www.bharian.com.my
Oleh Zaidi Mohamad
Julia Ziegler bergaya mewah dan eksklusif dengan barangan Habib
DILIMPAHI kemewahan gaya eksklusif rekaan barang kemas Habib, pelakon dan model Julia Ziegler, 24, dijelmakan dalam dua gaya berbeza yang cukup dramatik.
Habib KLCC menjadi saksi transformasi Julia mengenakan dua persalinan tajaan Calvin Thoo berwarna hijau dipadankan dengan koleksi Nanis yang lebih sesuai untuk golongan remaja. Manakala menerusi busana rona hitam, pelakon dan model kacukan Melayu, Jawa, Jerman dan Amerika Syarikat ini tampil dengan gaya sofistikated di samping dua koleksi, Emperor (Maharaja) dan Mutiara Hitam Laut Selatan.
Menurut Penolong Pengurus Pemasaran & Komunikasi Habib, Yasheedah Yashaiya, Julia dipilih kerana dilahirkan dalam keluarga berdarah campuran dan sesuai dengan sasaran kelompok pengunjung di KLCC yang turut menjadi tumpuan pelancong asing.
Ia juga dilakukan sekali gus dengan pembukaan semula bilik pameran Habib di KLCC sejak 29 November lalu dengan konsep dan suasana baru yang lebih luas, hebat serta selesa. Habib cawangan KLCC mula beroperasi sejak 1994 dan ditutup sementara untuk proses pengubahsuaian sejak dua minggu lalu.
Katanya lagi, dalam durasi masa sebulan lebih 1000 pelancong yang mengunjungi untuk membeli dan meninjau koleksi Habib di sini dengan skala 60 peratus pilihan berlian dan selebihnya emas. Julia juga terbabit mempromosikan koleksi terbaru Habib di TV3 menerusi slot empat minit dalam program Malaysia Hari Ini.
Bagi Julia, dia sendiri mempunyai nostalgia dan kenangan tersendiri dengan Habib kerana ibunya, Saminah Subari seorang bekas guru besar pernah menghadiahkan rantai leher kepadanya sewaktu masih kecil. Gemar menggayakan koleksi emas di acara keluarga, hari raya dan majlis formal, secara berseloroh pelakon yang turut muncul sebagai cameo di dalam filem Cicak-Man 2: Planet Hitam ini juga takut untuk memakai barang kemas di tempat terbuka.
“Kita patut bangga mempunyai seleksi barang kemas jenama tempatan yang menjadi pilihan komuniti rakyat di Malaysia. Sebagai lokasi tumpuan pelancongan, Habib KLCC menjadi mercu tanda yang baik untuk memberitahu orang luar bahawa kita juga mempunyai produk yang boleh dibanggakan.
“Koleksi Nanis juga begitu sesuai untuk remaja kerana cirinya yang ringkas, cantik dan manis. Bagi mereka yang gemarkan gaya mewah mungkin boleh mencuba koleksi Emperor dan Mutiara Hitam Laut Selatan,” katanya memulakan bicara sewaktu ditemui di Habib KLCC baru-baru ini.
Simpan impian jadi penerbit, pengarah
MENJENGUK sisi kerjayanya, Julia yang bakal muncul dengan filem Jangan Tegur dan Bego (dulunya Teman Selamanya) pada 2009, sudah dua tahun menerjah onak duri dunia seni tempatan.
Ketika ini, drama Ampang Medikal lakonannya sedang disiarkan di ntv7 dan pada masa yang sama, dia sedang menyudahkan penggambaran dua telefilem genre komedi, Bom arahan AR Badul dan Wak (Torpe Ali).
Dua tahun berlalu, ia satu fasa yang amat menyenangkan dan setiap hari umpama satu proses pembelajaran apabila ramai pihak yang mula menyedari kewujudan dan bakatnya. Insya-Allah diizinkan Tuhan, Julia ingin mengorak langkah ke satu medan lain untuk bergelar penerbit dan pengarah.
“Saya rasa lebih dihargai dan berpuas hati kerana mula menerima impak yang positif hari demi hari. Kalau dulu ada yang mengatakan saya berlakon kayu, saya akur kerana kehidupan ini adalah satu proses mematangkan diri. Dulu saya naif, ibaratnya seperti baru mengeja abjad A, B, C dan seterusnya.
“Dengan tiada latar belakang dunia hiburan, saya mula belajar dan membiasakan diri dengan realiti dunia hiburan yang penuh pancaroba dan keseronokan yang tersendiri. Memang impian saya untuk menjadi penerbit dan pengarah. Saya sasarkan dua tahun lagi ke arah itu dan ketika itu saya sudah berumur 26 tahun,” katanya berkobar-kobar.
