www.gua.com.my
by Zameen
15 Mei 2008
Sebelum ini, nama Julia Ziegler cukup sinonim dengan pelbagai gosip yang dikaitkan dengan dirinya. Namun pelakon jelita ini sedar, sebagai seorang selebriti, gosip merupakan sesuatu yang lumrah dan dia harus belajar menerimanya untuk terus bertahan dalam dunia seni yang penuh dengan persaingan ini. Apatah lagi dia masih baru dan memerlukan pendedahan meluas daripada pihak media.
Berkat kesabaran dan kesungguhannya mencipta nama, akhirnya pelakon berdarah kacukan Melayu – Inggeris ini diberi peluang memegang watak utama dalam filem seram ‘Jangan Tegur’, arahan pengarah muda berbakat besar, Pierre Andre.
Menurut Julia atau nama sebenarnya Julia Bob Fauzi Ziegler, ‘Jangan Tegur’ merupakan sebuah filem yang hebat dan sangat mencabar kemampuannya sebagai seorang pelakon. Atas sebab itu, dia berharap filem lakonannya itu diterima baik oleh penonton sekali gus mengangkat namanya sebagai seorang bintang baru yang berpotensi besar di layar perak.
“Saya sangat berterima kasih kepada David Teo dan Pierre yang sudi memberikan peluang kepada saya untuk membintangi filem ini. Saya sedar saya seorang pelakon baru dan perlu menonjolkan kekuatan lakonan yang baik agar kepercayaan yang diberi oleh mereka berbaloi.
“Apapun saya bersyukur kerana sepanjang penggambaran ‘Jangan Tegur’, saya tidak menghadapi sebarang masalah kerana sebelum ini saya pernah mengalami keadaan yang sama dengan watak Natasya yang saya lakonkan (untuk pengetahuan semua, Julia pernah koma selama lapan hari selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya). Namun saya akui Pierre sebagai seorang pengarah, banyak memberikan bantuan dan bimbingan sehingga saya berjaya melakonkan watak tersebut dengan baik. Selain itu, rakan-rakan pelakon lain dan krew juga banyak memudahkan kerja saya,” ujar Julia tenang.
Julia yang sebelum ini pernah membintangi pelbagai drama termasuklah ‘Noraishah’, ‘Aku Untuk Mu’, ‘Susuk’ dan ‘Bisikan Hati’ memberitahu, dia berharap ‘Jangan Tegur’ akan menjadi pemangkin untuknya terus dikenali dalam dunia seni. Ini kerana dia yakin filem yang bergenrekan seram mudah diterima seperti filem ‘Jangan Pandang Belakang’ dan ‘Congkak’ yang berjaya meraih perhatian meluas para peminat, bukan sahaja di Malaysia malah sehingga ke peringkat Asia Tenggara.
Ditanya apakah cabaran yang terpaksa dilaluinya ketika berlakon di dalam filem ‘Jangan
Tegur’, Julia mengakui dia tidak mempunyai sebarang masalah yang besar untuk melakonkan watak Natasya. Ini kerana sebelum turun ke lokasi dia sudah membuat banyak persediaan supaya proses penggambaran berjalan dengan lancar. Malah bukan sahaja persediaan fizikal yang diutamakannya, sebaliknya persediaan mental turut diberikan perhatian.
"Saya selalu dengar orang bercerita, kalau berlakon dalam mana-mana drama atau filem seram selalu ada gangguan yang akan berlaku. Atas sebab itu saya membuat beberapa persediaan untuk mengelakkan sebarang gangguan makhluk halus. Mujurlah sepanjang penggambaran ‘Jangan Tegur’, tiada pelakon atau krew yang menerima apa-apa gangguan," jelasnya gembira.
Filem ‘Jangan Tegur’ mengisahkan tentang seorang gadis iaitu Natasya yang pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya yang ngeri. Akibat kemalangan tersebut dia koma selama beberapa minggu di hospital. Ketika koma, dia telah melalui pelbagai pengalaman seram termasuklah bermimpi berjumpa dengan Baizura yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini. Melalui mimpi tersebut Baizura seakan memerlukan bantuan daripadanya.
Selepas pulih daripada koma, Natasya mendapati dirinya sering diganggu makhluk halus. Selain itu dia juga mampu melihat makhluk halus yang ingin mendampinginya. Natasya yang pada mulanya tidak selesa dengan keistimewaan tersebut akhirnya berjaya menyelesaikan satu peristiwa misteri.
Bercerita tentang perkembangan lain dalam karier seninya, Julia yang bakal tampil dalam filem ‘Cicak Man 2’, kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri ‘Ampang Medikal’. Katanya drama 26 episod tersebut mengisahkan tentang bidang perubatan.
“Apabila berlakon, saya berharap dapat membuat penampilan yang berbeza-beza. Saya sungguh teruja dengan semua drama dan filem yang telah saya lakonkan dan saya berharap peminat berpuas hati dengan bakat lakonan saya,” jelas gadis berusia 23 tahun ini sambil tersenyum senang.
Dijentik dengan persoalan tentang gosipnya dengan beberapa orang pengarah muda, Julia ternyata enggan berbicara panjang. Katanya dia hanya berkawan biasa dengan semua orang dan sebagai pelakon dia sememangnya perlu mempunyai hubungan baik dengan pengarah yang bekerjasama dengannya.
“Saya dah penat nak jelaskan tentang perkara ini. Buat pengetahuan semua hubungan rapat saya dengan Pierre atau Yusry tidak lebih daripada seorang kawan. Pada saya tidak salah untuk kami berkawan kerana kami semua profesional dalam semua kerja yang kami lakukan.
“Saya harap dengan penjelasan ini semua pihak akan berpuas hati dan tidak lagi terus mengaitkan saya dengan Pierre atau Yusry," ujar Julia yang sebelum ini pernah membintangi beberapa iklan komersil seperti Olay, Pantene, Nesvita, Sendayu Tinggi dan Ayam Brand.
Monday, June 16, 2008
"Jangan Tegur" - Uji Kemampuan Julia Ziegler
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment