Sunday, December 28, 2008

670 pencalonan bersaing

www.bharian.com.my
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

ANUGERAH Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) kembali lagi. Dengan usia penganjuran yang semakin matang, ABPBH yang memasuki edisi ke-22 menjadi antara majlis berprestij dinantikan di kalangan peminat dunia hiburan, pembaca mahupun selebriti tanah air.

Sejajar penganjurannya, ABPBH 2008 bakal memeriahkan industri hiburan tanah air dengan bermulanya undian pencalonan awal bagi menentukan selebriti yang berada pada kedudukan Top 5 bagi merebut 16 kategori yang dipertandingkan.

Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd, Datuk Hishamuddin Aun, berkata acara ABPBH memang sinonim dalam industri hiburan di Malaysia kerana ia bukan saja disifatkan sebagai anugerah hiburan paling berprestij, malah berjaya membuka mata ramai pihak bahawa populariti seseorang selebriti itu sebenarnya penting untuk menjadikan industri lebih berdaya saing, mempelbagaikan mutu produk seni dan menjana pendapatan lumayan.

“Kempen ABPBH 2008 kini bermula. Sebanyak 16 kategori yang dipertandingkan akan membabitkan lebih 670 pencalonan. Untuk undian kali ini, penganjur memperkenalkan format baru pada borang pencalonan awal edisi ke-22 yang akan mula disiarkan di akhbar Berita Harian dan Berita Minggu bermula esok, 29 Disember.

“Format baru borang undian ABPBH 2008 dibahagikan kepada tujuh bahagian di mana pembaca perlu mengumpul semua borang yang disiarkan di akhbar Berita Harian/Berita Minggu bermula Isnin hingga Ahad. Pembaca perlu mengumpul satu set lengkap borang penyertaan merangkumi tujuh borang yang disiarkan setiap hari bagi memilih nama artis pilihan untuk disenaraikan sebagai Top 5.

“Penyertaan akan ditutup selewat-lewatnya pada 15 Februari depan untuk menentukan lima finalis pilihan peminat bagi setiap kategori yang dipertandingkan,” katanya pada pelancaran ABPBH 2008 di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, Selasa lalu.

Turut hadir, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail dan Pengarang Hiburan Berita Harian yang juga Pengerusi Jawatan Kuasa Pengelola ABPBH 2008, Hanizam Abdullah.

Majlis itu turut meraikan pemenang Pereka Paling Popular ABPBH 2007 yang memberi pengiktirafan pada pereka fesyen dan selebriti pada malam kemuncak acara itu Mac lalu. Pereka Terbaik untuk selebriti lelaki dimenangi Michael Shu dan Kenny Loh menerusi rekaan bersama yang digayakan Bintang Paling Popular ABPBH 2007, Mawi.

Kategori wanita pula dimenangi Hatta Dolmat yang digayakan finalis Artis Baru Wanita ABPBH 2007, Julia Ziegler. Mereka menerima barang kemas Habib Jewels berharga RM10,000 setiap seorang bersama trofi.

Selain itu, seramai 14 pembaca bertuah Berita Harian yang menyertai undian Pereka Popular ABPBH 2007 turut diraikan. Mereka menerima barang kemas Habib Jewels bernilai RM5,000 setiap seorang.

Kemuncak ABPBH 2008 akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 12 April 2009 menyaksikan 16 kategori dipertandingkan di samping merebut gelaran Bintang Paling Popular. ABPBH 2008 menerima lebih 670 pencalonan awal yang terbuka kepada penggiat seni yang aktif dan mempunyai produk bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2008.

No comments: