www.bharian.com.my
Mula bersiaran malam ini di ntv7 dengan menampilkan empat pelakon hebat
INFO: Ampang Medikal
- Disiarkan setiap hari Khamis, jam 8.30 hingga 9.30 malam hanya di saluran ntv7
- Terbitan bersama Primeworks Studios Sdn Bhd dan Niche Films.
- Untuk menonton semula episod yang telah ditayangkan, layari Catchup TV di www.ntv7.com.my
DRAMA bercorak siri perubatan atau medikal seperti Grey's Anatomy, Scrub, Chicago Hope dan ER (Emergency Rooms) dari produksi luar sering mencuri tumpuan penonton di Malaysia sehingga ada yang menjadikan siri itu sebagai mesti tonton.
Sebagai saluran penyiar, ntv7 tidak ketinggalan menyiarkan drama berjudul Ampang Medikal yang mula menemui penonton setia saluran itu mulai malam ini.
Pengarahnya, Keith Chong berkata drama seperti itu sedikit sebanyak memberi inspirasi kepadanya untuk membikin drama ini tetapi seboleh-bolehnya dia tidak mahu terus-terusan dibayangi drama luar itu sebaliknya diperhebatkan dengan kandungan tempatan dengan menampilkan wajah, budaya dan rencah tempatan.
Drama terbitan bersama Primeworks Studio dan Niche Films ini mengambil durasi masa selama empat bulan untuk disiapkan bermula sejak 5 Mei dan berlanjutan hingga 15 September ini.
Kata Keith lagi, penulis skrip drama arahannya sudah membuat penyelidikan termasuk mendapatkan perunding yang pakar dalam soal perubatan dan bidang kedoktoran.
Ia menampilkan nama hebat seperti Azhar Sulaiman, Nur Aliah Lee (Vee), Ngasrizal Ngasri, Julia Ziegler dan beberapa nama baru termasuk pengacara Whoa! di ntv7 iaitu Rusdiana Ramli.
Hip menyingkap kisah Rusdiana Ramli, Azhar Sulaiman, Vee dan Julia Ziegler ketika sidang media drama ini dijalankan baru-baru ini.
Gembira dapat watak Dr Siti
AMPANG Medikal menjadi drama sulung yang menampilkan Rusdiana Rusdi atau Diana, 23, sebagai antara watak penting. Rusdiana masih mengacarakan program Whoa! bersama Hafiz di ntv7. Dia pernah mendapat naib juara dalam pertandingan Siti Nurhaliza Mencari Bintang dan aktif membabitkan diri dalam iklan komersial seperti Hotlink, Mobile Wallet dan Malaysian Dream Girls.
Kata Rusdiana, sejak usia sembilan tahun lagi, dia sudah mula menjadi model iklan. Dunia lakonan baginya menjadi satu bidang loncatan demi merealisasikan cita-citanya mahu bergelar Pegawai Perhubungan Awam (PRO). Pengalaman menjadi Dr Siti dalam drama Ampang Medikal memberi satu ruang untuk terus melebarkan bakatnya.
"Sebelum ini saya pernah berlakon beberapa buah drama termasuk Kasih Suci tapi semuanya sekadar pelakon pembantu dan ekstra. Dalam drama Ampang Medikal saya dapat merasai pengalaman menjadi doktor. Tak dapat jadi doktor betul-betul, berlakon jadi doktor pun kira oklah. Saya masih baru dan hijau dalam dunia ini, harapnya kehadiran saya akan disedari dan saya ingin berkongsi sedikit bakat yang ada," kata anak bongsu daripada empat beradik yang berkelulusan diploma pengiklanan.
Niche Film milik kakak Julia
BIARPUN sibuk dengan komitmen beberapa kerja dalam satu masa, Julia Ziegler, 24, akan cuba sebaik mungkin memastikan aturan jadualnya. Selain sibuk dengan drama Ampang Medikal, Julia juga terbabit menjalani penggambaran Kasih Iftitah menghiasi slot Samarinda, TV3 menjelang Ramadan ini.
Syarikat Niche Film yang menjadi penerbit bersama drama Ampang Medikal ialah produksi milik kakaknya, Linda Ziegler. Keterujaannya menonton drama seperti Scrub dan Grey's Anatomy semakin memuncak apabila mula ditawarkan watak Dr Melissa oleh kakaknya sendiri. Aktres dan model yang pernah digosipkan dengan Pierre Andre ini kini mengaku masih solo.
"Saya yang mula memperkenalkan Linda ke dalam beberapa produksi dan alhamdulillah semakin hari, dia mula mendapat tempat membikin drama dan telefilem. Untuk drama ini, saya percaya kepada cita rasa Linda dan pengarah.
"Mengenai soal cinta, saya seboleh-bolehnya tidak mahu terjebak dengan sebarang perhubungan lagi. Saya sedang membaikpulih hati yang pernah retak rentetan cinta sebelum ini. Saya tidak mahu hati saya yang sudah kecewa, kembali retak. Kalau saya mahu bercinta sekalipun, biarlah saya mulakan dengan hati yang baru," kata Julia yang sudah pun selesai menjalani penggambaran filem Teman Selamanya yang turut menampilkan Pierre Andre.
Tak pernah tonton drama medikal
JIKA sesetengah pelakon menjadikan drama atau genre filem berkaitan sebagai rujukan untuk berlakon, ternyata tidak bagi Nur Aliah Lee (Vee). Biarpun pertama kali diberi peranan sebagai Dr Maznah, Vee sama sekali tidak menonton drama atau filem mengenai bidang perubatan atas alasan tertentu. Anaknya Putera Muhamad Ameen juga diundang berlakon sebagai Daniel menjadi anak kepada Dr Maznah.
Bekas isteri kepada Aziz M Osman ini masih berhubungan baik dengan pengarah tersohor itu. Terkini Vee mengakui, yang dia ada berkawan rapat dengan seorang lelaki lebih kurang setahun lalu.
"Saya tidak menonton apa-apa drama atau filem yang menjurus kepada genre yang sama dengan Ampang Medikal kerana saya bimbang akan terikut-ikut dengan watak yang sedia ada," kata Vee.
Klinik khas untuk penggambaran
GARA-gara mula terbabit dengan drama Ampang Medikal, percaya atau tidak, pelakon kacak, Azhar Sulaiman, 38, sudah pun membuka klinik.
Dalam sibuk berlakon dan bekerja sepenuh masa sebagai arkitek di syarikat Design Nexus Architect, Azhar masih mampu menguruskan klinik yang dibukanya sejak sebulan lalu. Klinik itu diberi nama Emergency Rooms di Plaza Damas.
Sudah berlakon pelbagai watak, menjadi Dr Amir Shah Stephens buat pertama kalinya juga menjadi momen indah dalam hidup suami kepada Chempaka Emalin ini.
"Sebenarnya saya buka klinik itu untuk tujuan penggambaran bagi mana-mana produksi yang berminat. Ia ada set atau studio khas yang boleh digunakan untuk drama atau filem yang membabitkan babak atau suasana di pusat perubatan.
"Klinik dengan keluasan 1200 kaki persegi ini dimuatkan dengan ruang menunggu, bilik doktor, wad, kaunter pertanyaan dan beberapa lagi ruang berkaitan. Alhamdulillah perniagaan 'klinik' saya ini semakin mendapat sambutan. Saya hanya mengenakan caj RM400 sehari.
"Sebagai arkitek, saya masih sibuk dengan beberapa projek termasuk projek kerajaan. Saya akan merekacipta ruang bagi fakulti kejuruteraan elektrik di UiTM, Skudai, Johor tidak lama lagi. Sesibuk manapun, saya akan pastikan ada masa untuk keluarga (isteri dan anak-anak)," demikian ungkap Azhar Sulaiman yang sudah 13 tahun bahagia mengecapi kehidupan berumahtangga termasuk dengan kehadiran Kasih Leia Ixora, Andika Rees Pahamin dan Kasih Iris Leona.
Azhar juga akan memulakan projek sulungnya bersama TV3 untuk menerbitkan telefilem sempena Aidilfitri nanti berjudul Potret Aidilfitri dijangka sudah memulakan penggambaran pada 20 Ogos lalu.
Thursday, August 21, 2008
Kisah di sebalik Ampang Medikal
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
yeah...!!!! now i could watch julia every thursday on the telly.... ;-)
Hey you did well today!
Post a Comment