Pergaulan dan kerap bercampur dengan orang yang lebih matang, tua dan berpengalaman, Julia mengakui sering dianggap sudah berusia. Lucunya, ada pelakon baru yang memanggilnya kakak. Pernah dikaitkan dengan beberapa selebriti seperti Remy Innuendo, Pierre Andre dan Yusry KRU, Julia melihatnya sebagai asam garam dunia hiburan yang harus ditempuhinya.
Keinginannya untuk berumah tangga juga semakin ketara apabila ramai temannya sudah mempunyai anak dan ada antaranya sudah berbadan dua. Jelasnya, cemburu pasti ada kala melihat wanita sebayanya mempunyai kekasih tapi apakan daya, dia belum bertemu dengan lelaki yang wajar digelar sebagai kekasih hati.
“Mungkin juga teori saya dilahirkan sebagai anak kacukan membuatkan saya dilihat sudah tua. Ketinggian dan corak pergaulan saya yang lebih terarah kepada mereka yang berusia antara faktor saya difikir sedemikian. Saya rasa perkataan matang paling sesuai menggambarkan diri ini dan ia seiring dengan hasrat saya untuk menamatkan zaman bujang. Mungkin dua tiga tahun lagi saya akan memikirkan soal kahwin dengan lebih serius, tapi calon suami pula belum ada.
“Lihat saja Nora Danish dan Dynas yang sudah mengandung. Begitu juga dengan Datin Natasha Hudson yang sedang bahagia bersama anak dan suami tersayang. Ia antara tanda yang saya juga ingin menjadi seperti mereka dan memiliki kehidupan rumah tangga sebagaimana orang lain.
“Cuma saya belum berjumpa yang sesuai dan terlalu kecewa dengan kisah cinta lalu. Saya sudah kuburkan kisah cinta yang lama termasuklah gosip cinta dengan Pierre Andre. Saya malas nak kenang kembali segala-gala kisah itu dan biarkan ia terus larut dalam kesibukan kerjaya seni ini,” katanya pernah berlakon filem Kayangan dan Cuci.
Bukan masa untuk bersosial
SEMAKIN matang menangani kehidupan, Julia memberitahu waktu sekarang bukanlah zamannya untuk bersosial seperti golongan remaja lain. Ia sudah berlalu dan sudah puas dinikmatinya sebelum ini. Tegas Julia, kini tumpuannya adalah kepada keluarga dan kerjaya yang sedang erat digenggamnya. Akui Julia, dia juga akan cuba mengurangkan gaya seksi seiring dengan kematangan usianya.
“Inilah masanya untuk saya membalas jasa ibu bapa dan saya berniat ingin membawa mereka ke Makkah untuk menunaikan ibadat sama ada mengerjakan umrah atau haji. Kekasih kita boleh dapat bila-bila masa, tapi keluarga adalah hak mutlak kita selama-lamanya. Ini juga peluang untuk saya menggapai impian dan mencari duit demi sebuah masa depan yang lebih terjamin.
“Cukup-cukuplah zaman saya berparti itu ini. Saya sudah puas dan sudah membazir masa dan wang ringgit. Ada juga yang cakap dan persoal kenapa saya tidak mempunyai kekasih sedangkan saya boleh bercinta lagi. Sebaiknya saya lebih senang menghargai keluarga. Daripada saya bergayut dengan kekasih (jika ada), lebih baik saya menghubungi bapa saya,” usiknya penuh makna.
Dijolok dengan soalan apakah dia juga tersenarai sebagai gadis ‘dumb blonde’ yang hanya cantik fizikal tetapi otak tidak ke mana, Julia menafikannya. Baginya, kecantikan adalah sesuatu yang bersifat subjektif dan perlu diseragamkan dengan kepintaran yang mampu membuatkan seseorang itu dikagumi dan dihormati.
“Tidak semestinya berambut blonde itu dia akan digelar sebagai dumb blonde. Ia berbalik kepada soal pembawaan diri kita dan jangan menyalahgunakan kecantikan yang dikurnia dengan memperbodohkan diri sendiri.
“Kecantikan adalah satu bonus dan perlu diseimbangkan dengan kepintaran. Lihat saja selebriti popular, Oprah Winfrey biarpun beliau mungkin dilihat tidak mempunyai kecantikan fizikal, namun hati dan kebijaksanaannya mengaburi segala-galanya,” katanya bersungguh.
Thursday, December 11, 2008
Melaram di KLCC
Labels: _fashion-photos, *2008, actress, news
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
heyy kk juliaa. nina minatt sgtt kat akkk. kalau free view lah blog nina .
wa...
ca mbest je..
Hahahaaa... i sokong u julia!!!
Family harus diutamakan dahulu.. Bf bleh cari bile2.... (^_^)
Nak ambil pelakon baru nanti jangan lupa ambil i berlakon tau...
I tertunggu2 peluang tu sampai hari ni...
Post a Comment