Monday, September 20, 2010

Idam kerusi sutradara


www.bharian.com.my
Oleh Farihad Shalla Mahmud
2010/09/20


Julia Ziegler tuntut ilmu perfileman ketika hasilkan Crayon bersama kakak

KETEPIKAN soal kisah cintanya serta gosip perkahwinan yang sering menjadi buah mulut khalayak sejak dia menjejakkan kaki ke dunia seni ini. Bagi si empunya diri, biarlah soal kerjaya pula yang diketengahkan kerana dia ada misi yang lebih besar ingin dikongsikan bersama peminat.

Biarpun mungkin akan ada yang bersikap skeptikal terhadap impian yang tersemat dalam hati, namun menurut Julia Ziegler, itulah matlamatnya apabila memilih untuk menjadikan bidang lakonan sebagai periuk nasi. Dalam tempoh dua tahun akan datang, kata Julia, dia berazam untuk menduduki kerusi pengarah dan berdiri sebaris dengan sutradara wanita sedia ada waktu ini. Pengakuan ini dinyatakan Julia sendiri ketika ditemui pada majlis tayangan gala filem Crayon yang berlangsung di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara, Khamis lalu. Menerusi filem yang diterbitkan oleh Zioss Film Production, syarikat produksi yang dikongsi bersama kakaknya, Linda Ziegler, Julia menimba pengalaman bekerja di belakang tabir untuk mengetahui selok belok dunia pengarahan yang diidamkan itu.

"Sebelum ini saya pernah menyuarakan hasrat untuk belajar mengenai dunia belakang tabir di luar negara, tetapi selepas memikirkan kakak saya sendiri sedang sibuk menghasilkan filem sulungnya, jadi mengapa tidak saya gunakan peluang ini untuk mempelajari ilmu perfileman.

"Untuk produksi ini, saya bertugas sebagai handy man, tapi kerja saya banyak menjaga kanak-kanak yang berlakon dalam filem ini. Terus terang, kerja ini memang memenatkan. Bayangkan bekerja dengan 10 kanak-kanak, sudah tentu banyak kerenah yang terpaksa saya hadapi.

"Dulu saya pernah membayangkan untuk memiliki 10 anak. Tetapi apabila melalui pengalaman ini, membuatkan saya terpaksa menimbangkan kembali hasrat itu. Tak larat rasanya nak jaga mereka. Bagaimanapun bekerja dengan mereka memberikan pengalaman cukup berharga pada saya. Ia mengajar saya erti sebuah kesabaran," tutur Julia yang kelihatan anggun mengenakan baju kurung moden rona krim.
Mengulas hasil tangan sulung Zioss Film Production, Julia berkata, dia berpuas hati dengan hasil kerja yang ditunjukkan pengarahnya, Dean A Burhanuddin.

"Filem ini bercorak kekeluargaan, kehidupan dan agama. Ia juga adalah genre yang saya gemari. Sebagai orang baru, dia masih mempunyai banyak ruang untuk belajar. Saya teruja dengan konsep cerita yang dipaparkan dalam filem ini kerana belum ada lagi orang yang menampilkan anak yatim sebagai fokus utama.

"Saya sudah pun menonton filem ini sebelum ini. Ia memang berjaya membuatkan saya menangis. Malah, air mata saya pernah mengalir sewaktu membaca skripnya sebelum ini. Selepas ini, produksi kami akan menghasilkan filem mengenai warga emas dan juga kisah Orang Kurang Upaya iaitu orang pekak dan bisu pula," cerita pelakon filem Ombak Rindu ini dalam nada teruja.

Ditanya tidakkah dia risau apabila mungkin ada pihak yang menyamakan filem ini dengan hasil karya Allahyarham Yasmin Ahmad, Julia menyerahkan perkara ini kepada penilaian penonton.

"Jika penonton berasakan filem ini mempunyai pengaruh Yasmin, itu penilaian mereka. Bagi kami, filem ini dibuat bagi mencerminkan makna sebenar gagasan 1Malaysia dan sesuai untuk ditonton segenap lapisan masyarakat di negara ini," ujarnya positif.

Crayon mengisahkan dua pelajar universiti di Singapura yang juga sahabat baik, Adam dan Rafaat, yang terbabit dalam kerja amal membantu rumah anak yatim di Melaka. Adam pelajar berketurunan Cina dari Malaysia manakala Rafaat pula seorang pelajar Melayu Singapura. Sewaktu cuti semester, mereka menjadi sukarelawan di rumah anak yatim yang dikendalikan Mak Engku.

