Sunday, April 27, 2008

Jangan Tegur bukan sekuel Jangan Pandang Belakang

Oleh Hardi Effendi Yaacob
www.bharian.com.my


SELEPAS kejayaan Jangan Pandang Belakang yang mencatatkan kutipan lebih RM7 juta, diikuti filem Congkak yang bakal ditayangkan bulan depan, kini Metrowealth menerbitkan lagi filem dalam genre seram berjudul Jangan Tegur. Penerbitnya, David Teo, optimis filem bercorak sedemikian mempunyai tempat yang baik dalam pasaran filem tempatan.

"Ini bukan filem sekuel Jangan Pandang Belakang. Jangan Tegur filem baru, menggunakan skrip dan idea baru.

Kebetulan saja kedua-dua filem ini menggunakan perkataan `jangan' pada judulnya. Maklumlah, perkataan `jangan' memang biasa dalam kehidupan orang Melayu. Bila nampak benda pelik dan menakutkan, mesti kita kata `jangan tegur' atau `jangan pandang belakang'. Saya rasa perkataan itu `catchy' dan menarik," katanya sempena pelancaran filem itu, baru-baru ini.

Katanya, walaupun masih berkisarkan kisah saka dan hantu belaan, jalan cerita filem itu diolah daripada perspektif berbeza, malah beliau yakin Jangan Tegur akan diterima baik oleh penonton.

"Tema Jangan Pandang Belakang dan Jangan Tegur masih sama. Bila bercakap fasal dunia mistik dalam kehidupan orang Melayu, kita memang tidak boleh lari dari unsur saka dan belaan. Cuma, dalam filem terbaru ini, jalan ceritanya diolah dari perspektif berbeza bagi memastikan penonton tidak menggambarkan kita sebagai pengkarya ini tidak ketandusan idea baru.

"Ini filem ke-28 yang kita terbitkan sejak mula menceburi bidang ini pada 1998 menerusi filem sulung, Syukur 21. Bayangkan, dalam tempoh 10 tahun kita berjaya menghasilkan 28 filem dan pencapaian ini amat membanggakan," katanya.

Sementara itu, Pierre ketika ditemui Bintang Popular, berkata melalui naskhah terbarunya ini, beliau mahu menonjolkan mengenai gangguan iblis dan syaitan, bukanlah hantu seperti pocong atau toyol.

“Ia lebih kepada kepercayaan orang Asia dan jauh berbeza daripada filem seram dari Barat. Untuk skrip Jangan Tegur, saya memang melakukan kajian mengenai saka dan belaan di kampung. Bagi saya, kalau kita mahu buat... biar kita buat betul-betul. Mesti ada keaslian dalam menghasilkan kisah seram seperti ini. Memang saya mahu Jangan Tegur lebih baik daripada Jangan Pandang Belakang," katanya.

Selain menulis skrip dan mengarah, Pierre turut berlakon dalam Jangan Tegur dan pada pandangan sesetengah pihak, tindakan beliau mungkin boleh mendatangkan masalah kepadanya untuk membahagikan tumpuan.

"Memang pada mulanya saya hanya mahu mengarah tetapi memandangkan pelakon lelaki yang saya mahu mempunyai komitmen lain, saya mengambil keputusan untuk membawa sendiri watak lelaki utama dalam filem ini," katanya.

Jangan Tegur mengisahkan Natasya (Julia Ziegler) telah terbabit dalam kemalangan jalan raya dan koma selama beberapa minggu.

Sewaktu koma, Natasya bermimpi mengenai gadis bernama Baizura (Nadia Mustafar) yang hilang secara misteri selama dua tahun. Natasya sering diganggu mimpi aneh menceritakan kesengsaraan Baizura yang telah dibomoh dan didatangi makhluk halus.

Selepas tersedar daripada koma, Natasya mula mengalami perkara sama yang dialami Baizura. Ini merunsingkan suami Natasya, Kamal (Pierre) yang tidak mempercayai perkara khurafat sehinggalah dia juga dapat melihatnya sendiri. Pelakon lain yang turut menjayakan filem ini ialah Rozita Che Wan, Almy Nadia, Ellie Suriaty, Azri Iskandar dan Kaza.

No comments: