www.bharian.com.myOleh Zaidi Mohamad
Empat artis kongsi pendapat mengenai impak gelaran selebriti paling bergaya
TERUS unggul dan kukuh, EH! sebagai sebuah majalah yang bertunjangkan gaya dan stail tidak ketinggalan memartabatkan golongan selebriti dalam beberapa siri penganugerahan seperti Anugerah Stail EH! dan 20 Yang Anggun. Ia bagaikan acara tahunan yang terus terisi dalam penerbitan kalendar aktiviti majalah ini.
Tahun ini 20 selebriti wanita yang terpilih dan bertuah diberi gelaran Yang Anggun ialah Deborah Henry, Farah AF, Farah Asyikin, Mila, Fouziah Gous, Sari Yanti, Julia Ziegler, Farhana Fabulous Cat, Hunny Madu, Belinda Chee, Sherry Ibrahim, Ainul Aishah, Siti Fazurina, Elyana, Sarah, Ayu Raudah, Puteri Sarah, Sheila Abdul, Almy Nadia dan Diana Amir
Berbeza tahun sebelumnya, majlis 20 Yang Anggun kali ini mendapat kerjasama dua pereka fesyen tersohor, Calvin Thoo dan Iszal Citra bersempena Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia 2008 pada 29 November lalu. Berlangsung di The Gardens, Mid Valley cuma 15 selebriti saja yang berkesempatan bergaya hebat dengan persalinan tajaan dua pereka fesyen ini.
Sejauh mana gelaran ini mampu memberi impak dan kesinambungan kepada pacuan kerjaya selebriti terbabit, Hip berkongsi sudut pandangan Ainul Aishah, Sari Yanti, Sherry dan penyampai radio Fly FM yang kini bergelar pelakon, Hunny Madu. Apa yang boleh dirumuskan, sedikit sebanyak gelaran ini mampu membuatkan mereka terus dikenali dan ‘terbang jauh’.
Ainul Aishah (20 tahun) - pelakon, model
“GOLONGAN selebriti memang tidak dapat dipisahkan dengan aspek kecantikan dan soal gaya. Ia bagaikan saling melengkapi dan imej itu menjadi penanda aras membuatkan seseorang selebriti itu dikenali. Saya sendiri tidak menyangka akan terpilih sebagai salah seorang di antara ramai selebriti yang ada di Malaysia. Saban tahun, terdetik di hati saya untuk berada di sini (diberi gelaran itu), akhirnya ia menjadi realiti.
“Sebagai selebriti yang baru bertapak, pengiktirafan ini sesuatu yang positif dan usaha majalah EH! ini wajar dipuji. Saya perhatikan hampir semua yang terpilih kali ini adalah muka baru yang sedang menempa nama dan meniti bibir di luar sana. Apabila terpilih, semestinya ia menaikkan semangat saya lagi untuk menjaga penampilan dan imej. Setiap yang terjadi pasti ada sebabnya, ia harus dihargai dan dikekalkan.
“Pembentukan imej yang cantik mampu menjadi batu loncatan untuk memastikan kita mendapat peluang berlakon atau memperagakan barang. Ia adalah landasan terbaik dan strategi untuk memasarkan diri, sekali gus membuka peluang pekerjaan.”
Sari Yanti (24 tahun) - Pelakon
“NAK cakap gelaran ini mampu memberi impak atau tidak, saya belum mampu merungkaikan. Bagaimanapun gelaran ini mengubah saya daripada pelbagai aspek terutama soal keyakinan. Sekurang-kurangnya orang sudah mula membuka mata kepada selebriti yang terpilih ini. Ia adalah satu persaingan sihat, biarpun saya rasa belum layak untuk tersenarai sebagai Yang Anggun.
“Gelaran ini menjadi pembakar semangat dan mampu menyerlahkan apa saja kualiti yang ada pada diri. Bukan bermaksud nak cakap saya cantik, sebaliknya ia memastikan saya untuk sentiasa mementingkan gaya dan imej apatah lagi bila menjadi figura umum yang sentiasa diperhatikan. Saya gembira dengan gelaran ini tetapi tidak terlalu taksub dengannya.
“Apa juga saiz badan kita, tidak kiralah rendah, gempal, tinggi atau kurus, ia hanyalah perkara yang bersifat subjektif. Selagi kita pandai mengenakan pakaian yang sesuai dan cantik, tidak kiralah ia mahal atau murah, ia adalah satu nilai tambah kepada kita.”
Hunny Madu (24 tahun) - Pelakon dan penyampai radio Fly FM
“ANGGUN tidak hanya terpancar daripada sudut fizikal sedangkan soal dalaman hancur. Sebaiknya istilah anggun itu perlu datang daripada kedua-dua bahagian, luaran dan dalaman perlu diseimbangkan. Daripada hati yang cantik, maka terserlah personaliti dan pembawaan diri termasuk sifat diri yang positif. Yang penting tidak plastik dan propa.
“Apabila berpakaian, saya lebih selesa menjadi diri sendiri dan tidak perlu menjadi diri orang lain. Tidak semestinya apa yang dipakai orang, sesuai dengan saya. Ukur baju di badan sendiri dan saya selesa dengan gaya feminin yang ringkas dan pada masa yang sama menonjolkan gaya elegan. Bergayalah dengan baju yang sesuai dengan keupayaan diri kita yang sebenar tanpa perlu berlebih-lebih.”
Sherry (25 tahun) - pelakon
“SAYA bersetuju dengan pendapat Hunny Madu bahawa keanggunan membabitkan aspek dalaman dan luaran. Bagi saya semua wanita di dunia ada ciri anggun yang tersendiri dan ia perlu diserlahkan dengan jelas. Jika tidak menjadi selebriti sekalipun, saya akan pastikan pembawaan diri dan cara pakaian yang betul serta bersesuaian dengan apa juga acara. Apa yang kita pakai dan gayakan ada kalanya benar kerana mencerminkan personaliti diri. Ia cermin kepada diri kita sendiri dan imej menjadi satu perlambangan kepada apa yang kita rasa.”
Thursday, December 11, 2008
20 Yang Anggun
Labels: _fashion-photos, *2008, actress, news
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Bina laman web peribadi pada harga serendah RM200...
Jika mahu bina Artist community portal, hanya RM600
http://webdesign.kaixer.org/malay
Post a Comment