Pengalaman berada di rumah anak yatim itu ternyata memberi banyak pengajaran pada mereka, iaitu bagaimana mahu menghargai sebuah hubungan persahabatan, kasih sayang serta nilai kemanusiaan terutama apabila mereka terpaksa berdepan dengan musibah yang tidak disangka-sangka.

Dedikasi untuk arwah ayah

KEHILANGAN bapa tercinta setahun lalu memberikan inspirasi kepada Dean untuk menghasilkan skrip filem crayon. Kata pengarah berusia 33 tahun ini, kesan ditinggalkan bapa membuatkan dia terpanggil untuk menulis naskhah yang memaparkan kisah anak yatim.

"Mesej filem ini adalah untuk memberikan harapan kepada anak-anak yatim di luar sana bahawa masih ada yang menyayangi dan prihatin pada nasib mereka. Kita boleh beri bantuan dari segi kewangan pada mereka, tapi sampai bila? kalau ada pun mungkin setahun sekali.

"Tapi menerusi filem, selagi ia ditayangkan, selagi itulah nasib mereka akan terus dibela," ulas Dean yang juga berpengalaman sebagai penulis skrip di Amerika Syarikat.

Di Amerika, Dean lebih banyak menghasilkan skrip filem yang berbentuk thriller dan gemar dengan konsep 'twist' pada penghujung cerita, menyamai konsep yang dihasilkan penulis yang juga pengarah terkenal, M Night Shyamalan.

Bagaimanapun, untuk buah tangan sulungnya ini, dia amat tertarik dengan filem yang mengetengahkan konsep nilai kemanusiaan.

"Sebenarnya filem ini ada sambungannya nanti. Mungkin ada trilogi selepas ini, iaitu kisah mengenai warga emas dan juga kisah orang kurang upaya.

"Saya tahu ramai yang akan mempertikaikan filem ini kerana ia tidak mengikut arus atau bersifat komersial. Apa yang saya buat ini ialah satu sumbangan pada anak-anak yatim dan juga untuk arwah bapa saya. Saya buat filem bukan kerana mahu jadi jutawan tetapi mahu menyampaikan mesej yang berguna pada penonton," tegas Dean.

Filem yang bakal menemui khalayak pada 11 November ini menampilkan muka baru dan lama dalam bidang lakonan antaranya Hon Kahoe, Adibah Noor, Ariff Faisal Abdullah dan Joshry Adamme.

Read more!

Friday, September 17, 2010

Gambar Julia Ziegler di Malam Gala Filem Crayon

www.budiey.com

Berlangsung di Hari Malaysia, Malam Gala filem Crayon berlangsung dalam suasana yang sangat simple tapi penuh dengan tema 1Malaysia dihadiri oleh pelbagai bangsa. Apabila menonton filem terbitan pertama kepada pelakon Julia Ziegler ini membuat Budiey rasa meriah dengan tema perpaduan, kasih sayang serta persahabatan yang ditampilkan.

Malam Gala Filem Crayon diadakan di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara pada jam 7.30 malam. Dimulakan dengan makan malam secara buffet sebelum tayangan filem Crayon bermula jam 9.15 malam.

Tidak ramai selebriti yang Budiey dikenali, malah batang hidung Adibah Nor yang turut berlakon dalam filem yang diadaptasi dari kisah benar ini pun tak nampak.

Sempat bertemu dengan Julia Ziegler semalam, Budiey merakam gambar terbaru Julia Ziegler yang semakin kurus. Katanya, ini adalah kali pertama menjadi penerbit dan buat kerja belakang tabir. Diraut wajah Julia, terpancar keikhlasan dan ketulusan yang mahu dicurahkan. Apatah lagi, tujuan filem ini dibuat adalah untuk membantu rumah anak yatim yang sebenarnya latar utama filem ini.

Julia dah start puasa sunat 6. Kita ni bila nak start?

Layari: www.crayonthemovie.com

Read more!

Friday, September 10, 2010

Rancangan TV - Sabtu 11 September (Menarik Hari Raya Kedua)

www.bharian.com.my

RANCANGAN hiburan yang mengetengahkan pasangan artis dari dua generasi berbeza. Mereka bergandingan menyampaikan lagu malar segar pelbagai rentak. Antara lagunya ialah Nilai Cinta, Siti Haida, Mas Mona, Bintang Malam, Hanya Nyanyian, Tinggal Kenangan dan Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi. Antara penyanyinya pula ialah Jefrydin, Farah Asyikin, Andre Goh, Datuk David Arumugam dan Azharina.

