www.bharian.com.my
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
RAMADAN ini, stesen televisyen bagaikan berlumba-lumba menghidangkan program yang terbaik khusus untuk penonton setia mereka. Stesen nombor satu negara, TV3 baru-baru ini mengadakan satu sidang media bagi memperkenalkan barisan program yang bakal menemui penonton.
Jika sebelum ini, sidang media memperkenalkan program baru diadakan di hotel dan restoran terkemuka, sebagai mengambil keberkatan Ramadan, majlis doa selamat dan kesyukuran diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sebelum kesemua sembilan program baru diperkenalkan, tetamu yang hadir terlebih dulu dihidangkan dengan bacaan ayat suci al-Quran dari pelakon baru Iqram Dinzly dan Ustaz Asri dari kumpulan Rabbani.
Antara selebriti yang hadir pada petang itu ialah Rusdi Ramly, Norlia Ghani, Sheila Rusly, Wahid, Shamsul Ghau-Ghau, Julia Ziegler, Shahruddin Thamby dan ramai lagi.
Program yang menemui penonton sepanjang Ramadan ini ialah Shamsul@Bazaar Ramadan, Drama Ramadan: Pertama Ramadan, Lagenda Ramadan: Lagenda Lara Rindu Mahsuri, Samarinda: Kasih Iftitah, Haiwan Teladan, Singgah Sahur, Jejak Rasul musim 14, As-Salam dan drama bersiri Ta’in 3T.
Shamsul@Bazaar yang dihoskan Shamsul Ghau-Ghau menemui penonton pada setiap Isnin jam 6 hingga 6.30 petang. Rancangan berunsur travelogue ini akan membawa penonton meninjau ke bazar Ramadan terpilih. Selain itu, program ini juga akan memaparkan artis tempatan yang mengambil kesempatan menjual dan membeli juadah berbuka puasa.
Drama Pertama Ramadan pula menemui penonton setiap Rabu & Khamis jam 11 pagi. Drama menarik ini dibintangi Zed Zaidi, Maisarah, Taqif, Sheila Mambo, Sharifah Sofia, Enot dan Shaharudin Thamby. Drama ini mengisahkan bagaimana Hakim terpaksa berhari raya sendirian bersama anak-anaknya setelah kematian isteri tersayang.
Lagenda Lara Rindu Mahsuri, drama bersiri sebanyak 12 episod ini pula menemui penonton setiap Isnin hingga Rabu pada jam 4.30 petang. Siri ini akan mengimbau lagenda Mahsuri tetapi dalam konteks zaman moden. Drama tragisnya ini mengisahkan Teh Halimah (Norish Karman) yang berkahwin dengan Farouk Abadi (Eman Manan) mempunyai seorang anak bernama Mustika (Sherry Ibrahim). Teh Halimah tidak disukai mentuanya dan dihalau keluar tanpa mengetahui dia sedang hamil anak kedua. Setelah lahir, bayinya dibawa pembantu Teh Halimah, Chu Zainab ke Langkawi. Anaknya itu dinamakan Mahsuri.
Slot Samarinda sebanyak 25 episod, Kasih Iftitah pula menemui penonton setiap Selasa hingga Khamis jam 10.30 malam. Mengisahkan pergolakan Azrai dan Rudi yang cuba menguasai syarikat Iftitah Berhad yang megah sebagai pembekal barangan halal. Malang sungguh pengurusan serta anak syarikatnya tidak mempraktikkan kemegahan di dalam urusan harian. Drama bersiri ini dibarisi Zed Zaidi, Zamarulhisham, Sharifah Haslinda, Julia Ziegler dan ramai lagi.
TV3 juga tidak melupakan penonton yang terdiri di kalangan kanak-kanak apabila menayangkan program Haiwan Teladan setiap Isnin hingga Jumaat jam 9.05 pagi. Program bersiri khusus untuk kanak-kanak ini menceritakan pelbagai kisah menarik dan teladan yang diadaptasi dari kisah haiwan.
Singgah Sahur yang memasuki tahun ke empat akan menemui penonton sekali lagi pada setiap Jumaat dan Sabtu jam 12.30 malam. Tahun ini bersama pengacara Ally Iskandar, Singgah Sahur akan menjelajah ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor, Selangor, Pahang dan Terengganu.
Jejak Rasul 14 : Rihlah Battutah pula akan menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis jam 6 petang bersama hos Ahmad Noor Sulaiman. Siri ini memaparkan pengembaraan Islam kurun ke 14 yang cukup terkenal.
Norzie Pak Wan Chik pula akan membawa penonton menjelajah ke bumi Amerika Syarikat buat kali kedua dalam siri As Salam yang menemui penonton setiap Khamis jam 5.35 petang. Jika musim lepas fokus As Salam memaparkan kejayaan individu serta sumbangan mereka kepada masyarakat, kali ini pula Norzie akan memfokuskan kepada medium dakwah.
JS Pictures pula sekali lagi membawa penonton mengikuti liku liku hidup Ta’In dalam siri Ta’in 3T yang menemui penonton setiap Ahad jam 9 malam. Siri ini dibintangi Wahid Senario, Sheila Rusly, Fauziah Nawi dan ramai lagi.
Sementara itu, penonton setia TV3 juga berpeluang pulang beraya secara percuma dengan menaiki bas yang ditaja TV3. Sebanyak 10 bas Transnasional menyediakan perkhidmatan ke destinasi di Johor Bahru, Kelantan, Terengganu, Alor Star dan Kuantan kepada 400 penonton bertuah dengan menyertai Kuiz Balik Beraya Bersama TV3.
Penonton hanya perlu menonton Malaysia Hari Ini setiap Isnin hingga Jumaat dan menjawab beberapa soalan mudah untuk memenangi empat tiket percuma pergi dan balik ke kampung halaman dengan membuat panggilan ke program MHI.
Friday, September 5, 2008
9 program baru seri bulan puasa di TV3
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment