Monday, October 25, 2010

Crayon Ditayangkan Di Los Angeles

22 Oktober 2010 : Berita Harian
www.sinemamalaysia.com.myLinkwww.sinemamalaysia.com.my/film/info/?id=Crayon_1014

PADA pagi Jumaat yang indah ini, Cik Normah nak memulakan coretan dengan kisah yang baik-baik dulu. Khabar gembira yang ingin dikongsikan bersama pembaca Hip ialah mengenai pencapaian filem Crayon yang akan ditayangkan selama tujuh hari di Laemmle Theatres, Los Angeles.

Crayon yang diterbitkan oleh Zioss Films Sdn Bhd milik kakak kepada pelakon, Julia Ziegler iaitu Linda akan ditayangkan seminggu lebih awal daripada tayangannya di sini, iaitu dari 4 hingga 10 November ini. Sementara di pawagam tempatan, tayangannya hanya akan bermula pada 11 November.
Tak kisahlah kalau ada pembaca yang kata pawagam itu cap ayam mahupun cap parang, bagi Cik Normah yang penting peluang diberikan untuk filem kita. Cik Normah melihat kesempatan itu sebagai perkembangan baik untuk filem tempatan. Mungkin inilah peluang untuk filem kita menerobos persada dunia seperti slogan yang dilaungkan oleh FINAS.

Cik Normah diberitahu, Crayon arahan Dean A Burhanuddin mendapat peluang itu setelah wakil Laemmle Theatres melawat laman facebook Crayon. Dari situ mereka meluahkan rasa minat untuk mengundang Crayon ke sana kerana tertarik dengan jalan cerita yang berbeza. Yalah selalunya orang suka buat kisah cinta, perang, hantu dan macam-macam lagi, yang dah stereotaip, tapi Crayon pula mengetengahkan cerita mengenai rumah anak yatim.

Beberapa rakan Cik Normah yang sudah menonton filem ini turut memuji kelainan Crayon. Walaupun tak menyandarkan kepada pelakon popular, tetapi mereka masih mampu terhibur kerana pelakon yang ada iaitu Adibah Noor, Hon Kahoe, Ariff Faisal Abdullah dan tak ketinggalan Joey, berjaya mencuit hati penonton.

Selain itu, kata teman Cik Normah, jalan ceritanya juga berbeza. Taklah asyik dihidangkan dengan kisah yang sama. Selain diselitkan sedikit unsur komedi, filem ini juga ada babak suspen dan meruntun hati. Mungkin ada penonton yang tak boleh terima filem sebegini, yalah tak ada unsur hantu, rempit atau pun cintan-cintun, tetapi kawan Cik Normah memuji dan memberitahu mereka suka sangat sentuhan Dean walaupun namanya masih lagi baru.

Biarpun kos menerbitkan filem itu hanyalah RM750,000, tetapi Dean tak ambil mudah akan kerjanya. Dengan kata lain, dia tak buat pakai kaki, sebaliknya dia tetap bekerja dengan bersungguh-sungguh. Cik Normah doakan semoga Crayon mendapat sambutan yang baik di pawagam nanti. Kepada kaki wayang yang mahukan kelainan, mungkin anda boleh menonton Crayon.

No comments: