www.hmetro.com.my
‘Jumpa saya di mahkamah’
Oleh Nor Akmar Samudin
Bagaimanapun Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad ketika ditemui di majlis pelancaran lapan dramanya baru-baru itu, enggan memanjangkan perkara itu sebaliknya bersedia untuk bersemuka dengan lelaki yang mendakwa penjaga mereka di mahkamah.
Harian Metro difahamkan, penjaga kanak-kanak itu menghubungi Erma untuk menyatakan hasrat menyerahkan dua anaknya yang ketika itu berusia tiga dan empat tahun, kepada Rumah Anak Yatim Bakawali yang diasaskan Erma.
Namun, rumah anak yatim itu tidak menerima kanak-kanak di bawah tujuh tahun. Bagaimanapun, atas rasa simpati terhadap kanak-kanak itu Erma sempat menjaga mereka selama dua bulan sebelum menyerahkannya kepada kakak angkatnya.
Hanim dan Firdaus sempat berada di bawah jagaan kakak angkatnya itu hampir enam bulan. Atas sebab tertentu, mereka kemudian diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Perkara itu berlaku pada 2004 tetapi hanya baru-baru ini penjaga kepada dua kanak-kanak itu mendakwa Erma tidak amanah kerana menyerahkan mereka berdua kepada pihak lain. Dia juga mendakwa kanak-kanak itu tidak dijaga dengan sempurna.
“Saya tidak mahu komen mengenai perkara ini kerana tidak mahu memberi publisiti murahan kepada orang yang tidak bertanggungjawab.
“Untuk mengetahui kedudukan sebenar perkara itu, sila berjumpa saya di mahkamah. Sudah banyak kali dia mengugut hendak menghantar surat saman dan sebagainya tetapi selama sebulan menunggu, saya tidak dapat satu surat pun.
“Apabila ditanya mana surat itu, dia memberi pelbagai alasan. Oleh itu saya mohon peguam saya keluarkan surat kepadanya supaya dia tidak sewenang-wenangnya membuat kenyataan mengenai saya ataupun dia sendiri kepada media.
“Saya ingin mengingatkan lelaki itu jangan sesuka hati memberi kenyataan kepada sesiapa. Siapa yang bersalah dan siapa yang benar, biar undang-undang menentukannya. Saya tidak suka mengaibkan orang, jadi biar mahkamah yang putuskan perkara ini.
“Dalam hal ini saya kasihan kanak-kanak itu. Mereka sudah besar dan boleh berfikir mengenai masalah mereka,” katanya.
Pada hari itu, Erma melancarkan lapan dramanya, Aku Bukan Andalusia, Qasidah Buat Laila, Kau Mencipta Dosaku, Tetamu Allah, Nur Kasih Di Jabal Rahmah, Tasbih Cinta, Jangan dan Khalifah Di Bumi Allah. Semua drama itu diarahkan Erma dan diterbitkan Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd dan Teratak G2. Ia usaha Erma dengan rakannya, Nanee Suria.
Bagaimanapun, enam daripada drama itu belum siap sepenuhnya kerana ada beberapa babak yang perlu menjalani penggambaran di Makkah. Drama itu, Aku Bukan Andalusia, Qasidah Buat Laila, Kau Mencipta Dosaku, Tetamu Allah, Nur Kasih Di Jabal Rahmah dan Tasbih Cinta.
“Sudah dua kali mohon visa ziarah tetapi belum diluluskan sehingga kini. Mengikut jangkaan, tayangan semua drama itu pada Ramadan ini tetapi jika belum mendapat visa, terpaksalah ia ditayangkan pada Aidiladha pula.
“Itu pun tengok kepada keadaan. Terpaksalah saya bersabar dan reda dengan dugaan ini. Sementara menunggu visa diluluskan, terpaksalah saya ‘melepaskan’ artis yang terbabit dengan penggambaran di Makkah itu. Saya tidak boleh ‘ikat’ mereka lama kerana mereka juga ada komitment lain.
“Jika masalah visa selesai, saya akan menghubungi mereka semula,” katanya.
Antara artis yang terbabit dalam pembikinan lapan drama itu ialah Fahrin Ahmad, Ady Putra, Julia Ziegler, Datuk Rahim Razali, Siti Shahrizah, Norhafizah Sabudin, Ziana Zain, Umie Aida dan Norish Karman.
Thursday, August 28, 2008
"Qasidah Buat Laila" - Erma Fatimah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment