Wednesday, November 12, 2008

Cicak-man 2 pasti lebih baik


www.hmetro.com.my
LinkOleh Ramlah Zainal

“Setiap kali mengarah, saya memang tidak pernah puas dengan karya dihasilkan kerana yakin mampu menghasilkan filem lebih baik dari hasil sedia ada.

“Saya sudah buat yang terbaik untuk sekuel Cicakman ini. Apa yang boleh saya katakan, Cicakman 2 lebih baik dari Cicakman yang pertama. Cicakman 2 adalah cerita Superhero dan topiknya sangat ringan serta sesuai untuk menghiburkan orang.

“Kalau orang tanya, apa perasaan saya pada tayangan untuk pihak media tempatan hari ini, terus terang, saya sudah menonton filem ini seratus kali dan saya tidak berasa apa-apa lagi.

“Saya sedar cerita superhero ini ada risikonya. Tapi kalau kita tidak mencuba kerana fikirkan bajet, sampai bila-bilapun kita tidak akan belajar. Banyak benda baru yang saya belajar dalam filem ini dan saya yakin lebih berani berkarya selepas ini,” katanya.

Yusry berkata, dia berharap orang tidak membandingkan Cicakman 2 dengan filem superhero Hollywood kerana industri seni kita masih bertatih lagi.

“Setiap kali buat filem baru, banyak perkara baru dalam bidang perfileman yang dipelajari. Babak paling sukar dalam Cicakman 2 ialah untuk buat karekter CGI dalam lakonan.

“Sebelum ini kita buat filem Cicakman sekadar bersandarkan teknologi sedia ada dan ia adalah eksperimen selamat. Tapi dalam Cicakman 2, kita tulis jalan cerita dan skripnya terlebih dulu serta perlu memikirkan faktor keselamatan juga.

“Dalam cerita superhero kita ada lebih 100 babak `digital stunt'. Setiap karekter yang ada dalam cerita ini diwujudkan dengan sebab tertentu.

“Watak baik dalam cerita ini ialah watak utama, Hairi/Cicakman, Tania dan Iman. Manakala, watak jahat pula adalah Profesor Klon, Rrama dan Miss Cheef. Sepanjang penggambaran semua pelakon juga beri apa yang mereka mampu untuk filem ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai permulaan jalan cerita Cicakman 2: Planet Hitam yang perlahan dan watak Rrama yang samar, Yusry berkata, ia bukan formula yang harus diceritakan.

“Jika nak diikutkan, kalau buat filem aksi mengambil tempoh lebih 60 hari tapi penggambaran filem ini hanya selama 35 hari. Subjek cerita superhero juga sama seperti dalam cerita pengembaraan.

“Saya juga tidak faham kenapa orang harus pertikaikan watak Rrama dalam filem ini? Kenapa orang tidak pertikaikan karekter dalam cerita Batman? Karekter Rrama yang juga pembunuh upahan Profesor Klon itu dizahirkan seperti dalam komik dan watak itu memang ‘standard'. Saya tidak boleh nak jelaskan dari mana datangnya watak itu,” katanya.

Yusry ditemui ketika pelancaran fleet Nationwide Express - Cicakman 2 yang berlangsung, di Mutiara Damansara, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden Kumpulan KRU Studios Sdn Bhd selaku Penerbit Cicakman 2: Planet Hitam, Norman Abdul Halim dan Ketua Pegawai Eksekutif, Nationwide Express Courier Services Berhad, Rozilawati Basir. Nationwide Express, selaku penaja perkhidmatan logistik rasmi Cicakman 2: Planet Hitam.

Selaku penerbit, Norman juga mengakui risiko yang dihadapi dalam menerbitkan cerita superhero berkenaan.

“Mungkin Yusry masih belum puas dengan hasil filem itu kerana dia ingin buat yang lebih baik lagi. Bagi saya, kita kena realistik dengan pasaran filem Melayu. Apatah lagi filem ini membabitkan bajet RM2.5 juta.

“Saya tetap bangga dan puas dengan hasil filem ini.Sasaran untuk Cicakman 2: Planet Hitam juga lebih tinggi dari Cicakman pertama kerana bagi saya hasil Cicakman 2 juga lebih baik.

