Sunday, March 23, 2008


Kawan saja lebih baik
Oleh Zubir Mohd Yunus
www.bharian.com.my

Pierre tak mahu kekasih artis
Julia serik bercinta selepas kecewa dua kali

KEJAYAAN filem Jangan Pandang Belakang (JPB) yang meraih kutipan lebih RM7 juta, mendorong minat Pierre Andre mengarah filem ketiganya, Jangan Tegur (JT) juga menampilkan genre seram, sekali gus mengetengahkan bakat baru, Julia Ziegler sebagai teraju utama filem itu. Penggambaran JT bermula 15 Mac lalu yang menyaksikan kerjasama kali pertama Pierre dan Julia.

Selain Julia, filem terbitan Metrowealth itu turut membariskan Norkhiriah, Elly Suriati, Azri Iskandar, Kaza dan Almy Nadia.

"Dua filem sebelum ini, 9 September dan I'm Not Single menampilkan genre romantik komedi. JT adalah filem seram arahan pertama saya. Sebenarnya sudah lama saya menyimpan hasrat mengarah filem seram, kini barulah hasrat itu tercapai," katanya Pierre yang berhasrat sebelum usianya mencecah 30 tahun, dia bercita-cita bergelar penerbit pula. Pada 17 Mac lalu genap usia Pierre 23 tahun dan menganggap peluang mengarah filem ketiga adalah hadiah hari jadi paling istimewa.

Pierre juga mengakui dia teruja apabila berpeluang bekerjasama dengan Julia kerana yakin pelakon jelita itu mampu membawa watak Natasha, gadis kota berfikiran moden yang tidak percaya kepada makhluk halus. Sepanjang sesi fotografi, penulis melihat Pierre selesa di sisi Julia, lantas terus bertanyakan apakah dia meminati Julia?


"Minat yang macam mana? Secara peribadi, Julia adalah seorang gadis baik hati budinya dan ikhlas apabila berkawan. Saya mengenali Julia apabila diperkenalkan ibu kerana mereka pernah berlakon sama. Dunia ini kecil saja apabila saya baru tahu, kami pernah belajar di sekolah rendah yang sama. Memang saya tak nafikan, kami pernah keluar sama, tapi sebagai kawan saja. Dia cantik, lelaki tak akan menolak untuk bersama orang secantiknya. Kalau keluar, rasa seronok," akui Pierre sejujurnya.

Namun, Pierre sempat memberitahu, apabila mencari kekasih, dia tidak mahu terjebak dengan artis lagi kerana pengalaman kegagalan bercinta sebelum ini banyak mematangkan dirinya dan memberi pengajaran berharga.

Bagaimana pula dengan Fasha?

"Terus-terang saya katakan, saya dan Fasha masih berkawan baik, tak ada sebarang masalah. Ketika kucing kesayangannya, Brat hilang baru-baru ini, saya antara orang pertama yang sampai ke rumahnya berkongsi kesedihan dengannya. Ini bermakna, antara saya dan Fasha tetap berkawan baik sampai hari ini," kata Pierre yang menjadi finalis kategori Pelakon Filem Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 dan berdepan saingan Afdlin Shauki, Rosyam Nor, Rusdi Ramli dan Saiful Apek.

Selain Habib Jewels, Kumpulan Naza menerusi Nasim Sdn Bhd juga adalah penaja utama ABPBH 2007 dengan sumbangan dua kereta mewah, Peugeot 407 yang menjadi habuan Bintang Paling Popular berharga RM185,000 dan Peugeot 307 (pembaca

bertuah Berita Harian/Berita Minggu) berharga RM140,000. Dua kereta buatan Perancis itu disumbangkan Nasim Sdn Bhd yang juga pemegang francais kenderaan Peugeot di Malaysia.

Sempena siri jelajah promosi ABPBH 2007 juga, Habib Jewels menyediakan jualan baju T Habib eksklusif dengan warna pilihan putih dan kuning tulen kristal swaroski. Sebanyak 544 helai dijual kepada peminat setia ABPBH 2007.

Julia pernah jadi 'mayat'

JULIA akui gembira kerana JT menjadi filem pertama beliau muncul sebagai pelakon utama selepas berpeluang beraksi dalam Kayangan, Cuci dan Cicak-Man 2.

"Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan membawa karektor yang begitu berat. Sebagai orang baru, peluang ini harus digunakan sebaiknya," katanya yang beranggapan kemunculannya di bidang seni sebagai mati hidup semula kerana Julia pernah ditimpa kemalangan ngeri pada 21 November 2006 dan dimasukkan dalam plastik mayat kerana beranggapan dia tidak lagi bernafas.

