat badan saya meningkat secara mendadak.

"Saya sebenarnya meminta ubat untuk membakar lemak tetapi dia memberikan ubat untuk menaikkan berat badan. Tujuan saya pergi ke gim adalah kerana mahukan otot seperti badan Jessica Alba yang tampak sihat.

"Namun, sekarang bukan sahaja berat badan saya meningkat, muka saya juga tumbuh ruam yang teruk kerana kepanasan akibat ubat itu," cerita Julia.

Pemilik nama penuh Julia Bob Fauzi Ziegler itu bagaimanapun telah berhenti mengambil ubat tersebut selepas sebulan mencuba.

Ketika itu, berat badannya pernah mencecah 64 kilogram tetapi kini telah turun kepada 58 kilogram. Bagaimanapun, ibunya menyukai bentuk badan Julia sekarang kerana sedap dipeluk.

Kesilapan pengambilan ubat itu bagaimanapun bukan satu perkara yang negatif bagi Julia. Secara kebetulan, dia pada masa yang sama ditawarkan satu watak gemuk untuk telefilem Suaramu.

JULIA pernah mencapai berat 64 kilogram gara-gara salah makan ubat.

"Masa gemuk itu saya tidak risau sangat sebab secara kebetulan saya ditawarkan watak wanita gemuk dalam telefilem Suaramu.

"Saya sendiri tidak merancang untuk menjadi gemuk tetapi mereka memberikan watak itu kepada saya. Jadi ia satu bonus kerana saya tidak perlu memakai banyak solekan untuk menggemukkan badan saya," ujarnya yang menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur.

Memberikan dirinya selama dua minggu lagi untuk mencapai berat idealnya iaitu 52 kilogram untuk ketinggian 170 sentimeter, Julia kini hanya makan sekali sehari. Itupun, dia hanya menjamah sandwich dan mengambil air 100 Plus serta air suam.

"Sekarang saya dalam usaha menurunkan berat badan. Pemakanan amat penting dalam menguruskan badan dan saya tidak mengambil minuman bergula atau sejuk dan makanan kolestrol tinggi.

"Setakat ini 64 kilogram adalah catatan berat tertinggi sepanjang hidup saya," katanya yang bakal dilihat dalam filem Suaka dan Crazy Crazy Crazy tidak lama lagi.

Balik ke Amerika Syarikat

Baru selesai merakamkan tiga telefilem iaitu Cantik, Suaramu dan Psiko Psikik, Julia sebenarnya ada menerima tiga tawaran filem di Sabah tetapi telah menolaknya. Ini kerana dia ingin menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarganya.

Selain berada di gim, Julia sibuk bercucuk tanam di rumah pusaka ibunya yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Sudah menanam pokok cili, bendi dan kangkung, tangannya juga disengat lebah baru-baru ini semasa bercucuk tanam di taman sayur-sayurannya.

JULIA tidak bercadang untuk menetap di AS walaupun kerap ke sana.

Perjalanan hidup yang ringkas dan rileks itu adalah apa yang dikehendaki Julia sekarang. Lagipun pada November nanti, dia akan terbang ke kampung ayahnya di Amerika Syarikat (AS) bersama ayahnya.

"Sebenarnya sudah enam tahun ayah tidak pulang ke AS. Jadi saya akan membawa ayah untuk melawat nenek, pak cik dan mak cik saya di sana. Mungkin kami akan menyambut Krismas dan Tahun Baru di sana.

"Jika dikirakan, saya merupakan saudara yang paling rapat dengan saudara-mara di AS. Saya seperti posmen yang menjadi penyampai mesej kepada keluarga saya.

"Nenek saya ada menyatakan hasrat untuk melawat kami tetapi disebabkan usianya sudah menjangkau 83 tahun, dia terlalu tua untuk menaiki kapal terbang. Jadi kami sahaja yang pergi sana," katanya yang baru pulang dari AS Julai lalu selepas menetap di sana selama tiga bulan.

Banyak menghabiskan masa di AS setiap tahun, ada yang pernah tertanya sama ada Julia mempunyai anak atau kekasih di sana. Dengan gelak ketawa, Julia menafikan semua itu dan memberitahu dia juga tidak mempunyai kekasih di sana.

"Tidak ada siapa-siapa di AS. Kalau ada pun semuanya bekas kekasih. Lagipun saya tidak pernah mempunyai perancangan untuk menetap di sana atau mahu berlakon di Hollywood.

"Saudara-mara saya amat bangga kerana saya merupakan pelakon di Malaysia. Saya sendiri juga sukakan kehidupan di Malaysia dan akan menetap di sini," tambah Julia.

2 comments:

nas said...

teringin nak peluk Julia...tp comella montel2 pun...

dhafi said...

yea lagi seksi bdn cmtuu...ehe..
julia ubat pe ye?suggest kt i blh..