AARON AZIZ dengan rekaan Lord's Tailor dan Julia Ziegler memperagakan rekaan Hatta.
www.bharian.com.my
Oleh Zaidi Mohamad
Majlis pengumuman pencalonan awal ABPBH2008 dimulakan dengan peragaan fesyen daripada personaliti dan artis muda
FESYEN dengan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ibarat dua perkara yang saling melengkapi. Saban tahun berlangsung, gaya dan tema yang dijelmakan ABPBH sejak tiga tahun lalu, terutamanya menerusi pembabitan pereka fesyen tempatan membuka ruang kepada mereka untuk menempa nama.
Sumbangan besar daripada mereka menjadikan penganjur mengadakan acara khas dinamakan Anugerah Pereka Popular ABPBH2007 dengan menampilkan sejumlah pereka yang hasil rekaan masing-masing diperagakan oleh barisan artis ketika acara karpet merah di kemuncak ABPBH2007 di Arena Of Stars, Genting pada Mac lalu.
Hasil daripada undian itu, Hatta Dolmat dipilih sebagai pereka fesyen wanita popular menerusi rekaan yang digayakan oleh Julia Ziegler, manakala Kenny Loh (Lord’s Tailor) dan Michael Shu pula dengan hasil rekaan yang diperagakan oleh Mawi memenangi kategori pereka fesyen lelaki pular.
Pengumuman itu dibuat dalam majlis istimewa sempena pengumuman pencalonan awal ABPBH2008 yang diadakan di Hotel Palace of the Golden Horses, Sri Kembangan.
Pereka fesyen yang menang bagi setiap kategori ini masing-masing menerima barang kemas Habib bernilai RM10,000 dan trofi. Julia Ziegler dan Mawi yang masing-masing memperagakan rekaan mereka turut membawa pulang hadiah yang sama. Bagaimanapun, Mawi tidak hadir di majlis ini.
Hadiah disampaikan oleh Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Time Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun. Hadir sama ialah Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail dan Pengarang Hiburan BHSB merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH, Hanizam Abdullah.
Bagi meraikan simbolik kepada kejayaan pemenang ini, Hip menggandingkan enam nama bintang muda yang semakin bersinar dan pantas menambat perhatian peminat seni tempatan iaitu Liyana Jasmay, Juliana Evans (Jue), Ainul Aishah, Wan Sharmila, Fizo Omar dan Kamal Adli. Mereka antara model yang dijemput memperaga bagi segmen pertunjukan fesyen di majlis ini.
Liyana, Jue, Ainul dan Wan Sharmila cukup bertuah dan bangga diundang buat pertama kali menggayakan koleksi rekaan Hatta Dolmat, manakala Fizzo dan Kamal Adli tampak eksklusif dengan rekaan Lord’s Tailor. Mereka juga antara nama yang turut tersenarai dalam pencalonan awal ABPBH 2008.
Paling mencuit perhatian Hip ialah mengenai hubungan Liyana Jasmay dan Aizat yang diusik pengacara majlis sidang media pada petang itu iaitu Anne dan Ikhwal daripada Hot FM. Mungkin ada yang perasaan, bunga mawar hitam yang dipegang Liyana tiba-tiba dibaling dan disambut Aizat.
“Kami tidak ada apa-apa hubungan cinta. Selepas fotografi dengan B Pop, kami ditemukan lagi dalam sebuah penerbitan lain. Dia (Aizat) pernah menyanyi di majlis perkahwinan abang saya pada 16 Disember lalu.
“Saya memang boleh serasi sebab personalitinya membuatkan saya mudah mendekatinya. Dia berbakat, baik hati dan ada misi serta visi di dalam hidup,” kata Liyana akan muncul dengan lagu pertamanya berjudul Tak Percaya Cinta, Februari depan.
Seperti Liyana yang gembira menggayakan baju rekaan Hatta, Jue turut bersetuju dengan pandangan rakannya itu.
Kata Jue, dia sudah lama menyimpan impian untuk menyarung baju rekaan pereka fesyen itu dan pada penghujung 2008 barulah menjadi kenyataan.
Ketika ini dia sedang bercuti daripada sebarang aktiviti seni dan tidak lagi menjadi pengacara untuk program Remaja terbitan TV3 yang banyak memperkenalkan namanya di persada seni. Dalam nada kecewa, Jue memberitahu, kontraknya bersama program itu sepatutnya tamat April 2009.
“Terkejut juga apabila nama saya dan Aliff tiba-tiba digugurkan tanpa notis awal. Saya cuma dihubungi penerbit dan diberitahu tidak perlu lagi mengacara Remaja. Memang hasrat untuk tidak mengacarakan Remaja sudah lama saya fikirkan, tapi saya tidak pernah membayangkan kesudahannya begini,” katanya.
Bagi Wan Sharmila, selain pertama kali menggayakan rekaan Hatta, dia juga memberanikan diri untuk melakukan catwalk di pentas. Berusia 27 tahun, dia yang sudah bergelar isteri kepada penerbit bernama Fazli Baharom sejak 2006 mula berlakon sejak dua tahun lalu.
“Saya beranikan diri juga untuk ‘feeling’ buat catwalk dan menambah sedikit elemen lakonan, hasilnya saya yakin diri saja,” katanya yang kini sedang menghabiskan penggambaran drama Rona Roni Makaroni arahan Shahrul Ezad untuk siaran Astro Ria.
Seakan bermimpi, pelakon filem Histeria, Ainul Aishah ini tidak menyangka akan terpilih menggayakan busana ciptaan Hatta. Mengikuti perkembangan fesyen pereka fesyen comel itu, Ainul berasakan rekaannya penuh perincian dan bersifat couture.
“Hatta seorang yang sangat cool dan saya senang bekerjasama dengannya buat kali pertama. Dia cukup dikenali dengan rekaan sarat perincian dan mampu membuatkan siapa yang terpandang rekaannya, terpaku seketika,” ungkap Ainul yang bakal memulakan penggambaran sebuah drama untuk slot Lagenda Januari ini.
Komen pemenang
Pengarah Urusan Lord's Tailor, Robert Loh
KAMI sentiasa memberi sokongan dan tajaan kepada mana-mana acara yang membabitkan selebriti sebagai contohnya ABPBH. Kemenangan ini menjadi penanda aras untuk kami terus berusaha menghasilkan kualiti pakaian yang lebih baik. Kami akan cuba melakukan yang lebih baik pada masa depan.
Hatta Dolmat
KEMENANGAN hadiah terbesar buat saya bersempena hari lahir ke-26 pada 19 Disember lalu. Tidak sangka penutup tahun ini begitu membahagiakan saya biarpun tahun ini saya tidak lepas dihimpit kontroversi itu, ini yang cukup menduga diri saya. Saya berharap sinar 2009 terus terpancar untuk saya menghasilkan rekaan lebih kreatif.
Michael Shu
UNTUK kemenangan ini, saya bekerjasama dengan Lord’s Tailor dengan membekalkan rekaan dan fabrik bermotifkan batik sesuai dengan tema ABPBH 2007. Saya memuji usaha Berita Harian menganjurkan ABPBH, kerana terbukti mampu memperkenalkan pereka fesyen tempatan ke peringkat lebih tinggi. Saya sudah mula terbabit dengan industri fesyen sejak 11 tahun lalu, namun sejak dua tahun kebelakangan ini baru saya mula dikenali dan ini semuanya atas bantuan Berita Harian.
No comments:
Post a Comment