ASTRO PRIMA
KAMPUNG PRIMA: BABAK 105


MENGISAHKAN kehidupan Kabu dan Kabi bersama keluarga Haji Kedek di kampung Prima. Haji Kedek mempunyai isteri dan anak perempuan bernama Fatimah yang memiliki rupa paras cantik, tetapi matanya sedikit juling. Antara pelakonnya ialah Salih Yaakob, Julia Ziegler, Johan, Zizan, Angah, Nor Syuhaida, Corrinne Adrienne, Maslina Nasir dan ramai lagi.

Read more!

Sunday, September 5, 2010

Dilamun cinta


www.bharian.com.my
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed


Dramatis popular ulangi penafian ada hubungan istimewa dengan Pierre Andre

HATINYA kini berbunga cinta, Julia Ziegler akui sedang mengenali diri seseorang. Pengakuannya itu bukan mahu mengelak, jauh sekali menepis anggapan dirinya masih `bermain cinta' dengan pelakon dan pengarah muda, Pierre Andre. Malah, hingga hari ini biarpun letih menafikan dan berbuih mulut menjelaskan, kisah cinta dan putus cinta mereka masih terus diperkatakan.

Bak kata pepatah, tiada angin masakan pokok bergoyang. Akur dengan kehendak keadaan, itulah harga yang perlu dibayar apabila memilih hidup sebagai anak wayang yang meniti populariti. Bagaimanapun, pelakon kacukan Melayu-Jawa-Jerman, sudah tidak kuasa melayan pertanyaan, apatah lagi hubungannya dengan Pierre tidak serapat dulu.

Kenyataan itu seolah-olah menjelaskan mereka putus cinta seperti yang tersebar sejak akhir-akhir ini, namun gadis berusia 26 tahun itu punya alasan tersendiri. Hubungan mereka masih baik, namun kesibukan di lokasi penggambaran drama dan filem menyebabkan mereka jarang bertemu, hanya sesekali menghantar berita melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).
Tanpa berselindung, Julia akui: "Saya sudah letih melayan pertanyaan mengenai hubungan dengan Pierre. Saya nak tegaskan, antara saya dan Pierre hanyalah kawan baik, tiada apa-apa hubungan membabitkan hati dan perasaan. Dulu, kami rapat kerana terbabit dalam beberapa projek filem dan drama, kini sudah jarang digandingkan bersama.

"Saya ada bertemu Pierre ketika berada di lokasi filem Ombak Rindu, kami berbual panjang mengenai perkembangannya yang sudah berbaik semula dengan produser, David Teo dan projek filemnya. Hubungan kami masih baik, kami tidak pernah bergaduh atau bermasam muka. Begitu juga hubungan saya dengan David, walaupun David pernah tidak puas hati dengan saya dulu, tetapi antara kami masih bertegur sapa.

"Jadi tanggapan saya bercinta dan putus cinta dengan Pierre memang tidak masuk akal. Hubungan kami sering disalahertikan, jadi saya harap dengan penjelasan ini dapat menamatkan segala spekulasi. Lagipun, kini saya sedang mengenali hati budi seseorang. Sudah lapan bulan kami berkawan. Apa yang dapat dikatakan, saya selesa bersamanya. Si dia cukup memahami dan sentiasa memberi sokongan pada kerjaya lakonan saya.

"Mungkin terlalu awal nak cakap bercinta, tapi kami sedang mengenali hati budi masing-masing. Saya takut nak meramalkannya tetapi saya tidak menolak jika takdir menentukan kami bertemu jodoh, tidak lama lagi. Cepat atau lambat, masa dan takdir akan menentukannya."
Gadis lulusan Savannah College of Art & Design, Georgia, Amerika Syarikat ini akui, buah hatinya itu bekerja sebagai ahli perniagaan dan mempunyai syarikat produksi sendiri. Bagaimanapun, biarlah hubungan yang masih hijau itu disimpan dulu. Bukan mahu berahsia atau menyembunyikan buah hati, sebaliknya bimbang `mimpi' tidak menjadi kenyataan.

"Biarlah dulu, saya tidak akan berahsia apabila masa sudah tiba. Biarlah kami berkawan dan mencari keserasian. Kami sebaya, berusia 26 tahun, jika ada jodoh saya tidak mahu terus menanti lama.