"Orang ingat saya dah mati, dah letak dalam plastik mayat! Tapi, Tuhan masih menyayangi saya, alhamdulillah saya masih bernyawa hingga hari ini. Namun, banyak pengajaran saya peroleh selepas kejadian itu. Kini, saya terlalu menghargai setiap saat yang berlalu dalam hidup saya," kataya yang mengakui berikutan kemalangan itu, dia mempunyai kesan sampingan seperti kecederaan otak apabila dia tidak boleh stress.

Selain itu, ada besi di jari tangannya dan parut di pergelangan tangan, selain besi di tengkuknya kerana ada sedikit keretakan.

"Alhamdulillah, saya boleh menjalani kehidupan normal seperti orang lain. Lebih penting, peluang di bidang lakonan tetap ada. Itu yang saya maksudkan, 'mati hidup semula'. Tuhan memberikan saya 'kehidupan kedua'," kata Julia yang tercalon menerusi kategori Artis Baru Wanita Popular pada ABPBH2007.

Julia kelihatan bertambah jelita ketika menjayakan fotografi untuk muka depan Bintang Popular minggu ini apabila mengenakan Koleksi Berlian Habib 2008 merangkumi rantai leher, rantai tangan, anting-anting dan cincin yang semuanya mencecah nilai RM3.5 juta. Habib Jewels Sdn Bhd adalah penaja utama ABPBH 2007 dengan jumlah tajaan RM2.5 juta.

Komen Julia apabila ada desas-desus Julia dan Pierre pernah menjadi pasangan kekasih? Bagaimana dengan Yusry KRU, adakah dia masih kekal sebagai kekasih Julia ketika ini?

"Saya dan Pierre pernah belajar di sekolah rendah yang sama. Kami bertemu semula di lokasi penggambaran. Antara Pierre dan Yusry, kami hanya kawan biasa. Saya suka berkawan, cepat mesra. Gagal dua kali bercinta sebelum ini membuatkan saya serik terima cinta baru. Jangan salah tafsir persahabatan kami," pintanya jujur.

Profil: Pierre Andre

- NAMA PENUH: Mohd Pierre Andre Nazrul Andre

- TARIKH & TEMPAT LAHIR: 17 Mac 1985 di Kuala Lumpur. Dia juga anak kepada pelakon terkenal, Khatijah Tan

- PENDIDIKAN: Diploma Program Teater (Seni Lakonan) dari Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) kini lebih menyerlah sebagai pelakon, penulis skrip dan pengarah

- FILEM ARAHAN: Jangan Pandang Belakang/9 September

- FILEM ARAHAN TERBARU: Im Not Single (bakal tayang Jun 2008) dan Jangan Tegur (mula penggambaran 15 Mac)

- FILEM LAKONAN: Potret Mistik, Lady Boss, Cinta Fotokopi, Pontianak Harum Sundal Malam 2, Gol & Gincu, Salon, Main-Main Cinta dan Cinta

Profil: Julia Ziegler

- NAMA PENUH: Julia Bob Fauzi Ziegler

- TARIKH & TEMPAT LAHIR: 21 Mei 1984 di Ampang, Selangor

- DARAH CAMPURAN: Bapa (Jerman-Amerika) dan ibu (Melayu-Jawa)

- KELUARGA: Anak ketiga daripada empat beradik

- PENDIDIKAN: Pengajian Asas Arkitek dari Savannah College of Art & Design, Georgia, Amerika Syarikat

- SYARIKAT HIASAN DALAMAN MILIKNYA: Suria Design Sdn Bhd

- KOMERSIL TV: Nokia, Celcom, Olay, Pantene, Nesvita dan Penerbangan Malaysia (MAS)

- FILEM: Kayangan, Cuci, Cicak-Man 2 dan Jangan Tegur.

Lokasi: Nasim Sdn Bhd, Lot 2B, No 2 & 4, Jalan Pengaturcara U1/51, Temasya Industrial Park, Shah Alam, Selangor (03 5569 0588)

Terima kasih: Pengurus Cawangan, William Bevon

Aksesori: Habib Jewels Sdn Bhd, Ampang Point, Selangor (03 4252 7777)

Terima kasih: Yasheedah Yashaiya

Solekan & dandanan Julia: Effa Basri (012 690 1219)

Pakaian Julia: Mempelai Kaseh, Kuala Lumpur

Terima kasih: Along @ Elle (016 283 1443) .

No comments: