Saturday, April 12, 2008

Mangsa makhluk halus


Oleh Rozdan Mazalan
www.bharian.com.my/Article

Julia Ziegler akui hidup tak tenteram selama setahun

SIAPA menyangka wajah ngeri ini milik pelakon jelita, Julia Ziegler yang pernah merasai sendiri pengalaman diganggu makhluk halus sehingga kehidupannya tidak tenteram hampir selama setahun.

Ditambah peristiwa hitam yang hampir meragut nyawanya dalam kecelakaan jalan raya pada 2006 membuatkan dirinya kembali bersemangat melawan fobia yang dialaminya.

Menurutnya, kejadian diganggu makhluk halus dan kemalangan itu meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupannya, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus melawan perasaan takut dan gementarnya.

"Saya sendiri pun tidak mampu membayangkan yang saya sebenarnya sudah dibungkus ke dalam beg plastik mayat selepas kemalangan itu namun saya bersyukur kerana nyawa saya masih panjang.

"Berbekalkan pengalaman itulah saya mencuba untuk memberanikan diri melawan ketakutan dan menerima apa saja asalkan keyakinan diri saya dapat diatasi," katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Jangan Tegur baru-baru ini.

Melalui pengalaman lalu itu jugalah Julia memasang impian untuk menjadi seorang pengarah kerana mahu mengabdikan pengalaman hidupnya ke layar perak.

"Hubungan saya dan Pierre memang baik sejak dulu lagi. Semasa dia sibuk merangka skrip filem Jangan Tegur ini, dia menceritakan secara ringkas gambaran keseluruhan skrip itu.

"Secara tidak sengaja sedikit sebanyak jalan cerita itu seolah-olah mengenai kisah hidup dan pengalaman yang pernah saya hadapi. Menurut Pierre dia juga menggambarkan watak utama yang digambarkan untuk filemnya adalah saya.

"Secara kebetulan impian saya untuk menghasilkan filem mengenai hidup saya direalisasikan Pierre walaupun hanya beberapa peratus saja ceritanya hampir sama," katanya.

Jangan Tegur mengisahkan Natasya yang pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya dan koma selama beberapa minggu di hospital. Semasa koma itu dia bermimpi berjumpa dengan Baizura yang tidak pernah dikenali dan seakan dia memerlukan bantuannya.

Selepas pulih daripada koma, Natasya sering diganggu makhluk halus dan secara kebetulan dia kini mampu melihat makhluk halus yang ingin mendampinginya seakan mahu menyelesaikan sesuatu peristiwa misteri.

"Ini yang menjadi cabaran buat saya untuk membawakan watak Natasya seperti mana yang pernah saya alami dalam kehidupan saya. Lagi pun saya pernah koma selama lapan hari dan pernah diganggu makhluk halus.

"Melalui filem ini saya ingin lahirkan pengalaman sebenar saya sebaik mungkin agar penonton yang menontonnya nanti merasai sendiri apa yang pernah saya lalui.

"Saya kini semakin bersemangat untuk meneruskan kehidupan baru saya dan meneruskan karier saya dalam bidang ini. Diharap filem Jangan Tegur ini menjadi pengalaman berharga buat saya," katanya.

Selain Julia, turut membintangi filem ke-28 terbitan Metrowealth Movies Production (MMP) arahan, skrip dan lakonan Pierre Andre adalah Nadia Mustapa, Rozita Che Wan, Almy Nadia, Ellie Suriaty, Azri Iskandar dan Kaza.

1 comment:

Matt Marzuki said...

Hi,

Must have been quite an experience being spooked by a ghost. I enjoy reading your blog. Please come and visit mine.