“Filem Cicakman pertama dulu dengan bajet RM1.8 juta dan ditonton sebanyak 670,000 serta mengutip RM6.7 juta. Tapi sekuelnya pula, Cicakman 2 dengan bajet RM2.5 juta dan sasaran kita hanya sejuta penonton.

“Pihak kami tidak sasarkan dari segi kutipan filem tapi kami sasarkan jumlah penonton yang menonton filem ini. Kalau kurang penonton yang datang menonton Cicakman 2, pihak kami kena pertimbangkan projek filem lain pula selepas ini.

“Kita buat filem ini ini kena ada kerja berpasukan. Contohnya, aspek lagak ngeri yang boleh dipertingkatkan dalam filem kita dengan mencari tenaga mahir dalam bidang itu. Apapun, jalan cerita Cicakman 3 sudah ada dan apa yang membebankan kami ialah tanggapan orang nanti,” katanya.

Tambah Norman, penampilan Tamara Blaszenky (watak Rrama) juga sebagai strategi mereka untuk menembusi pasaran Indonesia.

“Selain Indonesia, filem ini juga dijangka ditayangkan di Singapura dan Brunei Darussalam,” katanya.

Sementara itu, bintang utama filem ini, Saiful Apek yang memegang watak utama Hairi/Cicakman berkata, wataknya kali ini pada tahap selesa kerana karekternya lebih matang dan bertanggung-jawab dalam Cicakman 2.

“Dalam Cicakman pertama dulu, karekter saya gila-gila sikit berbanding dalam Cicakman 2 yang semakin menyerlahkan diri Hairi yang sebenar.

“Hairi juga lebih emosi kerana dalam cerita ini dia kehilangan kawan karibnya Danny.Pada masa sama, Hairi perlu menjaga ibu dan adik Danny yang buta, Iman. Dari segi kostum juga lebih selesa dan nampak menyerlah untuk watak superhero,” katanya.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan Tamara, Saiful berkata, bintang jelita itu pelakon yang berbakat besar.

“Tamara nampak lemah lembut dari segi luaran tapi sebaliknya dia boleh bawa watak Rrama yang jahat dengan baik serta terserlah kejahatan dalam dirinya.

“Cuma yang menjadi masalah, setiap kali tersalah pukul, Tamara akan meminta maaf pada saya sama ada ketika latihan atau penggambaran filem berkenaan.

“Berdasarkan maklum balas penonton mengenai karekter saya sebelum ini, ramai yang meminta supaya karekter saya lebih serius. Justeru, anda akan perasan watak Hairi/Cicakman nampak kurang buat lawak kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, Aznil yang memegang watak Profesor Klon pula berkata, dia berasa puas berlakon dalam Cicakman 2:

“Dalam Cicakman pertama dulu, mungkin saya masih belum celik teknologi maklumat lagi dan tidak tahu apa-apa. Dalam Cicakman 2, saya sudah boleh bayangkan apakah media hijau itu. Saya juga perlu menghidupkan watak Profesor Klon yang masih dalam pembuangan itu,” katanya.

Seperti Saiful, Aznil juga menimba pengalaman menarik bekerja dengan Tamara.

“Rrama bekerja dengan Profesor Klon tetapi `mastermind'nya masih Profesor Klon.

Pada pandangan saya, Tamara cepat menghafal skrip dan kami cuma berhadapan dengan masalah bahasa saja. Akhirnya, kami terpaksa menggunakan perkataan yang boleh difahami penonton kedua negara,” katanya.

Selain mengekalkan pelakon asal seperti Saiful Apek, Aznil Nawawi, Fasha Sandha (Tania) , AC Mizal dan Adlin Aman Ramli (Ginger Ghost), filem ini turut dibintangi muka baru seperti Sharifah Amani (Iman), Tamara (Rrama), Louisa Chong (Miss Cheef).

Antara penampilan khas ialah Linda Onn, Julia Zieglar, Datuk Jalaluddin Hassan, Julie Dahlan, Harry Boy dan Azwan Ali.

Cicakman 2: Planet Hitam bakal menjengah 60 pawagam di seluruh tanah air pada 11 Disember nanti.

1 comment:

midikarma said...

heh'
sye dh tgk citer nie... tp mcm biase lh' ade byk yg sye boleh di'argue' kn, hm' tp ape pn, keep it up lh :O