"Hati saya memang terusik apabila melihat Dynas dan Sari Yanti sudah menimang cahaya mata, Ayu Raudhah pula akan berkahwin tahun depan. Teman-teman sekolah saya kebanyakan sudah berkahwin dan punya anak, tetapi hidup saya masih solo. Ada kala saya cemburu melihat pasangan lain jalan berpimpin tangan.

"Saya pula jangan nak kata berdating, nak keluar melepak bersama teman-teman pun saya fikir berkali-kali. Bayangkan, ada masanya saya terpaksa kira kawan apabila nak keluar bersama mereka. Berapa lelaki, berapa perempuan. Saya serik dengan fitnah yang mengatakan saya suka berparti tidak lama dulu. Saya malu besar, apatah lagi berita itu keluar ketika saya menyambut ulang tahun ibu saya, Saminah Subari, 65.

"Inilah hadiah yang paling menyedihkan buat ibu saya. Gambar itu diambil ketika saya bersama beberapa teman menyaksikan Piala Dunia 2010 di kedai mamak. Ada seorang peminat mahu bergambar tetapi dia mengambil gambar ketika kami belum bersedia, jadi gambar itu kelihatan seperti kawan-kawan lelaki sedang mencium leher saya.

"Apabila diletakkan dalam Facebook, gambar itu dilakukan `superimpose’ oleh pihak yang busuk hati dan menyebarkannya dalam internet. Apabila wartawan melihatnya, timbul cerita saya suka berparti sedangkan saya hanya berada di kedai mamak ketika itu. Saya serik, hidup saya boleh diumpamakan dalam sangkar," katanya dengan penuh kesal.

Rai lebaran di Kampung Baru

MENYENTUH mengenai sambutan Aidilfitri kali ini, Julia berkata, dia menyambut Syawal di rumah pusaka peninggalan arwah datuknya di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Tahun lalu, dia baru saja pulang dari ke Georgia, Amerika Syarikat dan melakukan persiapan raya dalam keadaan tergesa-gesa, sebaliknya pula tahun ini.

"Saya dan keluarga sudah berpindah ke Kampung Baru, dua tahun lalu. Dulu, kami tinggal di Ampang, tetapi ibu mengambil keputusan tinggal berdekatan dengan saudara mara di Kampung Baru. Saya suka suasana di sini, rasanya macam tinggal dalam kawasan kampung, masih dengar ayam berkokok dan azan berkumandang.

"Suasana sambutan memang meriah, saya terkejut menerima kunjungan ramai peminat, tahun lalu. Ketika mengadakan rumah terbuka, rumah kami diserbu kira-kira 1,000 tetamu. Insya-Allah, saya akan mengadakan rumah terbuka lagi tahun ini, mungkin pada minggu kedua pada hari raya.

"Saya seronok, seawal jam 9 pagi, saya sudah menerima kunjungan tetamu cilik. Apabila mereka tahu rumah saya, lagilah ramai kanak-kanak yang datang beraya. Jika tinggal di Ampang dulu, suasananya cukup berbeza, jiran sebelah rumah buat hal masing-masing.

"Saya juga akan mula buat kuih raya, ia sudah jadi kebiasaan buat saya dan keluarga. Walaupun sibuk, saya tetap ke dapur. Selalunya saya akan buat kuih coklat chips, tempeyek, coklat rice dan kuih tart. Ibu saya orang Jawa, jadi memang tiada alasan untuk anak-anak perempuan tidak menjenguk dapur. Malam raya pula, saya antara yang tidak senang duduk.

"Selain tugasan menyiapkan bahan-bahan masak juadah pagi raya, saya kena menyiapkan rumah dan masukkan kuih raya. Siapa kata raya di bandar tidak seronok, saya dapat rasakan kemeriahannya sama seperti beraya di kampung. Tahun ini, saya mahu berkongsi rezeki dengan ibu, duit raya buat ibu mungkin diberi lebih sikit," katanya yang kelihatan agak kurus, tetapi tetap jelita.

Read more!

Thursday, September 2, 2010

makan bersama anak yatim




Julia bersama memey, norman hakim, fauzi nawawi, lisdawati, fizo omar and shahila andylala di hotel istana, membuka puasa bersama anak anak yatim dan juga ibu tunggal...persembahan yang menarik drpd mereka semua...love u all... muax

Read more!

mingguan wanita this october 2010



dapatkan linda hashim bersama julia ziegler di kedai buku berhampiran anda...happy membaca

Read more!