Tuesday, June 17, 2008

Julia selesa bekerja dengan kakak sendiri

http://web.jiwangfm.org
06-06-2008 12:04:32 PM

Oleh Camelia

TIDAK ramai pelakon yang kita ketahui selalu mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan ahli keluarga sendiri dalam menjayakan sesebuah filem atau drama tv.

Jika adapun mungkin hanya boleh dibilang dengan jari. Itupun jika dalam ahli keluarga mereka mempunyai minat yang sama.

Namun, bagi pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris Julia Bob Fauzi Ziegler yang menggunakan nama komersial Julia Ziegler ini, beliau lebih senang bekerja dengan kakak sulungnya, Linda Ziegler yang merupakan seorang produser di Niche Film.

Mereka bekerjasama untuk menghasilkan drama bersiri 26 episod Ampang Medical yang turut mendapat kerjasama dari Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) yang bakal disiarkan oleh NTV7.

"Kakak memberikan watak tersebut kepada saya kerana beliau percaya yang saya mampu menghidupkan watak yang diberikan.

"Bekerja dengan dia ni ibarat duduk dengan 'mak tiri' kerana dia memang garang. Garang macam mana sekalipun, saya masih boleh terima sebab dia profesional dan adil," cerita Julia tentang pengalamannya bekerja dengan kakaknya.

Pada asalnya, Julia merupakan graduan Seni dan Rekaan dan kini memiliki sebuah syarikat persendirian berkaitan rekaan dalaman iaitu Suria Design Sdn. Bhd.

Namun, tidak semestinya ia menghalang Julia untuk berkecimpung dalam bidang seni hiburan kerana beliau sebenarnya datang dari latar belakang keluarga yang terlibat dalam dunia seni bilamana ibunya dahulu pernah bergelar seorang penari.

"Apabila saya mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan sejak dua tahun lalu, saya terus tarik kakak saya untuk menjadi produser kerana mudah untuk berurusan dengan ahli keluarga sendiri," tambah gadis yang berusia 24 tahun ini.

Bercerita tentang Ampang Medical yang diarahkan oleh pengarah Keith Chong itu, beliau memegang peranan seorang doktor bernama Melissa yang sangat periang dan sentiasa gembira.

"Cerita ini seakan-akan siri Grey Anatomy dan ER yang menyentuh tentang kasih-sayang, cinta dan kehidupan seorang doktor. Pengambaran drama tersebut bermula bulan Mei lalu.

"Tak susah untuk saya bawakan watak tersebut kerana saya tidaklah menjadi seorang doktor yang sebenar dan hanya menggunakan benda yang diberikan.

"Tentang darah pula, saya tak berapa nak bimbang kerana pernah alami kemalangan dahulu dan menerima banyak jahitan.

"Jadi, saya boleh melakonkan watak seorang doktor dengan mudah dan tidak akan pengsan jika ternampak darah atau kecederaan yang lain," ujar Julia yang telah selesai pengambaran filem Jangan Tegur arahan Pierre Andre terbitan Metrowealth.

Jelas anak ketiga daripada empat beradik ini, beliau akui sejak terlibat dengan kemalangan tanggal 21 Disember 2006 lalu, rezekinya dalam industri ini semakin bertambah.

Buktinya, beliau telah mendapat tawaran berlakon drama tv seperti Aku Untukmu (2007), Dark City (2007), Susuk (2007), Bisikan Hati (2007), Kerana Karina (2007), Ejen 016 (2007), Cinta dan Keadilan (2007), KL Menjerit The Series (2008), Hujan Malam (2008), Skuad PGC (Kastam Diraja) (2008), Kasih Mia (2008), Vice Versa (2008), Alamak Amy (2008), Terpateri Sebuah Janji (2008), Qasidah buat Laila (2008 ), My Husband (2008) dan banyak lagi.

Beliau juga telah berlakon dalam filem Kayangan (2006), Cuci (2008) dan Cicakman 2 (2008).

Terbaru, Julia dikhabarkan telah menandatangani kontrak untuk berlakon sebagai salah seorang watak utama dalam filem Teman Selamanya.

Beliau akan terlibat dengan pengambaran filem tersebut bermula pertengahan bulan ini di Jakarta, Indonesia sebelum ditayangkan di sini, Indonesia dan Filipina pada tahun depan.

"Ada hikmah juga selepas kemalangan dahulu kerana rezeki saya bertambah baik sekarang. Tak semestinya saya nakal waktu belajar di Amerika Syarikat dahulu membuatkan masa depan saya tidak cerah.

"Kalau saya rosak mungkin susah untuk saya bina kehidupan yang baik seperti sekarang. Jadi, saya ambilnya sebagai suatu yang positif dan insya Allah saya akan terus berusaha dan selagi diterima saya akan teruskan karier ini," kata Julia yang turut terlibat menjayakan iklan komersial tv Tune Money di samping pelakon dan pengacara Awal Ashaari.
Selain itu, Julia juga pernah muncul dalam iklan komersial tv seperti Ayam Brands (2004), Pringles (2005), Nokia (2005), Celcom (2005), Olay Pantene (2006) dan Sendayu Tinggi (2006).

No comments: