Wednesday, August 18, 2010

Buktikan saya dah kahwin - Julia

www.utusan.com.my
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
Gambar AMIN FARIJ HASAN


MEMANG sudah lama tidak mendengar cerita terbaru tentang aktres jelita ini. Sehingga ada yang menimbulkan spekulasi yang bukan-bukan terhadap dirinya.

Malah, ada juga yang menyampaikan perkhabaran tentang Julia Ziegler sudah pun mendirikan rumah tangga.

Memang kecoh dan hampir segenap ruang alam maya sudah memperkatakan Julia kini sah bergelar seorang isteri dan sedang menjalani kehidupannya dengan penuh bahagia sekali.

Apabila berita itu tersebar, secara tidak langsung ada yang mengatakan juga Julia sudah bersedia untuk meninggalkan dunia lakonan yang sudah empat tahun diceburinya.

Berkesempatan bertemu dengan Julia pada rakaman program Raya, Kampung Prima: Babak 105 terbitan Astro di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini, pihak media mengambil peluang mendapatkan pengesahannya.

Seperti biasa, keramahan Julia tetap sama. Tidak pernah sedikit pun berubah dan wajahnya sering terukir senyuman manis yang menyerlahkan lagi kejelitaannya.

Dengan tenang, aktres ini membuka bicaranya dan menjelaskan perihal negatif yang telah dilemparkan kepadanya.

"Dakwaan yang mengatakan saya sudah pun bernikah atau bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi semuanya dusta semata-mata.

"Kalau betul saya sudah berkahwin, pergilah ke mana-mana jabatan agama untuk mendapatkan pengesahan tentang kesahihan berita itu.

"Macam mana nak kahwin sedangkan saya sendiri tiada calon suami buat masa ini. Kalau betul saya nak kahwin, buat apa nak sembunyikan sebab ia adalah perkara yang baik," jelas Julia terus-terang tanpa selindung.

Katanya, dia masih mempunyai keluarga dan tidak akan sesekali membelakangkan mereka jika benar dia hendak menamatkan zaman bujangnya.

Apabila melihat usianya yang mencecah 26 tahun itu, tidak dapat dinafikan lagi memang Julia sudah layak untuk bergelar seorang isteri dan memulakan keluarganya sendiri.

Memang jauh di sudut hati Julia, dia mempunyai perancangan ke arah itu tetapi masanya belum sesuai.

"Saya harus katakan di sini buat masa ini saya tidak berpacaran dengan sesiapa pun. Cuma, saya mengaku bahawa saya kini sedang dalam proses mengenali seseorang yang sudah lapan bulan saya kenali.

"Namun, ia bukan bermakna kami sedang bercinta dan apa yang boleh saya katakan, masing-masing selesa berkawan terlebih dahulu.

"Dalam mencari pasangan, saya tidak mahu mencari yang hipokrit dan hanya menunjukkan kebaikan dirinya di awal perkenalan sahaja.

"Jadilah diri sendiri kerana saya juga tidak suka berlakon dan menjadi orang lain. Memang saya seorang pelakon tetapi ia bukan bermakna saya harus berlakon juga dalam dunia realiti," katanya yang memberitahu temannya itu muda setahun daripadanya dan memiliki perniagaan sendiri.

Sebelum ini, Julia pernah dikaitkan dengan beberapa personaliti popular seperti Yusry Abdul Halim, Pierre Andre dan Syamsul Yusof yang mana Julia memberitahu hubungannya dengan mereka hanyalah sekadar teman seperjuangan seni.

Pada masa yang sama, Julia menjelaskan dia lebih selesa mendiamkan diri daripada muncul di media massa tanpa sebarang berita yang boleh dikongsi dengan masyarakat.

Begitu juga soal kontroversi dan Julia tidak menafikan ada kalanya ia mampu menaikkan nama seseorang artis itu.

Tetapi terpulang kepada individu itu sendiri bagaimana hendak menggunakan kontroversi dalam pembangunan karier seni mereka.

"Saya masuk dalam industri ini kerana memang sukakan dunia lakonan. Kadang-kala kontroversi itu yang datang kepada saya dan sebagai artis, saya tidak mampu mengelaknya," jelas Julia memberikan justifikasi.

1 comment:

waneqnour said...

salam. saya nampak akak dlm calciyum punya iklan, mcm mengandung lah...