Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
MENGUKIR nama sebagai model dan pelakon bukanlah semudah yang disangka. Kecekalan dan semangat juang yang tinggi perlu tersemat dalam diri jika mahu terus berada dalam dunia seni yang banyak kerenah dan pancarobanya. Sungguhpun masih baru, model dan pelakon, Julia Ziegler, 23, tidak terkecuali menerima tempias gosip berbaur fitnah, hasad dengki dan kata-kata hina nista yang dilemparkan terhadapnya.
Malah, dia mengakui bagaikan ada sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan kehadirannya dalam dunia lakonan. Apatah lagi gadis berwajah kacukan Melayu-American itu kini semakin menjadi pilihan penerbit drama dan filem.
Wajah jelita gadis lulusan Asas Seni Bina, Kolej Savannah, Georgia, Amerika Syarikat itu semakin kerap menghiasi drama dan filem tempatan walaupun baru setahun berjinak dalam dunia lakonan.
Secara jujur, gadis kelahiran Ampang, Kuala Lumpur itu mengakui dirinya tidak terlepas daripada menjadi panahan mangsa hasad dengki, bagaimanapun semua berlaku adalah asam garam kehidupan. Baginya, dengki mendengki sering berlaku dalam masyarakat, tak kira golongan artis mahupun orang biasa.
“Rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain. Awalnya saya sukar menerima apabila ada sesetengah artis tiba-tiba bersikap dingin serta acuh tak acuh apabila digandingkan dengan saya dalam drama. Saya tak tahu apa salah dan silap saya, mereka kadang kala langsung tidak mahu bercakap dengan saya, apatah lagi membantu orang baru seperti saya.
“Pernah satu ketika dalam satu babak pukul memukul, dua pelakon popular menyerang saya bertubi-tubi hingga badan saya lebam-lebam tetapi saya hanya mendiamkan diri. Sebagai pelakon yang masih hijau, saya menganggapnya sebagai pengalaman dan saya sedikitpun menyimpan dendam.
“Tak perlulah saya beritahu siapa artis itu, bukan sekali saya jadi mangsa tetapi agak acap kali. Bagaimanapun, saya sentiasa bersikap positif dan tidak ambil pusing dengan cakap-cakap orang di belakang. Saya anggap orang seperti itu takut pada bayang-bayang sendiri dan mula rasa tergugat apabila ada kemunculan pelakon baru,” kata anak ketiga daripada empat adik beradik itu.
Akui Julia lagi, walaupun ada pihak yang kurang senang, ia tidak sedikitpun mematahkan semangatnya untuk terus berlakon, sebaliknya dia akan terus berusaha menampilkan sesuatu yang terbaik.
“Semuanya saya telan dengan hati yang reda. Dulu ketika mula-mula menceburi bidang lakonan, saya tidak pernah terfikir perkara sebegini akan terjadi, lama kelamaan baru saya faham, segala gerak-geri, kelakuan serta percakapan akan menjadi bahan untuk orang lain.
Bagaimanapun, tidak semua begitu, sesetengahnya begitu senang menjalinkan kerjasama dan tidak lokek berkongsi ilmu dengan pelakon baru,” katanya.
Mahu dikenali kerana bakat, bukan rupa
MEMILIKI wajah Pan-Asian tentunya menjadi laluan mudah buat Julia mencipta nama dalam bidang lakonan. Seperti Julia Rais, Sofea Jane, Maya Karin dan Diana Danielle, pelakon yang pernah membintangi filem Kayangan, Cuci dan terbaru, Cicak-Man 2 itu juga pastinya mampu menempa nama dengan sekelip mata.
Dengan nada perlahan, Julia akui: “Saya menceburi bidang lakonan bukan bersandar pada wajah semata-mata sebaliknya saya mahu dikenali kerana bakat dimiliki. Memang benar wajah jelita adalah anugerah yang memudahkan sesiapapun mencipta nama, tetapi jika tiada bakat, tidak guna juga.
“Saya tidak pernah malu akui kelemahan diri, rasanya lakonan saya masih belum mantap dan saya sendiri hari demi hari cuba mempertingkatkannya. Sejak mula bergelar pelakon, saya sering dikritik berlakon kaku seperti kayu, tiada ekspresi wajah, tidak menghayati dialog dan macam-macam lagi.
“Kata-kata itu seperti mahu membunuh saya tetapi saya terimanya sebagai cabaran. Setiap hari saya belajar perkara baru di lokasi penggambaran dan saya berazam mahu buktikan saya boleh buat. Saya juga sering melihat kembali lakonan saya di kaca TV sampai ada menganggap saya syok sendiri. Dari situ, saya dapat memperbaikinya. Kesempurnaan juga akan datang bersama kematangan. Saya harap diberi sedikit ruang untuk membuktikan saya memiliki bakat bukan bersandar pada kecantikan,” katanya.
Baru saja putus cinta
BERCERITA mengenai teman lelaki, Julia mengakui, baru saja putus cinta dengan seorang ahli perniagaan selepas hampir tiga tahun menjalinkan hubungan cinta.
Sambil tersenyum, Julia berkata: “Kekasih saya sekarang adalah dua kerjaya iaitu bidang lakonan dan syarikat perniagaan hiasan dalaman yang saya miliki iaitu Suria Design. Serik memang serik selepas putus cinta kira-kira setahun lalu tetapi sebagai wanita saya tetap memiliki perasaan menyayangi dan disayangi.
“Bagaimanapun, bukan sekarang, saya perlukan ruang kerana terpaksa menumpukan pada dua kerjaya sekali gus. Dulu saya putus cinta pun kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya sehingga jarang dapat meluangkan masa bersama.
“Apabila bertemu pula, asyik bergaduh kerana tertekan dengan kerja, jadi kami mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing. Saya percaya jodoh, ajal dan maut adalah ketentuan Tuhan, jika kami ada jodoh, Insya-Allah satu hari pasti kami bersatu,” katanya.
Sunday, December 30, 2007
Berita Harian - News
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
hidup sebagai pelakon ni mcm2 dugaan.but not only u, the rest of them are also facing the same baseless facts.
its true julia...
jalan artis ni banyak ular...
hampir sama dengan politik...
Post a Comment