Sunday, April 13, 2008

pernah dirasuk


www.utusan.com.my
Oleh Niezam Abdullah

Ketika ini orang sibuk bercerita kisah cinta bintang yang semakin menyinar serinya, Julia Ziegler selepas dia dikaitkan mempunyai hubungan rapat dengan Yusry (KRU) dan juga Pierre Andre.

Bagaimanapun Julia menyangkal gosip berkenaan sebaliknya menganggap artis tersebut dan sesiapa saja yang dikaitkan dengannya selepas ini adalah rakan biasa.

Kata gadis berusia 24 tahun ini, tidak salah untuk mengajak seseorang itu keluar makan atau tengok wayang bersama asalkan tiada perasaan sebaliknya terhadap mereka.

"Saya masih belum bersedia untuk bercinta tetapi saya akui mempunyai ramai kawan rapat yang sering mengajak saya keluar," katanya.

Di sebalik kisah cinta Julia itu tentunya umum sudah mengetahui penghujung tahun 2006, beliau pernah terlibat dalam satu kemalangan ngeri di Jalan Hulu Klang, Kuala Lumpur sehingga mengakibatkan kulit kepalanya tersiat. Tuhan masih menyayangi Julia, kecederaan itu dapat dipulihkan dan hanya meninggalkan kesan parut pada tangannya sahaja.

Selain kisah ngeri itu, Julia turut membongkar kisah silamnya ketika zaman kanak-kanak apabila dia tidak boleh mendengar azan dan ayat-ayat suci al-Quran. Peristiwa yang berlaku ketika dia berusia 11 tahun itu menyebabkan Julia sentiasa gelisah dan sering kali bertukar menjadi ganas apabila terdengar azan.

Menceritakan kejadian itu, Julia akan bertindak merosakkan barang-barang di dalam rumah.

"Selalunya apabila saya sedar, saya akan lihat ibu saya menangis di sisi saya. Dia kata, saya dirasuk. Begitulah yang saya alami selama setahun," katanya.

Situasi yang berlaku menyebabkan keadaan keluarganya tidak tenteram apatah lagi bapanya yang merupakan orang Inggeris tidak begitu mempercayai mengenai gangguan makhluk halus.

Menurutnya, selama setahun ibunya mencari jalan untuk mengatasi masalah yang berlaku itu termasuklah berubat dengan cara moden dan juga tradisional sehingga dia terpaksa berhenti belajar di sekolah rendah sepanjang tempoh itu.

"Ibu pernah mandikan saya dengan air wuduk di beberapa masjid bagi 'menghalau' makhluk yang mengawal diri saya. Malah saya juga turut dibawa berubat dengan Datuk Haron Din.

"Ketika itu saya merasakan hidup saya amat tertekan kerana setiap kali azan berkumandang dan semasa mendengar orang membaca al-Quran, saya akan menjadi histeria," katanya.

Tetapi Julia tentunya bersyukur selepas setahun bertarung dengan masalah penyakitnya itu, dia kembali pulih seperti sediakala.

Bagaimanapun ketika mendapat tawaran berlakon filem seram Jangan Tegur arahan Pierre Andre yang sedang menjalani penggambaran ketika ini, Julia juga bimbang peristiwa yang sama berulang kembali.

Apatah lagi jalan cerita filem itu seolah-olah ada kena-mengena dengannya apabila dia dirasuk oleh makhluk halus selepas berlaku kemalangan jalan raya.

"Semasa mendapat skrip filem itu saya sudah maklumkan kepada ibu dia meminta saya supaya sentiasa menjaga diri. Malah ibu juga sudah memaklumkan kepada Pierre mengenai keadaan diri saya ini yang perlu dijaga dengan baik terutama ketika memasuki kawasan hutan untuk penggambaran," jelasnya.

Menurut Julia, ibunya antara orang yang banyak memberi nasihat supaya lebih berhati-hati kerana dia begitu bimbang perkara yang sama berulang biarpun kejadian itu sudah lama berlalu.

Selain diminta jangan meninggalkan sembahyang, ibunya juga menurut Julia selalu berpesan supaya tidak bercakap celupar selain menjaga peradaban diri setiap kali berada di mana-mana.

Tidak pernah membantah cakap ibunya, Julia juga mempersiapkan diri kerana tidak mahu perkara tersebut berlaku dengan membawa surah Yasin setiap kali ingin keluar rumah.

Percaya atau tidak sebanyak tiga surah itu digunakan masing-masing diletakkan di dalam almari pakaian, dalam kereta serta di dalam beg tangannya.

"Mungkin akan ada yang berkata saya ini kolot kerana mempercayai perkara itu tetapi ini semua pendirian saya selepas melalui peristiwa yang menyeksakan ketika berusa 11 tahun itu," ujarnya.

No comments: