Oleh NIEZAM ABDULLAH
Solekan & dandanan DEQ SHA (019-3495383)
Pakaian FIZA COLLECTION
APABILA terfikir untuk mengaturkan sesi fotografi dengan pelakon cun Julia Ziegler, saya tertanya-tanya juga apa cerita panas `minah’ ini?
Yalah, setakat ini Julia tidak tersenarai di antara artis baru yang terlibat dalam skandal cinta serta dikaitkan dengan berita sensasi.
Yang ada pun setakat dia pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan Yusry KRU dan juga Pierre Andere. Itu saja.
Selebih dari itu, rasanya tak pernah dengar apa-apa walaupun sebelum ini ada gosip yang bertiup kononnya Julia pernah dipertemukan dengan golongan tertentu termasuklah individu berstatus kerabat.
‘‘Memang ada... saya tak bohong tapi percaya atau tak, saya tak layan semua itu,’’ kata beliau memulakan bicara.
Bukan nak mengampu tapi saya percaya kata-kata Julia. Walaupun dia nampak gadis yang agak sosial orangnya tapi bukan mudah, tak kiralah anak raja, anak datuk atau anak sesiapa saja hendak mendekati atau menggatal dengannya.
Kepada Julia, kerja adalah kerja. Nak menggatal itu bukan caranya kerana dia sedikit pun tak mahu terlibat dengan apa-
apa agenda yang boleh memusnahkan kerjayanya yang sedang dibina ketika ini.
Mungkin pengalamannya ketika belajar di Amerika Syarikat sebelum ini, saya melihat pemikiran Julia agak lebih terbuka.
Malah jawapan kepada soalan panas yang ditanya dijawab dengan ikhlas. Tapi sayang, atas permintaan Julia sendiri jawapan itu tidak dapat disiarkan.
Bukannya apa... takut juga nanti ada yang kena saman. Tak dia, mungkin saya atau kedua-duanya terpaksa merengkok dalam penjara.
Kali terakhir Pancaindera memberi peluang kepada Julia menjadi penghias muka depan pada hujung tahun lalu.
Waktu itu dia agak terkial-kial untuk ‘membuka mulut’ saat filem pertamanya iaitu Kayangan mendatangkan impak buruk apabila lakonannya tidak menjadi.
Ada yang berkata, harap muka saja lawa tapi lakonan ntah apa-apa.
Tetapi berkat kesabaran dia selama ini, Julia atau nama sebenarnya Julia Bob Fauzi Ziegler ini sudah melangkah ke satu peringkat yang lebih tinggi apabila dia menerima limpahan tawaran berlakon walaupun di awal kemunculan ada yang mendakwa lakonannya seolah-
olah macam ‘hampas’.
Selepas lapan bulan, kali ini saya memberi satu lagi peluang untuk beliau menjadi penghias muka depan sisipan akhbar glamor ini.
Agak terkejut kerana merasakan macam tidak diberi peluang lagi, Julia memenuhi permintaan saya.
Dan kali ini saya menyelongkar banyak perkara terhadap Julia yang saya rasakan beliau boleh menjadi bintang hebat sekiranya terus menjaga disiplin diri.
* Belajar dari kesilapan
Saya bertanya kepada Julia selepas filem Kayangan yang diberi kritikan gara-gara lakonannya yang tidak menjadi itu, tidakkah dia berasa malu?
Yalah, dia dianggap tidak boleh berlakon tetapi bersandarkan kepada paras rupa untuk mendapat tempat.
Mudah saja jawabnya, kalau tak ada kesilapan tentu sahaja tidak ada perubahan.
Dan Julia berterus terang dek kerana kekurangan dan kelemahan di dalam filem itu, dia banyak belajar untuk memperbaiki dirinya hari ini.
Dek kerana tidak mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan, perkara asas yang dilakukan pelakon ini ialah menjaga disiplin dan sanggup belajar daripada pelakon yang lebih banyak pengalamannya.
Ketika dilokasi penggambaran, kata Julia dia tidak malu untuk bertanya pelakon-pelakon senior termasuklah krew yang terlibat.
Walaupun seseorang itu hanya kerjanya mengangkat lampu di lokasi, sebagai pelakon baru, dia tidak boleh memandang rendah golongan itu.
Melihat sesetengah pelakon baru yang berlagak diva, perasan popular dan kalau boleh nak dijunjung macam anak raja, Julia bukan jenis manusia yang sedemikian.
‘‘Saya tak kisah kalau nak makan berkongsi ramai-ramai sebab saya tak memilih.
‘‘Saya pernah melihat pelakon yang perasan kononnya lakonan dia bagus tetapi apabila sampai di lokasi, dia dipulaukan oleh semua orang. Saya tak mahu jadi orang yang macam itu,’’ katanya.
Walaupun sebelum ini beliau pernah dikritik tetapi atas dasar ingin maju dalam kerjayanya, hari ini bukan sahaja drama malah Julia turut mendapat tawaran berlakon di Indonesia.
Sebagai bintang baru yang sedang berkelip cahayanya, mungkin ia peluang terbaik untuk gadis berusia 24 tahun ini mengembangkan lagi sayapnya.
‘‘Saya agak terperanjat apabila mendapat tawaran daripada sebuah produksi Indonesia untuk mengadakan usaha sama pembikinan filem Teman Selamanya,’’ kata Julia.
Filem yang menjalani penggambaran pada 17 Jun hingga 1 Ogos lalu itu adalah hasil kerjasama di antara Astro Shaw dan produksi Indonesia iaitu 999 Pictures.
Ia mengisahkan lakonan Pierre Andre yang ingin mencari kemewahan dengan memperdayakan orang lain.
Bimbang dengan aktivitinya itu, Pierre melarikan diri ke Indonesia dan terjumpa seorang gadis kaya lakonan Julia. Hasrat Pierre, mulanya ingin mempedayakan Julia tidak tercapai sebaliknya mereka menjalinkan hubungan cinta.
Mengakui pada mulanya agak sukar untuk berlakon filem romantik komedi itu kerana Julia terpaksa bercakap dalam bahasa Indonesia, tetapi ia tidak menjadi masalah apabila syarikat produksi menawarkannya kursus intensif selama 10 hari.
Pengalaman yang diperoleh ketika mengikuti kursus tersebut amat berguna kerana Julia dapat mempelajari bahasa baru dalam dirinya.
‘‘Saya tak menyangka dalam masa 10 hari sahaja saya boleh mengusai bahasa Indonesia. Walaupun tidak begitu baik tapi sekurang-kurangnya melepasi kehendak pengarah,’’ ujar beliau.
Peluang melangkahkan kaki ke sebuah produksi luar dari negara sendiri itu membuktikan Julia cepat untuk memperluaskan bakatnya yang suatu ketika dahulu diketawakan orang.
l Belum masa bercinta
Digosip mempunyai hubungan dengan orang itu dan ini, jujurnya gadis ini memberitahu hatinya masih belum terbuka untuk mempunyai sebuah ikatan cinta.
Memang cemburu tatkala melihat orang lain berkasih sayang, tetapi selepas dua tahun melalui derita selepas berkecai cintanya, Julia mungkin agak serik.
Bukan tidak mempercayai cinta tetapi belum masanya untuk Julia mempunyai apa-apa komitmen buat masa ini.
Dan gosip yang dilemparkan kepadanya selama ini hanya sekadar cerita orang yang dibuat apabila melihat dia begitu akrab dengan individu itu.
Minta memperjelaskan bagaimana dia boleh dikaitkan dengan Pierre, kata Julia mereka pernah bersekolah di sekolah yang sama iaitu Sekolah Kebangsaan AU3, Keramat, Kuala Lumpur.
Julia masih teringat ketika dia berada di darjah tiga, ketika itu Pierre di darjah dua.
Tetapi mereka tidak pernah bertegur sapa sebaliknya selepas dipertemukan semula dalam bidang seni.
‘‘Masa saya shooting dengan ibu Pierre iaitu Khatijah Tan, barulah terbuka kisah saya dan Pierre pernah belajar di sekolah yang sama.
‘‘Bila balik rumah saya tengok semula gambar-gambar lama, baru saya teringat semula kisah silam itu. Bermula dari situlah saya rapat dengan Pierre dan keluarganya,’’ terang Julia.
Dek kerana keakraban itu maka ada pihak membuat tafsiran mereka sedang berada di dalam bahtera percintaan.
‘‘Kami rapat. Pierre selalu juga ajak saya keluar tengok wayang bersama. Tapi hubungan itu tak lebih kerana saya masih belum bersedia untuk menyahut sebuah dimensi baru dalam percintaan,’’ ujarnya.
Mengakui amat kagum dengan kehebatan Pierre yang menjadi pengarah dalam usia muda, ujar Julia, dia banyak belajar untuk mencari kejayaan daripada Pierre sendiri.
Kata Julia, Pierre merupakan pendorong di dalam kerjaya seninya selama ini selain banyak mencorakkan dia untuk menjadi pelakon yang baik.
‘‘Dalam filem Jangan Tegur, Pierre sebagai pengarah turut membimbing saya agar membawa watak yang baik dan menepati cita rasanya,’’ jelas Julia
* Sudah puas bersosial
Memiliki muka cantik dan boleh dikatakan masih lagi ‘bergetah’ mungkin ada yang beranggapan Julia sejenis perempuan yang suka keluar masuk disko.
Yalah, latar belakangnya sebelum ini yang membesar dalam dunia barat mungkin ada yang menganggap dia seperti itu.
Dengan tersenyum, Julia mengaku dia dah puas hidup dalam dunia sosial.
Sekarang ini tak main lagi nak keluar masuk pusat hiburan berbanding sewaktu mengalami kejutan budaya ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Amerika Syarikat tak lama dulu.
‘‘Di U.S (Amerika) saya memang mengalami kejutan budaya. Apabila saya pulang ke Malaysia saya terlibat dalam satu kemalangan ngeri sehingga kulit kepala saya tersiat.
‘‘Selepas kejadian itu saya melihat diri saya semula dan menyesal dengan apa yang telah saya lakukan semasa belajar di luar negara.
‘‘Kerana kejadian itu, saya sudah tidak berminat langsung nak lepak-lepak di dalam disko atau mencari hiburan yang tidak mendatangkan apa-apa faedah,’’ ujarnya.
Dan dalam masa yang sama, Julia cuba mengelak untuk dikaitkan dengan aktiviti yang boleh merosakkan namanya.
Bukannya apa, hari ini dengan adanya pelbagai kemajuan dan teknologi, seseorang artis itu boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu yang mahu menjahanamkan kerjaya seseorang artis.
Tengoklah, dek kerana tak pernah ada kesedaran, banyak gambar tak senonoh tersebar di Internet yang akhirnya mengundang tanggapan negatif masyarakat.
‘‘Saya tak mahu jadi artis yang kontroversi dengan benda-benda yang boleh menjatuhkan maruah dan harga diri. Sebab itu saya cuba mengelak daripada membabitkan diri dengan aktiviti yang boleh mengundang padah,’’ katanya.
* Hati-hati berkawan
Saya ada bertanya siapakah kawan-kawan artis yang rapat dengannya, kata Julia kalau nak dikira bilangannya tak habis sebelas jari.
Maknanya Julia tak punyai ramai kawan artis kerana dia agak serik apabila ada kawan-kawan yang mengata di belakang.
‘‘Saya tak hipokrit dan saya tak boleh berkawan dengan orang yang hipokrit.
‘‘Yang saya macam tak percaya apabila ada artis nampak baik tapi rupa-rupanya dalam diam dia mengata saya. Ia bukan sikap yang bagus dalam sebuah persahabatan,’’ jelasnya.
Benar kata Julia itu. Persahabatan memerlukan sifat bertolak ansur dan sering susah dan senang bersama. Bukan sekadar baik dan manis mulut di depan mata.
Julia mungkin boleh menjadi artis yang berjaya pada masa akan datang dan mampu mengalahkan beberapa bintang lain asalkan dia tidak perasan diva atau mencari kontroversi murahan.
Dalam masa yang sama peradaban diri di luar sana hendaklah dijaga supaya orang tidak terus mengata.
No comments:
Post a Comment