18-03-2008 12:00:23 PM
oleh ZANARIAH ABD MUTALIB
http://mstar.com.my
TIDAK sukar mendekati pelakon jelita yang mula meningkat naik, Julia Ziegler ini. Sepatah ditanya, begitu ramah sekali jawapan yang diberikan.
Mula dikenali selepas berlakon dalam drama siri Susuk, bintang muda yang berdarah kacukan Melayu-Jawa-Jerman ini semakin mendapat perhatian ramai.
Mana tidaknya, baru setahun terlibat dalam industri lakonan, Julia telah diberi kepercayaan untuk menjadi teraju utama dalam filem seram terbitan MIG Production Sdn Bhd, ‘Jangan Tegur’.
Ditanya mengenai pembabitannya dalam filem ketiga arahan Pierre Andre ini, Julia menyifatkannya sebagai rezeki yang tidak akan disia-siakan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh Pierre dan penerbit, Encik David Teo untuk menjadi heroin dalam filem ke-28 terbitan MIG ini.
“Inilah kali pertama saya membawa watak utama dalam filem dan sudah pasti saya akan buktikan saya mampu membawa watak ini,” kata Julia yang tidak mahu mengendahkan desas-desus yang mengatakan dia tidak pandai berlakon.
“Saya adalah orang yang selalu mahu buktikan yang saya boleh lakukan. Apabila ada orang kata yang saya hanya bersandarkan rupa, saya akan buktikan yang tanggapan mereka salah,” kata gadis berusia 22 tahun ini.
Julia berkata, sebab utama dia menerima tawaran berlakon sebagai Natasya dalam ‘Jangan Tegur’ adalah kerana watak itu mempunyai persamaan dengan dirinya.
“Natasya mengalami kemalangan jalan raya sebelum dia koma dan mengalami mengalami peristiwa-peristiwa aneh, begitu juga dengan saya.
“Saya pernah mengalami kemalangan jalan raya dan koma selama lapan hari pada November 2006.
“Disebabkan kemalangan itu, doktor menasihatkan saya supaya berehat selama tiga hingga empat bulan. Bagaimanapun, tidak sampai tiga bulan pun saya berehat sebelum mula aktif kembali kerana pada saya, bila saya mula berjumpa semula dengan orang ramai, stress pun akan berkurangan dan sedar tak sedar, masa pun berlalu dengan pantas.
“Disebabkan itu, saya bersetuju dengan watak yang ditawarkan dalam ‘Jangan Tegur’ kerana sedikit sebanyak watak itu mempunyai persamaan dengan diri saya,” kata gadis yang pernah menuntut dalam bidang Asas Seni Bina di Savannah College Art & Design, Georgia, Amerika Syarikat ini.
Selain sibuk dengan aktiviti seninya seperti berlakon dan modelling, Julia tetap fokus kepada syarikat hiasan dalaman yang dibinanya bersama seorang teman rapat lebih setahun lalu.
“Dulu memang saya banyak masa dalam menguruskan syarikat saya, Suria Design di Damansara Perdana, Kuala Lumpur, tetapi sekarang disebabkan sibuk dengan aktiviti seni, saya hanya terlibat semasa membuat presentation kepada pelanggan selain membuat keputusan-keputusan penting.
“Alhamdulillah, setakat ini, semuanya berjalan lancar seiring dengan kerjaya saya,” kata gadis kelahiran Ampang ini.
Ditanya mengenai perasaannya berlakon di bawah pengarah muda, Pierre Andre, dia tidak menafikan yang Pierre adalah bintang muda yang berbakat besar.
“It’s like a dream. Saya cukup kagum dengannya. Sikapnya sungguh matang walaupun dia masih muda.
“Pierre mempunyai misi yang jauh dalam bidang filem dan saya tidak sabar untuk berlakon di bawah arahannya,” kata Julia yang baru sahaja mengetahui bahawa Pierre sebenarnya adalah rakan sekelas adiknya semasa di sekolah rendah.
Bercerita tentang watak yang diidamkannya, Julia berkata dia teringin untuk melakonkan watak-watak yang mencabar seperti wanita yang dirasuk dan mempunyai dua personaliti.
“Saya rasa watak seperti itu sangat mencabar dan mampu menguji kemampuan saya sebagai pelakon.
“Saya sangat berharap dapat membawakan watak seperti itu suatu hari nanti,” katanya.
Ditanya mengenai gosip mengenai hubungan cintanya dengan Yusry KRU, Julia bagaimanapun menafikannya namun mengaku dia berkawan rapat dengan pelakon dan penyanyi kacak itu.
“Saya mula rapat dengan Yusry selepas berlakon di bawah arahannya dalam filem Cicak Man 2. Tidak dinafikan, saya sungguh senang berkawan dengannya sebab kami sekepala.
“Kami ada keluar makan bersama tetapi hanya sebagai kawan dan memang tidak ada hubungan cinta antara kami,” kata Julia.
1 comment:
melayu+jawa+jerman? wow!! ade adek pompuan x? haha
Post a Comment