Monday, January 28, 2008

Kosmo - News

Saya tak akan besar kepala

Oleh SOFIATUL SHIMA WAN CHIK
www.kosmo.com.my

ORANGNYA manis dan berkata-kata penuh nada keterujaan dicampur dengan liuk kemanjaan. Siapalah yang tidak tertoleh dengan kelibat gadis ini. Kehadirannya dirasai dengan gaya yang bersahaja.

Drama pertama lakonan pemilik nama Julia binti Bob Fauzi Ziegler ini adalah Noraishah pada tahun 2006. Waktu itu dia bergandingan dengan pelakon Rita Rudaini.

Tanpa sedar...kini sudah banyak drama yang menampilkan wajah kacukan ini.

Menjalani proses hidup sebagai pelajar, Julia, 24, menghabiskan masa di Kolej Savannah, Georgia, Amerika Syarikat dalam jurusan Asas Seni Bina. Dia kemudian meniti hidup di Universiti Limkokwing sekitar tahun 2005, masih bergelar pelajar.

Cantik, manis dan mempunyai ketinggian yang diidamkan setiap wanita, peragaan adalah platform utama Julia menempiaskan bakatnya. Dan tanpa sebarang alamat, dia terjebak dengan dunia glamor berlandaskan portfolio sebagai pelakon.

Sebagai pelakon baru, adakah kamu rasa langkah kamu agak laju dalam bidang lakonan? Baru dua tahun kamu sudah berlakon drama dan filem.

Boleh saya katakan ya. Setakat ini saya sudah berlakon 11 buah drama dan sebuah filem. Filem Kayangan setakat pelakon pembantu dan cameo dalam dua buah filem iaitu Cuci dan Cicakman 2.

Namun sebenarnya langkah saya terhenti sewaktu saya ditimpa kemalangan ketika baru berlakon. Masa tu saya agak lemah semangat namun saya teruskan juga.

Daripada model menjadi pelakon, memang cita-citanya begitu?

Asalnya saya tak terfikir untuk jadi pelakon. Saya bermula sebagai model. Saya juga pernah terlibat dengan teater M! The Opera. Kemudian barulah drama dan filem.

Macam mimpi bila lihat wajah saya sudah berada di televisyen dan layar lebar. Tapi saya rasa gembira apabila saya dapat buat yang tersayang bangga melihat hasil kerja saya.

Apa faktor kamu diterima kini?

Saya akan katakan disiplin. Bila saya dapat sesuatu tugasan saya akan bertanya pengarah tentang hasil kerja saya. Ada pengarah yang puji dengan perangai saya ini dan nasihatkan supaya ia dapat dikekalkan. Saya mahu jadi diri sendiri. Julia Ziegler yang tak akan besar kepala.

Jadi kamu ingin katakan kamu seorang yang berdisiplin?

Betul. Yang penting, saya selalu tepat masa. Mungkin sebab latar belakang saya, ibu seorang bekas guru besar dan ayah saya orang Amerika yang pentingkan pengurusan masa. Saya akan jadi resah apabila orang harus menunggu saya. Dan saya akan jadi gementar apabila terlewat walaupun lima minit.

Siapa yang mula-mula mengesan bakat lakonan kamu?

Semestinya pengarah Raja Ahmad Alauddin. Dia yang bawa saya ke dunia drama. Selepas itu dia tawarkan untuk berlakon filem iaitu Kayangan.

Tapi ada juga bunyi-bunyi nakal yang mengatakan kamu masih kaku dan tidak ada ekspresi wajah seorang pelakon. Komen kamu?

Semua orang pernah melakukan kesilapan. Kita belajar daripada kegagalan. Tidak adillah orang nak menghakimi kita hanya dengan satu kesalahan. Janganlah tolak orang yang baru mahu belajar mengayuh basikal. Sebaliknya tunjuklah dia cara yang betul melakukannya.

Kamu berlakon drama Susuk, kamu percaya dengan susuk dan hantu?

Memang kepercayaan kita pada agama. Dan dalam agama ada sebut pasal benda-benda halus ini. Secara asasnya, saya pernah jumpa seorang mak cik yang berusia 70 tahun dan masih cantik macam orang muda.

Dia mengaku pakai susuk. Katanya waktu itu satu jarum berharga RM5. Masa itu, tahun 70-an, harga itu dianggap mahal. Mungkin saya boleh katakan, saya percaya dengan kewujudan itu.

Pada pendapat kamu, wajah dan ketinggian kamu, selain satu kelebihan, adakah ia juga menghalang kamu daripada menjayakan sesuatu watak?

Benar. Saya selalu teringin untuk bawakan satu-satu watak yang penuh dengan kemelayuan. Ada drama yang saya tak boleh ambil kerana faktor ini.

Saya kadangkala terdiam dan terfikir alangkah baiknya jika saya dapat watak-watak itu. Macam Fazura, dia punya wajah kemelayuan yang cantik. Begitu juga Maya Karin. Tapi saya boleh berkorban untuk mendapatkan watak-watak tersebut. Contohnya warnakan rambut.

No comments: