Julia penting disiplin
Oleh Nor Akmar Samudin
Gadis jelita itu mengakui pergerakannya terbatas selepas wajahnya dikenali ramai. Baginya, setiap kerjaya yang dipilih mempunyai risiko tersendiri termasuklah bidang seni. Cuma terpulang kepada seseorang itu menangani risiko yang datang tanpa diundang.
“Saya menyiapkan diri untuk berhadapan dengan cabaran sebagai anak seni. Apa jua bidang kerjaya yang diceburi kita mesti serius dan melakukannya dengan bersungguh-sungguh.
Vote for me, Ya !
“Oleh itu, sekali saya melangkah dalam bidang ini tidak mungkin saya berpatah balik.
“Kerjaya saya bermula di pentas peragaan. Setiap kali menyaksikan lakonan Erra Fazira, Maya Karin dan Fasha Sandha, ingatkan senang. Apabila saya sendiri berada di set, barulah saya tahu betapa susahnya berlakon.
“Kita perlu menjadi orang lain yang adakala berbeza langsung dengan karakter sebenar kita. Tetapi saya cekalkan hati dan terus mencuba. Berlakon memerlukan kesabaran tinggi kerana sebahagian daripada masa dihabiskan dengan menunggu.
“Ramai artis veteran yang saya temui beritahu, selama 20 tahun berlakon, hanya lima tahun mereka benar-benar bekerja. Masa selebihnya dihabiskan menunggu di lokasi,” katanya.
Kini selepas dia sendiri melaluinya, Julia terpaksa menerima kebenaran kata-kata yang dilontarkan mereka yang lebih berpengalaman.
Pun begitu, Julia mempunyai prinsip dan disiplin diri yang tinggi. Sikap itu diwarisi daripada kedua ibu bapanya.
“Ibu saya guru besar manakala bapa pula berbangsa Inggeris yang sangat mementingkan masa. Bapa mengajar saya mengenai pengurusan masa. Sejak berkecimpung dalam dunia peragaan sehingga sekarang saya sentiasa menepati masa.
“Saya tidak suka menunggu orang, jadi saya perlu tepati masa supaya orang tidak menunggu saya pula. Saya percaya jika kita melakukan kebaikan dengan orang maka kita akan terima balasan yang baik juga.
“Oleh itu, saya tidak suka menyusahkan orang lain. Pada zaman persekolahan dulu saya antara pelajar yang tiba di sekolah paling awal. Jika lima minit lambat, saya jadi resah,” katanya.
Segala pengorbanan Julia berbalas apabila namanya tersenarai dalam pencalonan akhir kategori Artis Baru Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH2007) yang baru diumumkan di Palace Of Golden Horses Seri Kembangan, kelmarin.
Undian tinggi diterima daripada peminat ternyata mengejutkan Julia kerana dia sendiri tahu kerjayanya baru bermula. Banyak lagi yang perlu dipelajari untuk bergelar pelakon handalan.
“Sebaik saja menerima berita itu saya terkejut namun gembira kerana penonton menyedari kehadiran saya dalam kelompok artis yang sudah ada nama. Terus-terang saya katakan saya memang mahu menang.
“Tentu saja saya mahukan segala usaha dan kerja keras itu dihargai. Saya yakin bukan rupa menjadi ukuran peminat untuk mengundi saya tetapi bakat lakonan saya. Jika menang, saya perlu melipat gandakan usaha bagi menghargai sokongan mereka.
“Selepas berlakon filem Kayangan saya ditimpa kemalangan dan mengalami kecederaan teruk. Selepas itu saya terpaksa melupakan sebentar dunia lakonan. Ini dikira kemunculan semula saya di persada seni. Sebab itu saya terkejut apabila peminat masih mengingati saya,” katanya yang bakal bersaing dengan Farah Ashikin, Heliza, Mila dan Fauziah Ghouse.
Pantas masa berlalu, Julia sudah berlakon 11 drama termasuk Noraishah, Susuk dan Cinta & Keadilan. Noraishah adalah drama pertama lakonannya bersama Rita Rudaini dan Abby Abadi.
“Sebagai orang baru saya sedar kekurangan diri, sebab itu apabila di lokasi saya selalu bertanya pengarah apa yang patut dibuat untuk memantapkan lakonan,” katanya.
Julia kini sibuk di lokasi drama Hujan Malam, Kasih Mia dan telefilem yang dibuat sempena Hari Kastam Sedunia pada 26 Januari ini.
www.hmetro.com.my
Thursday, January 24, 2008
Harian Metro - ABP News
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment